SINGAPURA – Penyelam Tentera Laut
Amerika Syarikat (AS) dan Kor Marin menemukan baki lapan lagi mayat kelasi
kapal USS John S McCain dalam kapal tersebut, demikian menurut Armada Ketujuh
AS hari ini.
Dua mayat anak kapal yang hilang
dijumpai minggu lepas.
Kapal pemusnah peluru berpandu itu
berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC di perairan timur Selat Melaka dan
Singapura pada 21 Ogos lalu.
Kejadian itu sedang disiasat bagi
menentukan fakta dan keadaan pelanggaran, menurut Tentera Laut AS dalam laman
webnya.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Maritim
dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata, usaha pencarian di dalam kapal itu
ditamatkan selepas Tentera Laut AS mengumumkan kesemua 10 kru kapal yang hilang
telah ditemukan.
Singapura sebelum ini
menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat dengan AS, Australia, Indonesia
dan Malaysia yang meliputi kawasan seluas 5,524 kilometer persegi.
Operasi berkenaan melibatkan lebih
datipada 300 anggota daripada agensi Singapura termasuk MPA dan Angkatan
Tentera Singapura (SAF), Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) dan Angkatan
Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Operasi yang diketuai Singapura
itu ditangguh pada 9 malam 24 Ogos selepas Tentera Laut AS mengumumkan
penggantungan usaha mencari dan menyelamat untuk memberi tumpuan kepada
pencarian dalam kapal.
Singapura terus menyokong Tentera
Laut AS dalam pencarian di kapal di Pangkalan Tentera Laut Changi sehingga
semua anak kapal yang hilang dijumpai.
“Bagi pihak semua agensi yang
terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat ini, MPA menzahirkan ucapan
takziah kepada keluarga dan orang tersayang kepada anak kapal Tentera Laut AS
yang maut.
“Kami
berharap mereka akan mendapat kekuatan untuk melalui saat-saat yang sukar ini,”
kata Ketua Eksekutif MPA, Andrew Tan dalam kenyataan di sini. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan