Jumaat, 16 Februari 2018

Dah menang tiga negeri, SPR masih tidak adil?

SETIAP kali nak pilihan raya, setiap kali itulah kedengaran suara tidak puas hati dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Macam-macam tuduhan dilemparkan, kononnya SPR tidak adil dan tidak bersih.
Suara sumbang ini selalunya datang dari pembangkang, dari golongan yang tidak pernah mahu bersyukur. Bila tiba pilihan raya, kerana takut pada bayang-bayang sendiri, mereka cetuskan pelbagai provokasi.
Mereka adakan siri sidang media untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap SPR. Mereka tekan butang lampu hijau kepada cybertrooper supaya menghangatkan isu undi rosak di media-media sosial.
Semuanya dengan dakwaan kononnya SPR berpakat dengan Barisan Nasional (BN) untuk mengalahkan pembangkang.
Itulah kaset lama yang diputar setiap kali nak pilihan raya. Bezanya kali ini, kaset lama ini diputarkan oleh pemimpin yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Dan selama 22 tahun itulah beliau mempertahankan sistem pilihan raya yang dikendalikan SPR, malah menangkis kecaman dan tuduhan dari pembangkang terhadap SPR pada masa itu.
Inilah politik. Ketika berkuasa semuanya dikatakan adil, bersih dan saksama. Apabila sudah hilang kuasa dan berada di pihak pembangkang, yang adil pada zamannya dikatakan tidak adil pula.
Dengan sistem pilihan raya yang dikatakan tidak adillah Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH). Kerana sistem pilihan raya tidak bersihlah, Terengganu dan Perak hampir-hampir berkongsi kuasa.
Ini yang dikatakan pelik tapi benar. Pelik apabila SPR dituduh tidak adil, sedangkan tiga negeri dikuasai mereka tanpa bantahan daripada pihak yang kalah iaitu Barisan Nasional (BN). Benar pula, apabila mereka menang di tiga negeri, langsung tidak ada suara rungutan mengatakan sistem itu tidak adil dan tidak bersih.
Bagi pembangkang, segala-galanya bersih kalau mereka menang. Segala-galanya tidak adil kalau mereka kalah. Inilah yang dimainkan oleh pembangkang atas isu terbaharunya, kempen undi rosak.
Setakat ini amat payah nak mencari jawapan kepada desakan dan tuntutan pembangkang, kerana sejak PRU kelapan tahun 1990 sampai PRU 13 tahun 2013, lima negeri pernah ditakluk oleh mereka.
Dua daripadanya hanya sempat diperintah satu penggal, iaitu Terengganu dari 1999 hingga 2004 dan Perak dari 2008 hingga 2013. Yang kekal enam penggal ialah Kelantan dan masing-masing dia penggal perintah Selangor dan Pulau Pinang.
Memang perangai pembangkang, selagi boleh bangkang mereka akan bangkang habis-habisan walaupun yang mereka bangkang itu sebenarnya tidak masuk akal.
Mereka hanya akan senyap jika pembangkang menang di semua negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Ketika ini baharulah mereka mungkin akan berhenti daripada menuduh SPR tidak adil.
Secara logiknya, mana mungkin mereka boleh menang semua negeri kerana ada di negeri tertentu rakyat sudah meluat dengan kerenah wakil rakyat pembangkang sepanjang diberi tanggungjawab mentadbir negeri.
Seperti Terengganu contohnya, apabila Pas mengambil alih pemerintahan negeri itu, pemimpinnya menghalau kanak-kanak Tadika daripada belajar di kelas. Kerusi, meja dibawa keluar. Bangunan tadika dirampas.
Apabila berlaku pilihan raya umum, kerajaan negeri seperti ini masih mahu dikekalkan oleh rakyat Terengganu? Pas akhirnya menerima pembalasan dan kalah teruk pada PRU ke-11 pada tahun 2004.
Begitu juga perkara sama akan menimpa Selangor dan Pulau Pinang pada PRU ke-14 ini. Rakyat di kedua-dua negeri itu sudah perit berada di bawah pemerintahan campuran antara PKR, DAP dan Pas di Selangor dan pemerintahan DAP di Pulau Pinang.
Di Selangor, bermacam janji ditabur oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Agak ketara sekali ialah kediaman Rumah Selangorku. Sejak dilancarkan sehingga kini apabila pemohon bertanya status permohonan, jawapannya, “masih dalam proses”. Sampai kucing bertanduk “dalam proses”.
Selain janji palsu, hubungan sesama rakan kongsi pun berkucah. Antaranya, PKR tidak lagi sebulu dengan Pas, manakala kerusi-kerusi DUN yang dimenangi oleh Pas akan turut ditandingi sama ada calon PKR mahupun DAP.
Ini sudah menunjukkan isyarat Selangor bakal kecundang. Dan jika, PH gagal mempertahankannya pada PRU 14 ini, ia bukan salah SPR, tetapi salah PH sendiri yang sengaja mencetuskan huru hara politik.
Begitu juga di Pulau Pinang. Khabarnya orang Melayu disisihkan daripada mendapat hak mereka memiliki rumah mampu milik. Antara tindakan tidak masuk akal kerajaan negerinya ialah menaikkan kos rumah mapu milik kepada tidak mampu milik oleh orang Melayu.
Perbuatan ini secara halus bertujuan untuk menafikan hak orang Melayu daripada memiliki rumah di kawasan bandar.
Sudah ramai rakyat Pulau Pinang merungut ketidakadilan dan sikap diskriminasi kerajaan negeri DAP. Ini juga petanda Pulau Pinang akan kecundang pada PRU 14. Adakah SPR akan dituduh laksanakan sistem pilihan raya tidak adil?
Ketidakadilan ini sebenarnya berpunca daripada kelemahan kepimpinan pembangkang itu sendiri. Mereka tidak pandai menjaga hati rakyat ketika diberi peluang mentadbir kerajaan negeri.
Mereka buat musuh dengan rakyat. Mereka lupa pada rakyat bila senang dan mereka mengabaikan kebajikan rakyat ketika rakyat mengadu dan memerlukan perhatian. – theRakyat (Siaran 1.2.18)

Tiada ulasan: