DAH agak dah, pertemuan empat mata antara
pemimpin nombor dua Pas dengan Parti Bersatu Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) pada 1 Februari lalu tidak ke mana.
Bukan mudah untuk Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir membuat keputusan bersetuju bekerjasama dalam pertemuan itu
kerana mereka juga ‘yang menurut perintah’.
Mereka berdua hanyalah orang suruhan ketua masing-masing.
Kalau ketua kata, pergilah jumpa sekejap, mereka pun pergi jumpa.
“Tapi, jangan nak memandai-mandai buat keputusan sendiri,” ketuanya
sempat beri peringatan.
Lalu berjumpalah Tuan Ibrahim dengan Mukhriz di satu lokasi yang
sehingga kini masih menjadi rahsia mereka berdua. Namun, pertemuan itu
boleh dikatakan gagal seratus peratus. Mukhriz Mahathir
Tidak ada sebarang keputusan dicapai, melainkan masing-masing
berjanji hanya akan bentuk satu jawatankuasa teknikal bagi memastikan
hasrat PPBM hendak bekerjasama dengan Pas menumbangkan Barisan Nasional
(BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini tercapai.
PPBM yang berusia empat bulan mempunyai cita-cita besar dalam
perjuangannya. Mereka mahu menggantikan kerajaan ini dengan Pakatan
Harapan (PH), bukan lagi BN.
Tak taulah mereka sedar atau tidak, itu bukan kerja yang mudah,
tetapi kerana agenda itulah PPBM sanggup menebalkan muka memujuk Pas
supaya bergabung dengan PH dalam PRU-14.
Bagi Pas, keputusannya untuk tidak bersama PH adalah muktamad.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah lama beri signal itu dan
semua tahu termasuk PPBM.
Tetapi atas dasar semangat setiakawan dalam politik, PPBM berusaha
untuk memujuk. Mana tahu, kalau tidak berjaya seratus peratus,
sekurang-kurangnya 30 peratus dari matlamatnya, tercapai.
PPBM tahu kenapa Pas tidak mahu bersama PH. Kata Pas, selagi ada DAP
dan Parti Amanah Negara (PAN), mereka tak akan bergabung dalam apa jua
pakatan yang dibentuk oleh pembangkang.
Cukuplah bagi Pas bekejasama dengan parti tidak ada nama iaitu Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) melalui pembentukan Gagasan Sejahtera
(GS) untuk menghadapi PRU-14 ini, kerana parti Tan Sri Abdul Kadir
Sheikh Fadzir itu tidak banyak kerenah.
Tambahan pula, Presiden IKATAN sudah beritahu tidak mahu bertanding.
Ini lagi memudahkan Pas untuk proses pengagihan kerusi nanti. Tidak ada
istilah “satu untuk kau, satu untuk aku”, semuanya “ana yang punya”.
Memang sudah dijangka juga, selepas pertemuan itu akan ada suara
sumbang dari DAP dan PAN. Ada yang kata, tak wajar Mukhriz
membelakangkan mereka dan ada juga yang beri pandangan dalam bentuk
sinis serta sindiran.
Bagi PPBM, walau apapun rakan gabungannya itu kata dan tuduh, mereka
tetap akan memujuk Pas. Tujuan utama ialah memastikan pertandingan dua
penjuru betul-betul berlaku.
Jika Pas berdegil mahu bersendirian juga, ertinya PRU-14 ini akan
menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Sudah tentu ini yang menakutkan
PPBM kerana ia akan memberi kemenangan mutlak kepada BN.
Sungguhpun begitu, bagi ramai para pemerhati dan penganalisis politik
beranggapan, Pas ketika ini hanya mengambil sikap layan saja hasrat
PPBM. Tapi, untuk bekerjasama, tidak mungkin berlaku sama sekali.
Adat parti berusia 66 tahun melayan parti berumur empat bulan. Umpama
atuk dengan cucu. Atuk hanya akan melihat saja cucunya bermain, tapi,
kalau dilihatnya cucu itu mahu berlari, atuk akan halang. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan