Rabu, 30 Januari 2013

Zaid Mahu Bersara?

Bekas Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim telah membuat keputusan untuk berhenti daripada bergiat aktif dalam politik dan kembali ke dunia perniagaan.

Sebelum dilantik sebagai anggota pentadbiran di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, Zaid adalah pemilik firma guaman terbesar Malaysia iaitu Zaid Ibrahim & Co (Zico).

Beliau kemudiannya meninggalkan firma guamannya sendiri untuk bergiat aktif dalam politik.

Bagaimanapun jangka hayat politiknya tidak panjang kerana selepas seketika beliau meletakkan jawatan dalam kabinet kerana tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menahan ahli parlimen DAP, Teresa Kok, Raja Petra Kamarudin dan pemberita Sin Chew, Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau kemudiannya disingkir daripada Umno dan selepas itu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR)dan bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 tetapi tewas.

Zaid kemudiannya mencetuskan kontroversi di dalam PKR apabila beliau membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden menentang Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dengan alasan ia adalah satu pertandingan yang tidak adil dan penuh dengan manipulasi.

Tidak lama selepas itu beliau meletakkan semua jawatan dalam PKR dan mengambil alih kepimpinan Parti Kesejahteraan Rakyat atau Kita.

Kepimpinannya dalam Kita juga tidak lama kerana selepas berlakunya perselisihan faham antara beliau dengan beberapa orang pemimpin negeri, Zaid akhirnya mengumumkan yang beliau telah meletakkan jawatan sebagai presiden, tetapi kekal sebagai ahli biasa.

Hari ini, beliau telah membuat satu lagi keputusan terbaru iaitu untuk bersara sepenuhnya dari politik.

"Saya telah memgambil keputusan untuk bersara daripada politik kerana saya merasakan yang saya tidak dapat lagi menyumbang. Saya juga tidak berminat lagi untuk bertanding dalam pilihan raya umum," beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun kata Zaid, ini tidak bermakna beliau tidak boleh menyumbang idea atau menulis demi untuk memperbaiki situasi negara ini.

Kata Zaid, beliau kini hanya akan melihat perkembangan politik 'dari luar'.

Zaid turut mengesahkan yang beliau telah membuat pelaburan di dalam perniagaan dengan membeli saham sebuah firma antarabangsa di Singapura iaitu Ipco International.

Akhbar The Strait Times melaporkan yang Zaid telah bersetuju untuk membeli sejumlah 350 juta saham bernilai S$6.9 juta (RM17.15 juta) yang juga bersamaan dengan tujuh peratus pegangan di dalam firma berkenaan.