Zaharudin menunjukkan pisau yang digunakan suspek |
Mangsa, Mohd Firdaus Md. Salehuddin, 28, disahkan menemui ajal dengan hanya satu tikaman di dada kanannya oleh isteri berusia 18 tahun yang menggunakan pisau pemotong sayur bersaiz kira-kira 21 sentimeter.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang.
Katanya, hasil siasatan awal, polis tidak menolak faktor cemburu menjadi punca insiden berkenaan tercetus dan mangsa dikatakan dua hari tidak pulang ke rumah mereka di Parit Bunga,Tangkak.
Malah kata beliau, pertelingkahan dan pergelutan turut berlaku antara mangsa dan suspek yang datang ke lokasi kejadian di sebuah rumah persinggahan dan stor penyimpanan barangan tempat mangsa bekerja sebelum berlaku pertengkaran lidah antara pasangan suami isteri itu dan berakhir dengan tragedi.
Katanya lagi, mangsa disahkan ditikam dengan satu tikaman di bahagian dada kanan dan suspek bertindak membuang senjata berkenaan ke longkang di tepi rumah berkenaan.
"Senjata itu kami telah rampas dan bawa ke post mortem untuk pathologist. Ia hanya sebilah pisau memotong sayur 21sm dan kecederaan yang kami nampak hanya satu tikaman di bahagian dada kanan.
"Satu tikaman sahaja dan polis mengandaikan kes telah selesai dan suspek mengaku menikam suaminya berikutan pertelingkaran dan sedikit pergelutan di dalam rumah.
"Mangsa ditemui terlentang di ruang tamu dan suspek ada di dalam rumah dan pisau itu dibuang di longkang," kata Zaharudin dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) di sini hari ini.
Kata beliau lagi, suspek juga turut mengaku melakukan perbuatan itu dan menunjukkan lokasi di mana senjata yang digunakan untuk menikam suaminya itu dibuang.
Polis kemudian menahan suspek dan pakaian yang digunakan wanita berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia sementara proses bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar sedang dijalankan.
Dalam pada itu, polis turut mengambil keterangan majikan mangsa yang berada di lokasi kejadian dan menganggap kes itu selesai berdasarkan pengakuan suspek.
Polis telah mendapatkan perintah reman selama enam hari ke atas suspek dari Mahkamah Majistret Muar pagi tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan