TAHUN 2008 ada dalam tiga minggu lebih saja lagi. Macam biasalah dalam edah ini saya terima banyak SMS dan emel dari kawan-kawan bertanyakan apakah azam baru untuk tahun 2009.
Saya termenung lama memikirkannya. Pernahkah selama ini saya ada azam? Menanam azam? Dan berazam? Setahu saya rasanya tak pernah. Sebab saya tidak tahu apa itu erti dan makna azam serta bagaimana hendak melaksanakannya.
Kawan saya kata, kalau seseorang itu tidak ada azam, maknanya dia tidak ada pendirian, haluan atau pegangan hidup. Betul ke? Itu yang bermain dalam kotak fikiran saya, dari dulu hingga kini.
Benarkah orang yang tidak ada azam seperti saya akan melalui kehidupan tidak bermakna? Bila difikir-fikirkan ada juga kebenaran itu, tetapi sedikit la, tidak banyak.
Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat menghabiskan kehidupan saya dari setahun ke setahun dengan lengkap 365 hari. Tidak lebih, tidak kurang. Tahun berikutnya pun lengkap 365 hari. Begitulah untuk 365 hari dan 365 hari seterusnya sehingga menunggu genap 365 hari menjelang malam 31 Disember ini. Dan insya-Allah jika dipanjangkan umur, saya berhadapan lagi dengan 365 hari sepanjang 2009.
Kehidupan lengkap yang saya maksudkan ialah sepanjang melalui hidup ini saya pernah alami kekecewaan, hadapi penderitaan, melalui hari-hari gembira dan duka, sedih dan pilu, tempuhi setiap ujian, dugaan dan godaan. Semuanya ada pro dan kontra. Baik dan buruk.
Jadi, hari-hari yang dilalui itu mendorong saya untuk tidak menyimpan azam atau berazam. Saya bukan ego atau sombong kalau saya katakan, saya tidak ada azam setiap tahun. Saya akan laluan dan tempuhi apa yang berlaku pada hari-hari berkenaan.
Saya tidak pernah berazam untuk meningkatkan mutu kerja, sebab saya sentiasa melakukannya pada hari bekerja. Saya tidak pernah berazam untuk memiliki kekasih kerana ia datang dan pergi dengan sendiri, walaupun saya cuba mempertahankannya.
Saya juga tidak pernah berazam untuk menyambung azam tahun lalu, kerana saya sendiri tidak tahu apa azam saya tahun lalu. Jadi, saya seperti terkapai-kapai mencari erti dan makna azam. Apa itu azam sebenarnya dan apakah fungsi serta peranan azam.
Walaupun saya kurang arif mengenai azam, saya tidak pernah mentertawakan rakan-rakan yang menyatakan azam masing-masing. Malah, saya seronok setiap kali mendengar rakan-rakan berceritakan azam masing-masing. Sungguhpun begitu, saya masih kurang faham makna azam dan fungsinya pada setiap manusia.
Saya mula didedahkan dengan perkataan azam ini ketika memasuki alam persekolahan kira-kira 38 tahun lalu. Mulanya saya sangkakan azam itu sama seperti saya mengisi borang yang tertera: cita-cita anda. Saya pun tulislah askar (tentera) sebagai kerjaya pilihan saya bila besar nanti.
Tetapi setelah dewasa dan akil baligh, saya tidak jadi askar yang dapat pegang senapang, sebaliknya jadi heripoter (reporter) pegang pen. Apakah azam itu sama dengan cita-cita?
Ada kawan saya kata, apabila saya tanyanya. Dia jawab, dia berazam hendak menjadi orang yang baik dan dermawan. Tetapi sepanjang tahun yang dia nekad berazam itu, rasanya 15 peratus saja dia jadi baik, selebihnya hanya Tuhan saja yang tahu. Dia juga tidak pernah menunaikan azamnya hendak menderma. Pinjam duit saya adalah.
Azam apa itu sih?? Sampuk seorang rakan dari Indonesia. Sebab itulah saya tidak ada azam dan tidak pernah berazam.
Sabtu, 6 Disember 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan