 |
DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR Ahli Parlimen Pokok Sena |
1.
Hari semalam kita dikejutkan dengan pengumuman Peguam Negara Amerika
Syarikat, Loretta E. Lynch bahawa pihak Jabatan Keadilan Amerikia
Syarikat telah memfailkan permohonan di mahkamah untuk menyita dan
mendapatkan kembali aset-aset berjumlah lebih AS$1 bilion yang
dipercayai diperolehi secara haram melalui penyelewengan wang sebanyak
AS$3.5 bilion (RM14 bilion) yang dimiliki oleh 1MDB.
2. Inilah buat
pertama kali dalam sejarah negara kita sebuah syarikat milik kerajaan
Malaysia, Perdana Menteri Malaysia dan individu-individu yang mempunyai
hubungan rapat dengan keduanya menjadi sasaran penyiasatan kes skandal
kewangan oleh negara kuasa besar dunia ini.
3. Kita perlu
memahami bahawa fakta-fakta yang dikemukakan oleh Peguam Negara Amerika
syarikat di dalam dokumen setebal 136 muka surat tersebut yang difailkan
di District Court for Central District of California adalah berdasarkan
kepada hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan
agensi-agensi penyiasatan rasmi di Amerika Syarikat seperti FBI dan IRS
sejak sekian lama.
4. Saya hanya mampu tertawa sendirian melihat usaha
dan kerja keras macai-macai politik tertentu yang cuba menggambarkan
seolah-olah fakta-fakta yang terkandung di dalam dokumen rasmi tersebut
adalah sekadar bersumberkan maklumat yang diberikan oleh Tun Mahathir
dan parti-parti pembangkang kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.
5.
Saya tidaklah begitu teruja dengan senarai aset-aset yang hendak disita
oleh kerajaan Amerika Syarikat di dalam permohonan yang mereka failkan
di mahkamah. Ianya adalah hak pihak berkuasa di sana memandangkan mereka
mengesyaki terdapatnya aktiviti pengubahan wang haram (money laundering)
yang dilakukan di Amerika Syarikat ke atas wang yang dipercayai
diselewengkan dari 1MDB.
6. Oleh kerana kegiatan money laundering tersebut
dilakukan di Amerika Syarikat, maka pihak berkuasa negara tersebutlah
yang mempunya bidang kuasa untuk melakukan apa jua tindakan berdasarkan
undang-undang mereka. Saya mendoakan aset-aset tersebut jika dibuktikan
terhasil dari wang yang dicuri dari 1MDB akan dicairkan dalam bentuk
wang dan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.
7. Namun, apa yang
paling menarik perhatian ialah di dalam dokumen yang difailkan
tersebut, pihak berkuasa Amerika Syarikat mendedahkan bahawa daripada
AS$3.5 bilion yang diselewengkan dari 1MDB, sebanyak AS$681 juta wang
yang berasal dari 1MDB telah telah berakhir ke dalam akaun milik
individu yang dinamakan sebagai ‘Malaysian Official 1’ di dalam dokumen
tersebut melalui pelbagai transaksi di antara tahun 2011 sehingga 2013.
8. Siapakah dia sebenarnya Malaysian Official 1 ini? Hakikatnya, amat
senang untuk kita mengetahui siapa dia manusia yang telah memperolehi
AS$681 juta wang 1MDB tersebut memandangkan dokumen mahkamah yang
difailkan pihak Peguam Negara Amerika Syarikat telah memberikan
gambaran (deskripsi) yang cukup jelas kepada kita.
NAJIB MALAYSIAN OFFICIAL 1.
9. Peguam Negara Amerika Syarikat telah menggambarkan (mendeskripsikan)
Malaysian Official 1 tersebut di muka surat 11 perkara 28 dan 29 dokumen
mahkamah sebagai high ranking official in the Malaysian government.
10. Riza Shahriz bin Abdul Aziz yang diketahui umum adalah anak kepada
Datin Seri Rosmah Mansor pula telah diperkenalkan oleh Peguam Negara US
sebagai a relative of MALAYSIAN OFFICIAL 1.
11. Manakala muka surat 75 dan
76 perkara 263 dokumen mahkamah tersebut telah memetik kembali kenyataan
rasmi Peguam Negara Malaysia pada 26 Januari 2016 berkaitan dengan
pengesahan Peguam Negara Malaysia bahawa wang sebanyak AS$681 juta yang
diterima oleh Malaysian Official 1 adalah derma dari keluarga Diraja
Arab Saudi. Kalau kita merujuk kembali kenyataan rasmi Peguam Negara
Malaysia bertarikh 26 Januari 2016, ianya adalah merujuk kepada Perdana
Menteri Malaysia YAB Dato Seri Mohd Najib Razak.
12. Maka sudah
terang lagi bersuluh bahawa individu yang dinamakan sebagai Malaysian
Official 1 oleh Peguam Negara US tidak lain tidak bukan ialah Najib
Perdana Menteri Malaysia yang amat dikasihi!
13. Bagi saya, adalah
suatu perkara yang sangat besar apabila penyiasatan rasmi kerajaan
Amerika Syarikat sebagaimana yang dinyatakan di dalam dokumen rasmi
yang difailkan di mahkamah di sana mendedahkan wang sebanyak AS$681 juta
yang diselewengkan dari 1MDB rupa-rupanya ‘berakhir’ di dalam akaun
peribadi Perdana Menteri.
14. Dalam perkataan lain, para penyiasat Amerika
Syarikat telah menuduh Perdana Menteri kita ‘mencuri’ wang sebanyak
AS$681 juta milik 1MDB Syarikat milik rakyat Malaysia.
15. Amat
malang selepas lebih 24 jam Peguam Negara Amerika Syarikat mengumumkan
tindakan mereka dan menyebarkan kepada umum dokumen yang mereka failkan
di mahkamah yang memalitkan Perdana Menteri Malaysia dengan dakwaan yang
cukup serius, tidak ada keberanian di pihak Perdana Menteri dan
kerajaan Malaysia untuk menafikan secara tuntas perkara yang dinyatakan
di dalam dokumen tersebut khususnya berkaitan dengan isu wang AS$681
juta yang dikatakan telah berakhir ke dalam akaun peribadi Perdana
Menteri. Saya cabar Perdana Menteri menafi dan mengambil tindakan
undang undang terhadap Peguam Negara Amerika Syarikat.
SIDANG KHAS PARLIMEN,LANTIK PEGUAM NEGARA BARU DAN TANGKAP PENCURI
16.
Bagi saya, fakta yang didedahkan ini yang dikatakan hasil dari siasatan
pihak berkuasa Amerika Syarikat adalah lebih dari cukup untuk memaksa
agensi penguatkuasa undang-undang di Malaysia seperti SPRM, Bank Negara
Malaysia dan PDRM untuk membuka kembali fail siasatan mereka terhadap
Perdana Menteri berkaitan dengan kemasukan wang milik 1MDB ke dalam
akaun peribadi beliau.
17. Sila mohon kerajaan Amerika supaya membekalkan
hasil siasatan mereka kepada kita. Peguam Negara Malaysia
bertanggungjawab untuk membantu urusan ini, namun terhalang kerana
Peguam Negara tidak melaksanakan tugas Peguam kepada negara sebaliknya
menjadi Peguam kepada Najib.
18. Untuk membolehkan siasatan
dibuka semula, saya sekali lagi mengesa dan mendesak supaya suatu sidang
khas Parlimen dipanggil bukan untuk memberi ruang kepada Perdana
Menteri memberi penjelasan, tetapi untuk membolehkan satu usul atas nama
kerajaan atau persendirian bagi tujuan pelantikan Peguam Negara yang
baru dan menyerahkan kepada Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong.