Sabtu, 2 Julai 2016

Krisis tebusan di Dhaka: Kumpulan bersenjata serang restoran ekspatriat

Krisis tebusan di Dhaka: Kumpulan bersenjata serang restoran ekspatriat
Orang ramai membantu seorang lelaki yang cedera dalam insiden tembakan di Dhaka. (Foto AP)

DHAKA: Individu bersenjata menyerang sebuah restoran yang popular di kalangan warga asing di ibu negara Bangladesh pada malam Jumaat, dan dipercayai menjadikan pelanggan di dalamnya sebagai tebusan, menurut pihak berkuasa.

Pertempuran bersenjata dilapor berlaku antara polis dan kumpulan bersenjata tersebut, dengan sekurang-kurangnya dua pegawai polis disahkan terbunuh.

Penyerang mensasarkan restoran makanan Sepanyol di zon diplomatik Dhaka itu dan mula melepaskan tembakan pada jam 9.20 malam waktu tempatan (1320 GMT), kata pihak polis.

"Pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan pertempuran bersenjata berlaku. Sebilangan individu yang tidak dapat dipastikan jumlahnya, kini masih berada di dalam restoran itu. Kami tidak dapat mengesahkan samada mereka adalah tebusan," kata pegawai polis Gulshan, Sayedur Rahman kepada AFP.

Ketua pasukan keselamatan elit Bangladesh, Benazir Ahmed pula memberitahu wartawan, kumpulan penyerang itu masih berada di dalam restoran Holey Artisan Bakery.

"Kami kini cuba untuk berkomunikasi dengan mereka. Kami mahu menamatkan situasi ini dengan aman," kata Benazir.

Insiden berlaku berhampiran Nordic Club, di mana kebanyakan golongan ekspatriat berkumpul, dan juga kedutaan Qatar.

Siri pembunuhan mensasarkan penganut agama minoriti dan aktivis sekular berlaku di Bangladesh kebelakangan ini.

Pada awal pagi Jumaat, seorang pekerja di sebuah kuil Hindu dilaporkan dibunuh dengan kejam di wilayah barat Bangladesh.

Tiada ulasan: