SELEPAS balik dari pengebumian anaknya, Pak Pandir terserempak dengan mayat seorang bayi lalu berlari-larilah Pak Pandir pulang ke rumah untuk memberitahu isterinya, Mak Andeh yang bukan mereka sahaja yang kematian anak, orang lain pun kematian anak juga.
Demikian cerita rakyat yang menjadi bahan ketawa masyarakat di awal tahun 1900 atas kebebalan dan kebodohan Pak Pandir.
Walaupun kisah ini diolah dalam bentuk sastera rakyat Melayu 110 tahun lalu dan sudah dilupai generasi terdahulu tetapi perangai Pak Pandir masih menjadi ikutan oleh sesetengah pihak tertentu, terutama orang politik.
Paling ketara menjadikan kisah Pak Pandir sebagai alasan untuk menutup kelemahan diri ialah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Baru-baru ini, seorang anggota Exco Kerajaan Negeri telah mengumumkan pembatalan ke atas sembilan projek perumahan mampu milik Rumah Selangorku atas alasan pemaju gagal mendapatkan kebenaran merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Selepas kenyataan itu terpapar di media cetak, elektronik dan media sosial serta mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk UMNO, kerajaan PH cuba membela diri dengan mendakwa, pembatalan itu disebabkan kegagalan pemaju pula.
Tanpa sedikit pun rasa bersalah, kerajaan PH Selangor sehingga kini langsung tidak memohon maaf atau sekurang-kurangnya meminta rakyat negeri itu bertenang dan bersabar dengan kemaslahatan yang berlaku.
Sebaliknya, anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Iskandar Abd. Samad membuat kenyataan kepada media menyatakan kerajaan Selangor pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum tahun 2008 juga ada ada membuat salah dan ada juga kes projek perumahan terbengkalai.
Mudahnya kerajaan PH Selangor memberi alasan. Sepatutnya, apabila masalah itu berlaku, Iskandar atau Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kena segera memohon maaf terlebih dahulu kerana tidak dapat memenuhi impian rakyat untuk memiliki rumah walaupun rakyat sudah pun membuat pinjaman dengan bank.
Tapi, dengan cara menyatakan kerajaan BN pun pernah gagal melaksanakan pekara yang samanampak sangat kebebalan kerajaan negeri.
Bebalnya sama dengan Pak Pandir yang menjumpai mayat kanak-kanak dan menyatakan kepada isterinya, orang lain pun kematian anak juga.
Apa motif Iskandar apabila cuba menyamakan kegagalan pentadbiran kerajaan PH dengan kegagalan pentadbiran kerajaan BN? Adakah dengan memberi alasan seperti itu, mereka mengharapkan rakyat akan memaafkan mereka?
Bagaimana PH Selangor hendak menjadi kerajaan yang jauh lebih baik daripada kerajaan BN kalau kesalahan demi kesalahan yang berlaku cuba dicarikan alasan untuk melepaskan diri?
Dahulu, rakyat boleh ditipu begitu senang oleh orang politik. Sekarang, tidak lagi. Rakyat hari ini sudah cerdik. Mereka tahu maksud ‘siakap, gelama, senohong, banyak cakap lama-lama berbohong’.
Kalau dilihat kepada moto kerajaan Selangor, “Membangun Bangsa Memakmur Negeri” sepatutnya tidak berlaku kegagalan dalam mana-mana projek yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.
Gagal satu dua projek dianggap lumrah kerana kita sebagai manusia memang tidak sempurna tetapi kalau sehingga sembilan projek perumahan Rumah Selangorku gagal, itu dikira melampau.
Kegagalan itu juga boleh dijadikan alasan untuk rakyat mengatakan PH gagal mentadbir kerajaan negeri dengan baik selaras misi mereka mahu melestarikan kehidupan rakyat untuk kesejahteraan hubungan dengan tuhan, manusia dan alam sekitar.
Dalam kisah Pak Pandir, apabila dia diberitahu oleh Mak Andeh mayat itu adalah anak mereka yang tercicir ketika dia memikulnya untuk urusan pengebumian, sekurang-kurangnya Pak Pandir menangis teresak-esak, menyesal.
Nampak juga dalam kebebalan dan kebodohan Pak Pandir, terselit sifat kemanusiaan dalam dirinya. Dia mula rasa sedih, kecewa dan menyesal atas kejadian itu.
Tapi, nampaknya kerajaan negeri Selangor yang dibarisi golongan cerdik pandai, berpendidikan tinggi dan berilmu, langsung tidak menyesal dengan kegagalannya menyediakan kemudahan kepada rakyatnya.
Sehingga kini, tidak ada jaminan dari kerajaan negeri, sama ada hendak mencari ganti pemaju baharu atau membuka tender baharu bagi memastikan sembilan projek pembinaan Rumah Selangorku itu dapat diteruskan.
Yang berlaku selepas pengumuman pembatalan projek itu ialah mencari salah orang lain. – theRakyat (Siaran 14 Feb 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan