Ahad, 13 Januari 2013

Janji PR: Bagai Lembu Pakai Cermin Mata Hijau

KUALA LUMPUR: Setelah dipalitkan dengan pelbagai dakwaan salah laku moral dan kronisme, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menagih simpati rakyat agar memberi peluang kepada pembangkang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau yang kerap kali berkata 'suara rakyat, suara keramat' seolah-olah menghantar mesej kepada rakyat agar berbuat sesuatu bagi memastikan gagasan itu berjaya mencapai cita-citanya untuk berkuasa di Putrajaya. 

"Beri peluang supaya suara rakyat menjadi suara pentadbiran di negara ini. Suara rakyat, suara keramat," kata Anwar.

Beliau kemudiannya mengulangi janji Pakatan Rakyat jika berjaya membentuk kerajaan kelak.

"Hari pertama kita memerintah, harga minyak akan diturunkan. InsyaAllah, PTPTN kita akan hapuskan, tol dan AES kita akan tumbangkan.

"Jadi berilah peluang pada Pakatan Rakyat sebab kita peka, bukannya pekak macam Barisan Nasional," ujar Anwar kepada lebih kurang 45,000 peserta himpunan yang hadir.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilihat cuba mempengaruhi rakyat melalui cadangan penubuhan 'Malaysia Baru' pakatan pembangkang dengan alasan untuk perkara tersebut diimpikan rakyat.

"Ini bukan lagi satu impian, anda semua yang ada di sini Malaysia Baru di tangan kita," katanya.
Beliau turut memperlekehkan komitmen kerajaan membantu rakyat melalui program-program yang disalurkan.

Beliau mendakwa kerajaan tidak ikhlas membantu rakyat apabila berkeras untuk melaksanakan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun mendapat tentangan banyak pihak.

Katanya bantuan kewangan RM500 yang diberikan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diperoleh semula oleh kerajaan dengan mengenakan saman terhadap rakyat.

"Tapi jangan suka terlalu awal, tangan kanan bagi duit, tangan kiri ambil balik. Kita nak haramkan dan hapuskan AES 1Malaysia," kata beliau ketika berucap.


Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya dilihat tersasar daripada matlamat asal himpunan pembangkang.

Hadi tidak ubah hanya mengulangi 'mentera' lamanya dengan menghentam kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) berbanding menekankan mengenai sepuluh tuntutan himpunan ini.

"Walaupun menerima konsep Islam agama rasmi persekutuan, hak bumiputera Melayu, hak bahasa ibunda, raja mengikut perlembagaan, Umno gagal memperkasakan Islam. Gagal memperkasakan Melayu Bumiputera. 

"Malah pemimpin Umno tidak tunjuk wajah Islam sebenar, hanya wajah rasuah, wajah penyelewengan, penipu," kata beliau dalam ucapan.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Marang itu berkata pakatan pembangkang akan menangani Umno dengan menawarkan pelbagai keperluan rakyat dengan bersih dan adil.

"(Kita) akan hapuskan tol di Malaysia kalau kita ke Putrajaya, bebaskan cukai.

Pengerusi sekretariat himpunan Mohamad Sabu sebelum itu menafikan dakwaan bahawa peserta-peserta yang hadir ke perhimpunan tersebut dibayar sejumlah wang.

"Yang tak suka (himpunan), kata kita bayar RM150...kamu semua yang datang hari ini yang bayar, yang keluarkan duit untuk Pakatan," ujar beliau lagi.

10 Tuntutan Himpunan Pembangkang:

1.      Piihan raya yang bebas, adil dan telus merangkumi media yang bebas
2.      Prestasi, wibawa dan reputasi Felda diselamatkan
3.      Sabah-Sarawak diiktiraf adil setara dengan semenanjung Malaysia
4.      20% royalti minyak dikembalikan kepada negeri pengeluar minyak
5.      Kerajaan iktiraf dan tingkat profesionalisme, jamin kebajikan, lindungi masa depan kakiktangan awam termasuk guru-guru dan anggota keselamatan
6.      Kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih dan menyihatkan
7.      Bahasa Kebangsaan dimartabat, bahasa ibunda dijulang, bahasa Inggeris ditingkatkan dan pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia
8.      Semua tahanan politik yang ditahan dibebaskan segera
9.      Agar kampung-kampung tradisi dan tempat-tempat warisan dipelihara, dilindungi dan dipertahankan
10.    Kehidupan yang lebih baik untuk kaum wanita seperti mana termaktub di dalam agenda wanita Malaysia

Tiada ulasan: