Khamis, 24 Ogos 2017

SPRM beri amaran kepada individu keluarkan kenyataan media

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada individu terlibat dalam siasatan, membuat kenyataan media berkaitan kes mereka.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, kini menjadi satu “trend” bagi individu yang terlibat dalam siasatan SPRM menemui pihak media untuk menceritakan fakta kes berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara menaikkan bendera di bangunan baharu SPRM di Presint 7, di sini, beliau berkata, komen berkaitan fakta siasatan boleh dirumuskan sebagai mengganggu siasatan.

“Kita tidak mahu perbicaraan oleh pihak media. Kalau ada keterangan, datang ke SPRM atau bersabarlah. Dia sendiri pun tidak tahu sama ada dia masuk dalam senarai saksi atau mungkin suspek. Yang tidak sabar sangat hendak beri keterangan di media itu kenapa?” tegas Dzulkifli.

Katanya, mereka yang membuat kenyataan kepada media melakukan kesalahan bawah Seksyen 48(h) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan mana-mana orang mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan mana-mana orang terlibat dalam penyiasatan dan boleh dedenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Dzulkifli turut memberi amaran supaya mereka tidak mencemuh atau mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur hasutan mahupun menjatuhkan imej dan nama baik SPRM.

“SPRM tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan undang-undang atas mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, menjatuhkan imej SPRM, mengaitkan sebarang tindakan SPRM serta mempersoalkan tindakan agensi itu kerana ia boleh ditafsir sebagai fitnah,” katanya.

Beliau menegaskan, SPRM menjalankan operasi tanpa sebarang kepentingan, melainkan memelihara negara daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.


Mengenai operasi SPRM di bangunan baharu, Dzulkifli berkata, SPRM akan beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu menjelang 1 September ini dan pada masa ini masih dalam proses perpindahan. – FMT.

Tiada ulasan: