Ahad, 5 April 2015

Nahas helikopter: Agong dan Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, semalam.

Seri Paduka berdua yang berdukacita dengan insiden itu, berharap seluruh keluarga mangsa dan sahabat handai dapat bersabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

Titah Seri Paduka berdua dizahirkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wira Awang Kechik Abdul Rahman di sini, hari ini.

Nahas helikopter AS365N2 Dauphin di Kampung Sungai Pening, Semenyih itu mengorbankan enam orang termasuk Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.

Turut terkorban ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang. -- BERNAMA

Tiada ulasan: