DHAKA: Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan untuk menamatkan
krisis tebusan yang berlaku di sebuah restoran di zon diplomatik di
bandar Dhaka di sini, awal hari Sabtu.
Bunyi letupan kuat mula kedengaran di kawasan itu pada jam 7.40 pagi,
lapor wartawan koresponden The Daily Star yang membuat liputan di sana.
Reuters melaporkan, pasukan keselamatan telah bersedia untuk
membebaskan sekitar 20 tebusan, termasuk beberapa warga asing dari
restoran di kawasan mewah itu selepas kumpulan lelaki bersenjata
menyerbu bangunan terbabit yang membunuh sekurang-kurangnya dua anggota
polis.
Gowher Rizvi, penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh Sheikh
Hasina memberitahu Reuters, pasukan keselamatan cuba melakukan
rundingan sebagai jalan keluar krisis, sebelum melancarkan serangan
untuk menamatkan pengepungan.
Polis berkata, lapan hingga sembilan lelaki bersenjata menyerang
restoran Holey Artisan di daerah Gulshan di Dhaka yang popular dengan
kumpulan ekspatriat.
Penyerang dipercayai membawa senapang dan bom, berbalas tembakan
dengan polis yang berada di luar selama beberapa jam selepas serangan,
dalam kejadian yang bermula sekitar jam 9 malam waktu tempatan pada
Jumaat.
Negara Islam (IS) telah mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Polis Bangladesh bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sambil berkata dua
pegawai polis telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 orang cedera.
Warga Itali dan India adalah antara tebusan, kata seorang pegawai bertugas di bilik kawalan Rapid Action Battalion (RAB).
Duta Itali ke Bangladesh, Mario Palma memberitahu televisyen Itali,
tujuh warga Itali adalah antara tebusan yang ditahan.
"Ia adalah serangan berani mati. Mereka mahu untuk melakukan operasi
berdarah dan besar-besaran, tidak ada ruang untuk rundingan," kata
Palma.
Gowher Rizvi berkata, krisis tebusan itu bermula apabila pengawal
keselamatan tempatan yang berada di kawasan diplomatik itu menyedari
kehadiran beberapa lelaki bersenjata di luar sebuah pusat perubatan.
Apabila pengawal menghampiri mereka, kumpulan itu berlari ke arah
restoran yang sesak dengan orang yang menunggu untuk mendapatkan tempat
duduk, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan