Gambar hiasan |
BERITA mengenai cubaan culik lapan murid sebuah
sekolah di Gunung Semanggol, Bagan Serai, oleh sekumpulan lelaki menaiki van
putih yang tular sejak semalam hanya 'imaginasi' murid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob
berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu hanyalah rekaan murid terbabit.
Menurutnya, memang terdapat laporan dibuat oleh Guru Penolong
Kanan Hal Ehwal Murid sekolah kebangsaan terbabit terhadap kes yang dikatakan
berlaku di hadapan sekolah pada 4.30 petang, 4 Oktober lalu.
"Bagaimanapun, hasil siasatan dan rakaman percakapan murid yang membuat dakwaan itu serta seorang guru kelmarin, mendapati kewujudan van putih untuk cubaan menculik mereka sebenarnya hanyalah 'imaginasi'.
"Polis memandang serius terhadap sebarang kes cubaan culik
murid sekolah dan siasatan segera dibuat sebaik menerima laporan oleh guru.
"Namun, sewaktu rakaman percakapan terhadap
lapan murid dibuat, polis mendapati dakwaan mereka diekori dan cuba dibawa
masuk ke dalam sebuah van putih tidak wujud," katanya ketika dihubungi
hari ini.
Menurutnya, polis menganggap dakwaan itu sebagai rekaan murid
berkenaan dan kes dianggap tiada.
"Laporan kes cubaan culik itu hampir menyerupai kronologi
laporan kes cubaan culik yang berlaku di Perak Tengah, tiga minggu lalu.
"Saya minta masyarakat menghentikan penularan kisah culik
menggunakan van putih ini kerana hasil siasatan polis ternyata kes sebegitu
tidak wujud," katanya.
Sejak semalam tular di media sosial gambar salinan laporan polis
mengenai kes cubaan menculik enam murid sebuah sekolah kebangsaan di Gunung
Semanggol, yang dibuat guru sekolah berkenaan.
Dalam laporan polis itu, guru berkenaan memaklumkan pada 4
Oktober lalu, kira-kira 4.30 petang, seramai enam murid tahun empat yang berada
di sebuah pondok kecil di hadapan sekolah kebangsaan terbabit didatangi sebuah
van putih.
Laporan polis itu turut menyebut van putih dinaiki enam lelaki
tidak dikenal pasti bergerak perlahan ke arah mereka dengan pintu bahagian
tengah berada dalam keadaan terbuka.
Berikutan itu, semua murid berlari ke dalam kawasan sekolah dan
menyangka ada individu dalam van itu ingin menculik mereka.
Selain itu, laporan polis itu turut menyebut
terdapat dua lagi murid sekolah yang sedang menaiki basikal, turut dihimpit van
putih terbabit serta cuba menculik mereka. - HMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan