Selasa, 25 Mac 2014

Tiada perkataan gambarkan apa saya rasa - Hishammuddin

ByNorlaile Abd Rahman
 
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berbincang sesuatu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum sidang akhbar dimulakan di PWTC. Gambar SAFWAN MANSOR, 24 MAC 2014.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berbincang sesuatu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum sidang akhbar dimulakan di PWTC. Gambar SAFWAN MANSOR, 24 MAC 2014.

Sejak pesawat MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Beijing disahkan hilang pada awal pagi 8 Mac lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawabnya memaklumkan semua maklumat terbaharu mengenai insiden tersebut.

Meskipun setiap hari diasak dengan pelbagai soalan dan spekulasi oleh media terutamanya media asing, beliau tetap tenang dan yakin dalam setiap tutur katanya.

Kini selepas 17 hari insiden tersebut berlaku, lebih 404 jam misi pencari dan penyelamat (SAR) dijalankan oleh 26 negara menggunakan pelbagai aset tercanggih di dunia akhirnya pesawat MH370 disahkan terhempas di tengah Lautan Hindi.

Namun bagi Hishammuddin usaha mencari tidak akan terhenti di sini walaupun usaha menyelamat pastinya sudah menemui titik penamat.

“Tiada perkataan yang boleh menggambarkan apa yang saya rasai ketika ini tetapi saya berjanji pada anda terutamanya ahli keluarga semua penumpang dan krew, misi pencarian tetap diteruskan,” katanya dalam twitternya kira-kira setengah jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat malang tersebut mengakhiri perjalanannya di satu kawasan terpencil di tengah Lautan Hindi di mana tiada sebarang kawasan yang mungkin boleh dijadikan landasan untuk mendarat.

Tragedi malang ini adalah berita yang paling sedih diterima oleh rakyat Malaysia dan dunia amnya. Warga media sosial tidak henti-henti mengirimkan doa dan ucapan semoga semua roh penumpang dan pesawat berada dalam keadaan aman. Manakala  bagi umat Islam hanya kiriman Al-Fatihah yang mampu dilafazkan ketika ini.

Tiada ulasan: