APA khabar orang Permatang Pauh dan orang Kajang? Apa khabar juga rakyat Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?
Tempoh lima tahun pilihan raya dah hampir tamat. Segala masalah dan aduan yang diangkat kepada wakil rakyat di kawasan masing-masing sudah diselesaikan atau belum?
Masalah parit tersumbat, jalan berlubang, bumbung rumah bocor, lif rosak, air selalu tidak ada dan sampah sarap tidak dikutip dah diambil tindakan ke belum lagi?
Bagaimana dengan rumah mampu milik untuk orang Melayu di Pulau Pinang? Rumah Selangorku di Selangor dan Rumah Kos Sederhana di Kelantan? Sudah dalam pembinaan atau masih letak batu asas?
Segala jenis bantuan yang dijanjikan di bawah Skim Khairat di Kelantan, Skim KISS di Selangor dan Skim i-Sejahtera di Pulau Pinang sudah diterima atau masih dalam peringkat kajian?
Semua ini rakyat kena semak semula. Mana-mana yang belum diambil tindakan, diselesaikan dan tidak terima apa-apa, kena bangkit, bangun buat tuntutan.
Tidak salah untuk rakyat menuntutnya kerana semua itu adalah segala janji yang diucapkan sendiri oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat.
Masalah banjir kilat di Kajang misalnya, wakil rakyatnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sendiri berjanji akan cuba selesai atau atasinya.
Dia boleh beri jaminan masalah itu akan selesai sebab DUN Kajang terletak dalam negeri Selangor, dan Menteri Besar Selangor adalah anak buahnya, iaitu Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Takkan Mohamed Azmin tak boleh tolong selesaikan masalah ketuanya selaku Presiden PKR, yang juga isteri kepada sifunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tapi tiga tahun sudah berlalu selepas pilihan raya kecil DUN Kajang. Masalah banjir kilat belum juga diselesaikan. Rakyatnya sentiasa dalam kebimbangan setiap kali berlaku hujan lebat.
Walaupun banjit kilat belum menenggelamkan bumbung rumah penduduk, tapi sering kali bila hujan lebat satu atau dua jam, ia menenggelamkan ribuan bumbung kereta. Berapa banyak rakyat tanggung kerugian, hanya dengan berwakil rakyatkan pemimpin yang sekadar pandai berjanji.
Di Pulau Pinang pula, berapa ramai keluarga Melayu berpendapatan sederhana dapat memiliki rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri DAP?
Selain rumah mampu milik, sekurang-kurangnya 10 program atau skim yang diperkenalkan sejak DAP ambil alih Pulau Pinang tahun 2008 dilaksanakan.
Contohnya, skim Penghargaan Warga Emas – dijanjikan pemberian bantuan sebanyak RM100 setahun kepada warna emas berusia 60 tahun ke atas, skim bantuan ibu tunggal – juga RM100 setiap tahun kepada yang berumur bawah 60 tahun, skim Orang Kelainan Upaya (OKU) juga RM100 setiap tahun.
Skim anak emas, pemberian sebanyak RM200 secara “one-off”, skim pelajar emas – dari Tahun 1 hingga Tahun empat dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 dapat RM100 secara “one-off”, skim ibu emas – dibayar RM1,000 secara “one-off”, skim bantuan bencana dari tabung TYT – berbentuk saguhati kepada penduduk yang ditimpa musibah dalam kejadian bencana alam.
Begitu juga skim i-bita – skim bantuan untuk pelajar anak Pulau Pinang yang berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi, skim titian saksama rakyat negeri Pulau Pinang, yang mana peniaga kecil diberi bantuan modal tambahan dan terakhir sekali skim tabung usahawan tani muda – memberi pinjaman RM5,000 kepada usahawan tani.
Daripada 10 skim atau program itu berapa ramai golongan sasar menerimanya? Tetapi rungutan demi rungutan dilaporkan sepanjang hampir 10 tahun DAP memerintah. Maknanya, janji tinggal janji.
Rakyat Kelantan, yang sejak tahun 1990 berada bawah pemerintahan Pas, juga hidup merana. Majoriti daripada rakyat miskin dan berpendapatan sederhana menjadi mangsa kepada penyokong yang percaya, “undi Pas masuk syurga”.
Kerana percaya janji itu, dari setahun ke setahun rakyatnya hidup tidak banyak berubah. Miskin kekal terus miskin. Tiada pembangunan. Tiada kemajuan. Pemimpinnya masih boleh mendabik dada mendakwa negeri yang ditadbirnya adalah yang terbaik.
macam-macam janji ditabur. Nak bina lebuh raya rakyat, stadium untuk wanita, kereta api laju, koridor depu dan macam-macam lagi. Semuanya tinggal hampas.
Selangor pun lebih kurang sama dengan Kelantan dan Pulau Pinang. Mohamed Azmin boleh mendabik dada mengatakan Selangor bawah pimpinannya sudah bergelar negeri maju.
Bagaimanapun, rakyatnya hidup dalam kesusahan. Skim untuk ibu tunggal, skim untuk warga emas, skim untuk anak sekolah semuanya tinggal nama.
Agak menyedihkan ialah rakyat Selangor yang memasang impian untuk memiliki rumah. Mereka terpaksa berputih mata kerana sembilan projek Rumah Selangorku yang melibatkan ribuan unit terpaksa dibatalkan pembinaannya.
Sedangkan, setiap kali menteri besar dan wakil rakyat Pakatan harapan turun berjumpa rakyat, Rumah Selangorku yang dijanjikan. Hari ini, apa sudah jadi? Janji tinggal janji dan kerajaan negeri boleh umumkan pembatalan begitu sahaja tanpa sedikit pun rasa bersalah.
Sekarang ini, pemimpin Pakatan Harapan di seluruh negara, lebih lagi di tiga negeri yang dimenanginya sebelum ini sibuk turun padang menabur janji baharu. Janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Pantang tengok masalah dihadapi rakyat, masalah itu akan dimasukkan dalam manifesto PRU14. Padahal, tidak ada satu pun janji dalam manifesto terdahulu dikotakan.
Kepada rakyat yang berada bawah negeri, Parlimen dan DUN pembangkang, sudah-sudahlah memberi sokongan kepada wakil rakyat yang makan gaji buta. Buatlah perubahan. Pilihlah wakil rakyat yang betul-betul berkhidmat untuk rakyat, masyarakat dan penduduk.
Singkir dan nyahkan wakil rakyat yang hanya pandai cakap “insya-Allah”. Pilihlah wakil rakyat yang ada rekod berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa. – theRakyat (siaran 10 Feb 2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan