Sabtu, 15 Mac 2014

Pesawat dipesongkan, komunikasi dimatikan


NAJIB Tun Razak pada sidang media mengenai perkembangan terbaharu MH370 di Sepang petang ini, - fotoFAZRY ISMAIL
NAJIB Tun Razak pada sidang media mengenai perkembangan terbaharu MH370 di Sepang petang ini,

KETIKA melangkah memasuki bilik sidang media pada jam 2 petang tadi, wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan sangat serius.

Tiada segaris senyuman terlakar di wajahnya seperti selalu namun masih dalam nada tenang beliau mengumumkan pesawat MH370 yang hilang pada awal pagi Sabtu telah sengaja dipesongkan daripada laluan asalnya iaitu menghala Beijing.

Biarpun tidak mengesahkan mahukan menafikan pesawat milik Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) itu dirampas atau sebaliknya beliau yakin misteri kehilangan ini mempunyai kaitan dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang yang turut menaiki pesawat berkenaan.

Justeru, siasatan kini tertumpu kepada penumpang dan krew yang berada dalam pesawat MH370.

Tambahnya, berdasarkan maklumat satelit terbaharu itu, pasukan penyiasat berjaya mengesan dan menentukan pesawat berkenaan mungkin membuat komunikasi terakhir di dua koridor iaitu koridor utara dan koridor selatan.

Koridor utara mencakupi kawasan sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke selatan Thailand manakala koridor selatan pula merangkumi kawasan daripada Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

"Pencarian MH370 kini sudah memasuki satu fasa baharu. Sejak tujuh hari lalu kami telah mengikut semua petunjuk serta melihat kepada setiap kemungkinan yang ada.

"Kepada ahli keluarga dan sahabat yang terlibat dengan insiden tidak diduga ini, kami berharap agar maklumat terbaharu ini bakal membawa kita semakin hampir untuk menjejaki pesawat tersebut.

"Di sebalik pelbagai laporan media yang mengatakan pesawat tersebut telah dirampas, saya dengan ini menegaskan bahawa kami masih menyiasat semua kemungkinan yang menyebabkan pesawat MH370 terpesong daripada laluan asalnya," katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abd. Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahaya dan Duta Besar China ke Malaysia, Datuk Chai Xi.

Berdasarkan perkembangan terbaharu ini, Najib turut mengumumkan operasi pencari dan penyelamat (SAR) di Laut China Selatan dihentikan dan akan melakukan penilaian semula terhadap aset-aset negara.

Mengulas lanjut perkembangan terbaharu insiden yang sudah memasuki hari kelapan itu, Najib berkata, Sistem Menangani dan Melaporkan Komunikasi Pesawat (ACARS) telah dimatikan sejurus sebelum MH370 tiba di pantai timur semenanjung Malaysia.

Manakala apabila ia menghampiri sempadan di antara kawalan trafik Malaysia-Vietnam, transponder pesawat tersebut pula dimatikan.

Pada ketika ini, radar utama Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunjukkan pesawat tersebut telah berpatah balik dan kemudiannya terbang menghala ke barat semenanjung Malaysia sebelum menghala ke barat laut sebelum ia semakin jauh daripada liputan radar utama ketenteraan.

"Bersandarkan data satelit yang didapati daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kita boleh mengesahkan bahawa pesawat yang dikesan pada radar utama TUDM adalah MH370.

"Selepas kerja-kerja forensik secara mendalam, Federal Aviation Administration (FAA), National Transport Safety Board (NTSB), Air Accident Investigation Branch (AAIB) dan pihak berkuasa Malaysia yang berkerja secara berasingan terhadap data tersebut memperolehi keputusan yang sama," katanya.

Menurut data terbaharu itu, komunikasi terakhir di antara pesawat dan satelit disahkan pada jam 8.11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8 Mac. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: