KALAU benar kira-kira 3.6 juta anak muda berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pemilih, ini suatu hal yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Selalunya, anak-anak muda ini mendapat perhatian parti-parti politik, yang berebut menggalakkan mereka menjadi pendaftar pemilih untuk memberi undi kepada parti masing-masing.
Tapi nampaknya parti-parti politik dilihat seperti tidak lagi berminat hendak mendekati anak-anak muda dalam kempen mereka, dalam edah pilihan raya mahupun selepas pilihan raya.
Selalunya, sebelum ini, dalam tempoh setahun atau dua tahun nak diadakan pilihan raya, jentera-jentera parti begitu rancak sekali membuat kempen daftar pemilih. Di pasar-pasar tani, di pasar-pasar malam, di lobi-lobi pusat beli belah, di pasar raya, di karnival, hatta di bazar Ramadan pun ada kaunter dibuka untuk orang ramai mendaftar.
Kita juga dapat lihat jentera UMNO, Pas, PKR, DAP, MCA, MIC dan Gerakan dengan lambang dan logo parti masing-masing dipacak kiri kanan, depan belakang kaunter untuk menarik perhatian orang ramai terutama anak-anak muda masuk mendaftar.
Selain kaunter, ada jentera bergerak dari rumah ke rumah memasukkan borang pendaftaran ke dalam peti pos, mengepilkan dalam surat-surat khabar dan majalah, mengiklankan dalam media sosial dan masuk ke institusi-institusi pengajian tinggi dan sebagainya.
Sekarang semua itu tidak berlaku lagi. Anehnya, semua parti, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak lagi mengadakan kempen secara intensif, seolah mereka berpakat. Dan patutlah pejabat Pos Malaysia pun lenggang, hanya menerima pelanggan yang mahu berurusan pembayaran bil serta penghantaran barangan sahaja.
Menurut sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah 3.6 juta yang belum mendaftar itu adalah termasuk mahasiswa, selain anak muda yang menganggur dan yang bekerja. Sudah tentu mereka ini tidak ada pengetahuan bagaimana hendak mendaftar dan apa peraturan serta syaratnya.
Apabila mereka tidak ada pengetahuan itu, mereka membuat perkiraan bahawa proses mendaftar sebagai pemilih ini sebagai sukar dan memerlukan banyak masa menunggu. Ini yang membuatkan mereka malas dan menangguhkan hasrat mendaftar dari sehari ke sehari.
Sepatutnya, parti-parti politik boleh membaca atau menyelami pemikiran anak-anak muda ini. Faktor kesukaran, kepayahan, kesibukan dan kemalasan mengunjungi pejabat Pos Malaysia serta kaunter-kaunter SPR di lokasi tumpuan awam sebagai modal untuk mendekati golongan ini.
Jangan pula bila anak muda malas, jentera parti juga malas. Selepas itu, bila tiba pilihan raya, mulalah parti-parti politik bising, kecuh dan marah-marahkan golongan muda tidak mendaftar sebagai pengundi.
Sebelum ini, banyak idea dicadangkan kepada kerajaan mahupun SPR, agar anak muda yang mencecah umur 21 tahun secara automatik adalah pendaftar pemilih. Tetapi pelbagai alasan diberikan pihak berkenaan berhubung cadangan itu.
Perkara yang mudah boleh dibuat, hendak diperpayahkan. Kononnya, tak perlu anak muda sampai umur, automatik sebagai pendaftar kerana parti politik boleh usaha sendiri untuk daftarkan mereka.
Sekarang, tak semena-mena menyalahkan 3.6 juta anak muda yang berusia 21 tahun ke atas, yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Pelbagai alasan dihamburkan kepada anak muda itu, kononnya, satu kerugian besarlah kerana mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia dan sebagainya.
Kalau anak muda ini dikatakan tidak melaksanakan tanggungjawab, siapa sepatutnya dipersalahkan. Nama lagi anak muda, otak dan minda mereka tengah cergas, mereka tidak akan memikirkan untuk mendaftar sebagai pengundi kerana dalam usia itu, mereka leka dengan keseronokan.
Kita, yang dewasa dan menjadi penggerak parti yang sepatutnya mainkan peranan mendekati mereka. Tarik mereka dan beri kesedaran mengenai pentingnya menjadi pendaftar pemilih. Tugasan kita bukan berat sangat, dekati mereka, ambil mykad mereka dan isi dalam borang. Lepas itu minta mereka turunkan tandatangan. Habis cerita.
Walaupun cakap atas kertas nampak mudah, tapi secara realitinya kalau dilakukan secara praktikal pun lagi mudah. Itu yang diperlukan usaha.
Paling tidak pun, SPR perlu mencari jalan bagaimana hendak memudahkan lagi anak-anak muda mendaftar sebagai pemilih, sama ada secara dalam talian mahupun ketika berurusan di mana-mana tempat yang sering menjadi tumpuan mereka.
Contohnya, seperti melantik kedai-kedai runcit, restoran, bengkel motosikal, stesen minyak, kedai fotostat, kedai buku dan kedai aksesori telefon bimbit untuk mereka mendaftar sebagai pemilih.
Sambil beli buku atau tunggu fotostat kerja sekolah, mereka boleh mendaftar sebagai pemilih. Sambil isi minyak motosikal atau beli aksesori telefon atau pekena roti canai, mereka boleh mendaftar sebagai pengundi. Tidakkah itu lagi mudah, kalau cadangan supaya umur 21 tahun automatik sebagai pendaftar pemilih dianggap tidak relevan. - theRakyat (Siaran 17 Feb 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan