Selasa, 8 Mei 2012

Dr Mashitah... Dekat Di Hati

Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa 2012 yang berlangsung selama 10 hari dari 27 April hingga 6 Mei lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur berpeluang menikmati diskaun istimewa bagi pembelian buku baru termasuk karya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Tiga buku nukilan Dr Mashitah diberi diskaun sehingga 25 peratus bersama lima lagi buku terbaru Berita Publishing Sdn Bhd (BPSB) yang dijual sehingga hari terakhir karnival itu.

Ketika ditemui, Dr Mashitah berkata, beliau menulis buku yang dekat di hatinya iaitu Tanyalah Ustazah, Langit Terbuka dan Moderat: Antidot Barisan Nasional Menentang Politik Matlamat Menghalalkan Cara, khusus untuk bahan bacaan rakyat pelbagai peringkat.

"Saya hasilkan buku yang sebelum ini mendapat pertanyaan ramai pihak seperti 'Tanyalah Ustazah' menghimpunkan persoalan masyarakat mengenai banyak perkara dan ada antara mereka mengemukakan soalan hampir sama.

"Dengan itu saya rasa perlu terbitkan buku yang dapat menjadi rujukan mereka. Begitu juga dengan buku Moderat yang cukup dekat dengan diri saya kerana ia membincangkan konsep wasatiyyah sebenarnya, membandingkan sejarah wasatiyyah dengan pentadbiran hari ini.

"Ia pun diterbitkan mengguna kertas yang tidak terlalu tebal, kecil dan sesuai di bawa ke mana saja, sekali gus menggalakkan orang ramai membaca walau di mana mereka berada," katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Terbaru Keluaran BPSB.

Hadir sama, Pengerusi BPSB, Datuk Mohd Bisharuddin Mohd Noor Basha; Ketua Pengarang BPSB, Datuk A Kadir Jasin; Pengarah Eksekutif BPSB, Juhaidi Yean Abdullah dan Pengurus Besar Kanan BPSB, Zaini Zainuddin.

Buku yang dilancarkan ialah Semoga Hijrahku Abadi ditulis Datuk Malek Noor dan Raihanah Abdullah; buku masakan, Jamuan Petang Bersama Chef Anuar (Chef Mohd Anuar Draman) serta Sajian Eksotik Warisan Bugis (Dr Shahrim Karim dan Norsyahidah Ismail).

Turut dilancarkan, Anjung Seri Bonus Bilangan 11 dan Terapi Sel Hidup-Dimensi Perubatan Regeneratif yang ditulis Datuk Dr Abdul Halim Abdul Jalil.

Tiada ulasan: