Isnin, 24 Disember 2007

Akhirnya Azharina dedah kisah cinta dengan Datuk S!


Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
SEBELUM ini penyanyi bersuara lantang Azharina Azhar, 22 langsung tidak mengetahui yang beliau menghidap penyakit Apendiks.
Setelah berasa sakit yang teramat dibahagian perut pada dua minggu lalu, penyanyi yang lebih mesra dengan nama Nina ini membuat pembedahan apendiks yang telah pecah atas saranan doktor di KPMC Pusat Perubatan Puchong Sdn. Bhd.
Azharina baru lepas menjalani pembedahan apendiks (Foto The Star)
"Semasa saya sedang buat pemulihan pejabat Top 3 Production Sdn. Bhd. di Bandar Puteri, saya rasa kejang diperut. Sakit tu makin bertambah dan sepupu saya cakap yang saya mungkin mengalami apendiks.
"Selepas tu kami ke hospital dan doktor kata apendiks saya dah pecah. Sebelum saya buat pembedahan pada hari tu, saya sempat lagi minta kebenaran dengan doktor untuk pergi membeli-belah dan saya kembali ke hospital untuk buat pembedahan pada jam empat petang.
"Pada jam lapan lebih, saya dah berada di rumah dan waktu tu saya terus ke pejabat lalu menyambung kerja di pejabat tanpa teringat yang saya baru selesai menjalani pembedahan di perut sebab tak rasa sakit sangat masa tu.
"Selepas tu baru sepupu saya tegur dan tanya samada saya ok atau tidak. Tetapi lama-lama tu mula rasa sakit. Tetapi ia tak terlalu sakit mungkin sebab saya amalkan minum ginseng dan pati ikan haruan. Hari ni pun sebenarnya ada rasa sakit sikit tapi itu tak menghalang saya untuk menyanyi," ujar Nina ketika ditemui di majlis ulangtahun kelima Rafflesia baru-baru ini di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur.
Kata Nina, beliau sanggup datang ke majlis tersebut atas undangan rakan baiknya, Bill Bora yang juga pengacara majlis pada malam itu.
Kedatangan Nina pada malam itu juga merungkai kisah perkahwinannya dengan seorang ‘Datuk’ yang dirahsiakan sebelum ini atas sebab tertentu.
"Memang sebelum ini Nina dah kahwin sejak dua tahun lalu. Nina terpaksa rahsiakan
Azharina kongsi cerita cintanya bersama Datuk Syukri
sebab tak mahu kecilkan hati madu saya.
"Kami kenal sejak enam tahun lalu di Kuala Lumpur melalui adik angkat kepada mak angkatnya.
"Sebelum ini saya memang tak tahu yang dia seorang ahli politik dan peguam. Dia menyamar jadi pemandu lori dan saya pula cakap tak bekerja.
"Selepas tu dia dapat nombor telefon saya melalui adiknya dan menghantar mesej yang ingin berjumpa dengan saya.
"Pada mulanya saya ‘jual mahal’ tetapi dia tetap tunggu untuk berjumpa saya selama dua jam.
"Sebab kesiankan dia, saya jumpa juga dan kami mula berkawan. Selepas tiga tahun baru saya tahu yang dia adalah seorang ‘Datuk’ melalui akhbar yang mengatakan dia menang kes," kata Nina yang bergelar isteri kepada Datuk Syukri Hj. Mohamad.
Bagi Nina, sikap ikhlas, lebih tua dan mempunyai ‘grey hair’ membuatkan beliau tertarik dengan lelaki yang berasal dari Kelantan itu.
"Sebab saya suka melihat warna rambut pelakon Richard Gere dan ahli politik Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah," ulas penyanyi yang popular dengan lagu Elegi Sepi dan Seandainya ini.
Menyentuh tentang anak, wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini akui teringin menimang cahayamata namun mereka belum dikurniakan rezeki.
"Lagipun kami jarang menghabiskan masa bersama. Saya ni seorang yang cepat bosan dan memang tak boleh jika terlalu kerap berjumpa.
"Banyak masa saya dihabiskan dengan kerja sebab saya seorang yang suka bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi mendapatkan kualiti yang boleh memuaskan hati," terang Nina yang lebih senang membuat kerja di pejabat dengan usahanya sendiri walaupun mempunyai lapan orang staf yang boleh membantunya.


(NOTA: NAK TENGOK GAMBAR PERSANDINGAN DATUK SHUKRI DENGAN AZHARINA? TUNGGU SEHARI DUA LAGI. DAH LAMA GAMBAR PERSANDINGAN MEREKA ADA DALAM SIMPANAN SAYA. TUNGGU EKK!! - MANZAIDIAMN)

Sabtu, 22 Disember 2007

Wawancara Samy Vellu "Karathu Kalam"

TEKS PENUH WAWANCARA SAMY VELLU DALAM PROGRAM "KARATHU KALAM" 22hb Dis 2007.
- Berikut adalah terjemahan teks wawancara Menteri Kerja Raya dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dalam program bual bicara berbahasa Tamil, "Karuthu Kalam" atau Forum Pendapat yang disiarkan di RTM2 pada pukul 6 petang ini.

Pengacara program ini ialah S. Pandithurai.

S: Datuk Seri, dalam tempoh 50 tahun era pascamerdeka, kaum India telah mengalami banyak perubahan begitu juga pencapaian. Anda telah melihat keadaan masyarakat ini sebelum menyertai MIC. Apabila anda memutuskan untuk menceburi dunia politik, anda telah memikirkan sasaran khusus dan tahap pencapaian bagi mereka. Apakah sasaran itu?
J: Saya menyertai politik pada 1957. Mengubah taraf hidup masyarakat adalah satu daripada sebab utama saya menceburi dunia politik. Ia terpahat kukuh di dalam fikiran saya. Saya sentiasa memikirkan cara dan kaedah bagi mewujudkan keadaan yang lebih baik bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Sebab itu saya menyertai MIC dan saya meningkat naik hirarki, langkah demi langkah. Apabila saya menjadi Presiden MIC pada 1979, saya menyedari bahawa hanya dengan mengubah kaum ini sebagai satu kaum yang berpendidikan, kita boleh bersaing dan berada setaraf dengan mereka yang lain.
Menyedari perkara ini, kami (MIC) membeli Akademi Vanto (satu institut pendidikan). Kami membantu ramai pelajar miskin yang menduduki SPM dan STPM. Dengan membawa mereka memasuki universiti dan menjadikan mereka siswazah, saya rasa kami dapat membawa banyak perubahan dalam masyarakat. Pengambilan pelajar India ke universiti pada ketika itu adalah satu peratus, 1.5 peratus dan 2 peratus. Kami berjaya meningkatkannya kepada 6 peratus dan 6.5 peratus sekarang.
Setiap kaum yang hidup di negara ini berjuang untuk mendapatkan pegangan mereka. Kami juga berjuang untuk hak kami. Jumlah kami adalah 7.8 peratus, kami telah mengadakan peluang-peluang bagi pengambilan pelajar kami pada 6 peratus.

Anda mungkin bertanya, kenapa pengambilan ini tidak lebih daripada itu. Mungkin, mereka tidak mempunyai kelayakan akademi. Universiti awam menawarkan tempat berdasarkan sistem mata. Hanya mereka yang memenuhi keperluan minimum ditawarkan tempat. MIC terus berjuang bagi mencari peluang-peluang dalam cara lain bagi mereka yang tidak berjaya.
Dalam tempoh 29 tahun saya menjadi Menteri, saya fikir tiada satu hari pun saya tidak berjuang demi kebaikan masyarakat. Saya telah bercakap tentang semua perkara. Saya boleh memberitahu satu perkara kepada mereka yang telah bertanyakan tentang apa yang telah saya lakukan.
Saya tidak mendedahkan tentang apa yang kami bincangkan, tentang apa yang telah saya perjuangkan di dalam Kabinet. Kami telah mengangkat sumpah menyimpan rahsia dan kami seharusnya tidak mendedahkan apa-apa perkara yang diputuskan Kabinet kerana dokumen kerajaan adalah diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

S: Sejarah menunjukkan bahawa kaum India terkenal dengan kesabaran dan kasih sayang. Anda telah berada di dalam Kabinet selama 29 tahun. Anda telah menyatakan anda telah mengajukan banyak permohonon, namun begitu ribuan orang menyertai demonstrasi di ibu negara. Satu persoalan timbul sama ada permohonan yang dimajukan kepada kerajaan telah dipenuhi atau tiada permohonan dilakukan. Beberapa pihak mendakwa bahawa demonstrasi itu bukan terhadap kerajaan tetapi adalah terhadap MIC, yang mewakili kaum India, di dalam Kerajaan. Apakah komen anda tentang perkara ini?
J: Kemarahan mereka bukanlah kerana saya tidak membangkitkan atau memohon bagi keadaan pahit getir masyarakat. Kemarahan mereka adalah kerana kekurangan. Apabila 50 memohon kerja, jika hanya seorang yang mendapat kerja, bukan sahaja mereka marah malah saya sendiri berasa kecewa.

Kami telah perjuangkan perkara ini berulang-ulang kali. Jika seseorang berkata saya tidak membangkitkan perkara ini di dalam Kabinet... saya mempunyai dokumen. Jika saya perlu mendedahkanya, saya perlu mendapat kelulusan Perdana Menteri.
Dengan keizinan Kerajaan, saya boleh membuktikan bila dan apa yang telah saya bangkitkan. Saya bukan seorang individu yang mewakili orang ramai tetapi tidak menghiraukan tentang masalah mereka dan bersuka ria. Dari waktu saya bangkit waktu pagi, saya bekerja sehingga pukul 1 pagi.
Kenapa? Saya melakukannya demi kebaikan masyarakat. Ramai yang menyatakan bahawa keadaan hidup masyarakat tidak bertambah baik. Saya tidak percaya perkara ini. Jika mereka berkata bahawa apa yang kita peroleh tidak mencukupi, saya akan bersetuju dan saya akan memohon lebih banyak lagi.
Saya telah meminta peluang-peluang berdasarkan peratus kependudukan kita, bukan sahaja dengan Perdana Menteri sekarang tetapi juga dengan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) dan Tun Hussein Onn, sejak saya berkhidmat di bawah tiga perdana menteri. Saya berasal dari keturunan yang sentiasa membangkitkan masalah dengan jelas tanpa rasa takut.
Saya tidak pernah berasa takut dalam apa jua keadaan.

S: Datuk Seri, baru-baru ini kemarahan kaum India telah menyebabkan mereka mengadakan demonstrasi jalanan. Perdana Menteri telah menjemput NGOs (pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan) untuk menemui beliau.
J: Melalui pertemuan ini... mungkin mereka berfikir bahawa saya tidak pernah membangkitkan sebarang masalah di dalam Kabinet dan saya hanya seperti boneka. Oleh yang demikian, mereka sendiri boleh menyatakannya kepada Perdana Menteri.
Saya telah melakukan kesemuanya tentang apa yang mereka minta. Tetapi adakala orang mengubah fikiran.
Apabila mereka mengubah fikiran, mereka berada dalam satu pemikiran ilusi bahawa hanya mereka yang bimbangkan masalah dan saya tidak.
Contohnya, malah sebelum mereka hendak menemui Perdana Menteri, saya telah memberi indikasi kepada beliau (Perdana Menteri) bahawa saya ingin menemuinya. Saya memberikan indikasi itu kerana saya mahu mereka mempunyai peluang untuk memahami daripada Perdana Menteri.

S: Di bawah kepimpinan anda, adakah MIC pernah mendekati NGOs, bertanyakan mereka tentang isu-isu dan mencuba untuk menyelesaikannya?
J: Biasanya, persatuan-persatuan utama kaum India akan menjemput saya merasmikan mesyuarat tahunan mereka dan pada masa beginilah saya bertanyakan tentang masalah mereka. Saya mencatatkan komen-komen mereka. Kemudiannya saya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan dan mengambil tindakan perlu bagi menyelesaikannya. Saya telah melakukan perkara ini bertahun-tahun lamanya.

S: Datuk Seri, sebagai Presiden MIC, setiap tahun anda akan menyerahkan memorandum kepada ketiga-tiga perdana menteri sebagaimana yang anda nyatakan sebelum ini. Sebahagiannya telah diselesaikan. Sebahagian lagi diketepikan. Dalam tempoh 29 tahun lepas, adakah anda pernah kecewa terhadap perkara-perkara yang diketepikan?
J: Tidak kesemua permintaan dalam tempoh 29 tahun lepas diketepikan. Dalam tempoh 29 tahun, apabila kami memohon bagi 20, kami mendapat 10. Oleh itu, kami sentiasa mendapat manfaat. Kita tidak boleh menyatakan kita tidak memperoleh apa-apa. Saya mempunyai rekod tentang apa yang kita dapat. Saya tahu bagaimana Kerajaan menyalurkan bantuan.
Secara lebih khusus, dua tahun lepas, saya membawa perhatian Kabinet bahawa kaum India memerlukan bantuan dalam bidang perniagaan. Kerajaan menerusi skim kredit mikro BSN telah mengadakan pinjaman. Saya bercakap dalam Kabinet dan mengatur untuk mengeluarkan pinjaman kepada 4,000 orang yang berjumlah sebanyak RM40 juta. Kami terus melakukan perkara ini.
Sekarang, untuk membantu 2,500 orang mendapat pinjaman, kami telah mengadakan seminar di semua ibu negeri. Kita bersedia untuk melahirkan 5,000 usahawan baru menjelang tamatnya RMK9 (Rancangan Malaysia Kesembilan). Kita tidak boleh acapkali menyatakan perkara ini dalam akhbar-akhbar. Terdapat banyak kelemahan dalam masyarakat kita.
Dalam masyarakat orang Melayu, sedangkan orang biasa membaca akhbar. Amalan ini amat kurang dalam masyarakat kita. Mereka sering kali bercakap berdasarkan apa yang mereka dengar daripada orang lain atau mereka sentiasa memikirkan tentang apa yang dihasut orang lain.
Jika keadaan ini hendak berubah dan semua orang mula membaca akhbar, mereka akan tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Saya tidak pernah menghalang diri saya daripada memaklumkan tentang langkah-langkah kita. Jika saya perlu menyenaraikannya, saya fikir satu buku boleh diterbitkan.

S: Datuk Seri, telah disebutkan dalam RMK9 ekuiti kaum India akan ditingkatkan daripada 1.2 peratus kepada 3 peratus. Begitupun, kita masih belum melihat apa-apa mekanisme khusus tentang bagaimana hendak mencapai hasrat ini?
J: Apabila RMK9 digubal, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) memberikan kami draf (RMK9). Apabila ia diberikan, kami melantik 80 hingga 85 pakar untuk meneliti rancangan dan mengenalpasti kelemahannya. Kami mengadakan perbincangan tentang bagaimana untuk mencadangkan pemulihan bagi kelemahan berkenaan.

Kami mengemukakan satu laporan kepada Perdana Menteri menjelaskan tiada apa yang akan berlaku dalam tempoh lima tahun jika cadangan-cadangan tertentu tidak dimasukkan dalam RMK9. Laporan ini disediakan oleh pakar-pakar.
Selain memberi penekanan akan keperluan meningkatkan ekuiti kaum India daripada 1.2 peratus kepada 3 peratus, dalam laporan itu kami juga memperincikan bagaimana hendak mencapainya. Kami mencadangkan mekanisme serupa sebagaimana yang dilakukan untuk orang Melayu menerusi badan-badan yang diasaskan kerajaan.
Kami telah meminta kerajaan supaya memberikan peluang-peluang yang sama kepada kami. Namun akhir-akhir ini, dalam tempoh empat bulan ini harga saham dalam pasaran saham meningkat mendadak. Dulu semasa saham masih murah, tiada siapa berminat untuk membeli saham meskipun ditawarkan.
Saya sentiasa bertanya tentang saham syarikat-syarikat yang akan disenaraikan bagi kaum India. Terdapat peluang-peluang untuk memperolehnya.

S: Anda telah menyebut bahawa anda telah banyak perkara dalam bidang ekonomi. Namun begitu, melihat kepada status terkini Maika Holdings, bagaimana anda fikir ia telah menjejaskan keyakinan orang awam terhadap MIC?
J: Saya rasa adalah lebih baik untuk saya menjelaskan perkara ini. Puncanya adalah apabila ekonomi sedang merudum, kita menubuhkan sebuah syarikat. Apabila negara kita teruk terjejas berikutan kemerosotan ekonomi, perniagaan kita tidak dapat menembusi semua peringkat.

Tetapi, kita tidak melantik ahli-ahli politik untuk menguruskan syarikat. Saya tidak pernah campur tangan dalam syarikat. Memandangkan kita telah mengamanahkan seseorang untuk mengendalikan syarikat, saya rasa adalah tidak wajar untuk saya campur tangan.
Sementara itu, mereka membeli banyak benda. Saya mendapat satu juta saham TV3 bagi mereka. Mereka menjual satu juta saham pada harga RM20 juta dan mengadakan urus niaga. Dalam banyak cara, saya telah mengaturkan bagi mereka untuk memperoleh saham-saham, di mana sahaja yang mungkin.
Saya tidak pernah campur tangan dalam operasi mereka. Apabila prestasi syarikat merosot dan merudum kepada satu tahap yang amat teruk, mereka tidak lagi berupaya melakukan urus niaga. Pada ketika ini, kami mempunyai aset dalam bentuk pegangan ekuiti dalam United Capital Insurance, sebelum ini dikenali sebagai LIC.
Syarikat kami memegang 79 peratus ekuiti saham dalam syarikat insuran, dengan nilai saham bernilai kira-kira RM120 juta. Begitu juga, kami mempunyai tanah di Sepang. Nilai pasaran semasa adalah kira-kira RM20 juta atau RM16 juta hingga RM18 juta.

Jika kita melihat secara keseluruhan, kami mempunyai aset bernilai RM135 juta hingga RM140 juta bagi anggota kami. Kami juga mempunyai pinjaman kira-kira RM30 juta. Kami mahu menjual aset-aset bagi melunaskan pinjaman.
Ada pihak tertentu yang mempolitikkan isu Maika. Kami cuba mengembalikan wang kepada orang ramai dengan menjual syarikat insuran. Pertama, mereka meleteri kami untuk mengembalikan wang mereka.
Mereka terus menerus menulis mengenainya dalam akhbar-akhbar.

Kami fikir segalanya baik dan membuat rancangan untuk menjual syarikat insuran. Harga jualan ditentukan. Perjanjian ditandatangani. Resolusi untuk menjual syarikat diluluskan dalam mesyuarat tahunan pemegang saham syarikat. Kemudian, Nesa Coperative dan Datuk (S) Subramaniam secara bersama memfailkan injunksi di mahkamah dan menghentikan urusan penjualan.
Berikutan ini, wang tidak dapat dikembalikan kepada pemegang saham. Benar-benar, kami ingin mengembalikan wang. Saya fikir setiap RM1 yang dilaburkan, mereka boleh memperoleh sehingga RM1.30. Mereka juga diberikan saham-saham khusus. Sementara kami sedang bersiap sedia, mereka pergi ke mahkamah dan memfailkan injunksi terhadap kami dan menghentikannya.
Tetapi saya memberitahu satu perkara kepada orang ramai, saya yang pergi ke semua tempat, bercakap dengan mereka dan meminta mereka melabur. Saya mengatur rancangan yang diperlukan bagi mengembalikan wang itu. Saya akan melakukannya.

S: Anda memberi jaminan...?
J: Ya.

S: Datuk Seri, sebelum ini anda menyatakan bahawa pengambilan pelajar India ke universiti telah meningkat. Ada perasaan kecewa. Secara umumnya, kita menyatakan 6.7 peratus dan 7 peratus tetapi pengambilan dalam beberapa kursus seperti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan berkurangan. Mereka mengambil pengajian lain. Adakah anda fikir perangkaan pengambilan ini relevan pada masa kini?
J: Pada masa lepas, prosedur pengambilan adalah berdasarkan kelayakan. Apabila peluang ditawarkan berdasarkan kelayakan, ramai pelajar mendapat tempat. Kemudian, kerajaan menggunakan polisi berbeza (meritokrasi). Jika kita melihat kepada dasar selepas kemerdekaan, adalah dipersetujui bahawa peratusan tertentu tempat diperuntukkan kepada Bumiputera.
Ia tidak dipersetujui semasa zaman kepimpinan saya tetapi sebelum itu lagi. Kita mempunyai kontrak sosial antara kita (India), Melayu dan Cina. Apabila kita bersetuju untuk memberikan hak istimewa kepada orang Melayu, mereka perlu memberikan kita kerakyatan dan peluang-peluang saksama untuk membangun bersama-sama mereka.
Berdasarkan prinsip ini, kontrak sosial digubal. Saya belum lagi berada dalam dunia politik ketika perkara ini berlaku. Saya masih seorang budak ketika itu. Tetapi sekarang, ramai berkata bahawa mereka tidak menyedari akan perjanjian politik sedemikian.
Mereka bertanya kenapa ada hak istimewa. Hak istimewa ini bukan hanya wujud di Malaysia sahaja. Malah di India, permintaan sedang dilakukan bagi memperuntukkan 50 peratus untuk masyarakat yang ketinggalan. Peruntukan ini wujud pada setiap peringkat dalam keadaan berbeza.
Saya tidak mempersoalkan peruntukan khusus bagi orang Melayu. Kita hanya meminta apa yang kita layak peroleh.

S: Datuk Seri, berhubung perkara ini, malah Biro Pendidikan MIC tidak mempunyai pecahan angka pengambilan pelajar India ke universiti mengikut bidang kursus.
J: Tidak. Saya memperolehnya. Mereka tidak memberikan kepada Biro Pendidikan. Pada masa lepas, apabila mereka tidak menyediakan perangkaan, peratusan adalah sekitar 1.2 peratus dan 1.5 peratus. Kemudian, apa yang kita lakukan adalah melantik orang di setiap universiti untuk mendapatkan data bagi bilangan pelajar India dan kursus-kursus yang mereka ikuti.
Kami menyerahkan laporan kepada Dr Mahathir dalam Kabinet. Saya bertanya kepadanya bagaimana beliau hendak memastikan kemajuan masyarakat India jika senario sedemikian wujud. Beliau terkejut dan bertanya bagaimana kami mendapat perangkaan itu.
Saya menjelaskan kepada beliau bahawa kami menghantar orang ke setiap universiti untuk mendapatkan data. Hanya selepas itu, ada satu keputusan bahawa jika seseorang Menteri mengutarakan soalan mengenai apa-apa rahsia kerajaan, satu jawapan bertulis mesti dikemukakan kepada Kabinet.
Sekarang, saya mempunyai semua maklumat mengenai pengambilan pelajar dan kursus-kursus yang diikuti mereka. Jika kita melihat berdasarkan peratusan, kita mempunyai lebih daripada 6 peratus. Tetapi pada masa ini, biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) telah diperuntukkan kepada kira-kira 160 pelajar kita.
Pada mulanya, mereka memberikan kepada 110 pelajar. Saya mempertikaikan perkara ini. Saya mengadakan perbincangan dengan JPA dan Jabatan Perdana Menteri. Kemudian, Ketua Setiausaha Negara pada awalnya menambah 30 dan kemudian menambah 25 lagi.
Tetapi satu atau dua pelajar tidak meperoleh biasiswa itu kerana mereka telah ke universiti lain. Perjuangan ini bukan berlaku sekali sekala. Ia berlaku setiap minggu.


S: Datuk Seri, bahasa Tamil adalah nyawa orang Tamil. Terdapat 523 sekolah Tamil di negara ini tetapi keadaan sekolah-sekolah ini amat menyedihkan. Ada sebuah lagu : Apabila anda melihat ke bangunan pencakar langit dan anda melihat ada sebuah pondok di sebelahnya; jika kita menamakannya tanah emas dan dunia akan tertawa begitu jua Tuhan. Dalam sebuah negara yang sudah membangun ke tahap ini, anak-anak kita mempelajari (bahasa) Tamil di tempat yang tidak mempunyai tandas dan sekolah sempurna. Apakah yang anda rasa mengenai keadaan ini? Berapa lama keadaan sebegini harus berlanjutan? Apakah langkah-langkah untuk memperbaikinya?
J: Terdapat 522 sekolah Tamil di negara kita. 180 daripada mereka adalah sekolah-sekolah bantuan kerajaan dan bakinya adalah sekolah-sekolah bantuan sebahagian. Sekolah-sekolah bantuan sebahagian bermakna perbelanjaan pengurusan dan gaji guru dibayar oleh Kerajaan. Kerajaan akan sekali-sekala memberikan bantuan bagi kos membina dan memperbaiki bangunan.
Saya dan MCA (Presiden) Datuk Seri Ong Ka Ting telah berjuang untuk mengubah keadaan ini sejak sekian lama dalam Kabinet. Sebelum ini, mereka kata ada sekolah agama dan mereka juga memohon untuk sekolah mereka ditukar kepada sekolah bantuan penuh.
Jika ini berlaku, ia akan membebankan Kerajaan. Sejak 1983 hingga kini, kita telah membina semula 76 sekolah Tamil. Tiada siapa dapat mengenali sekolah-sekolah ini. Saya tidak tahu jika mereka menghadapi masalah penglihatan atau sekolah ini bermain silap mata. Saya boleh nampak sekolah ini tetapi mereka tidak. Pada setiap masa, sekolah Tamil dibina. Di Sungai Petani, sekolah Kalaimagal (Tamil) beroperasi dalam bangsal. Saya fikir ia adalah kuarters lama JKR (Jabatan Kerja Raya).
Selepas melihat kesengsaraan 589 pelajar, saya ke sekolah ini dua atau tiga kali untuk menenangkan mereka. Kemudian (Ketua MIC Kedah) Datuk Saravanan mendapat tanah baru (daripada kerajaan negeri). Sekarang sekolah itu memiliki bangunan baru tiga tingkat.
Tidak lama lagi, sekolah ini akan mempunyai lebih banyak kelas dan kemudahan tambahan. (Lebih ramai) pelajar akan belajar di sekolah ini. (Serupa juga) kepada sekolah (Tamil) Wellesley, juga di Kedah. Kami membina sembilan bilik darjah. Sebelum ini, sekolah ini berfungsi daripada satu bilik darjah.
Kita mempunyai sekolah (Tamil) Mahatma Gandhi di Sitiawan. Saya membuat pelan dan membinanya. Saya menjadikannya satu cabaran. Nasib baik, memandangkan saya Menteri Kerja Raya, urusan mudah dilaksanakan. Kami boleh melihat sekolah ini secara khusus, membuat laporan dan membuat rancangan.
Selain daripada 76 sekolah, sekarang ada 16 sekolah baru. Sekolah (Tamil) Kajang dengan sejumlah 1,200 pelajar hanya mempunyai enam bilik darjah. Sekarang kita sedang membina 46 bilik darjah.

S: Datuk Seri, ketakutan dan kemarahan adalah sejak Kementerian Kerja Raya menjadi portfolio anda, anda mempunyai keistimewaan untuk melaksanakannya. Persoalannya adalah kenapa tidak semua sekolah Tamil ditukar menjadi sekolah-sekolah bantuan penuh? Soalan kedua adalah jika sesebuah sekolah ditutup, ia adalah kerana kekurangan murid. Ini kerana masyarakat berhijrah dari ladang ke kawasan bandar. Daripada menghendaki pelajar pergi ke sekolah di mana ia terletak, kenapa kita tidak membina sekolah di mana masyarakat menetap... apakah halangannya dan mengapa ada kelewatan?
J: Tidak ada halangan. Kira-kira dua bulan lepas, saya menyerahkan satu laporan meminta sebuah sekolah Tamil dibina di Paya Besar. Kami juga menyerahkan kos tanah itu. Harga tanah itu adalah RM2.5 juta. Kos bangunan adalah RM2.5 juta lagi. Kami kata kita boleh membina sekolah itu jika kita mempunyai RM4.5 juta. Saya memohon lesen baru.
Sekarang kita sudah membuat pelan baru. Saya telah mengumumkannya sebulan lepas bahawa kita boleh membina kira-kira 80 sekolah di kawasan baru di mana penduduknya ramai. Kami sedang mengambil langkah-langkah perlu sekarang.
Satu aspek penting dalam isu sekolah Tamil adalah ramai yang ingin mendapat keuntungan politik dan bukannya mencari penyelesaian kepada masalah. Sekolah Tamil Bukit Selorong di Kulim tidak mempunyai bekalan air kerana ketiadaan saluran paip. Selama ini pengurusan estat membekalkan air ke sekolah. Sekarang, masyarakat di sana lebih suka mencari publisiti isu ini di akhbar daripada mengemukakan permohonan kepada saya untuk mendapatkan bekalan air. Inilah sikap mereka.
S: Datuk Seri, anda telah bercakap tentang kuil. Lima orang kini ditahan mengikut ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Suhakam menyatakan penahanan ini adalah bertentangan dengan hak asasi manusia. Apakah pandangan anda tentang penggunaan ISA terhadap mereka?
J: Apabila terdapat ancaman terhadap keselamatan negara, Kerajaan perlu menggunakan ISA. Anda lihat apa telah berlaku di sini. Bukan hanya di sini, ada kemungkinan perkara ini bertukar menjadi rusuhan di seluruh negara. Kerajaan menyedari keadaan ini, dan menyedari lama kelamaan ia boleh bertukar menjadi rusuhan kaum.
Berdasarkan pengalaman lepas dan juga penderitaan yang pernah kita lalui dan bagi melindungi keselamatan awam, Perdana Menteri mahu perkara ini dihentikan. Itulah sebabnya beliau melakukan perkara ini. Sejumlah 31 ditahan dan didakwa atas cubaan membunuh.
Sebelum saya menulis surat (rayuan) kepada Perdana Menteri, saya sendiri sebenarnya telah bercakap dengan Peguam Negara. Kesemua mereka adalah belia dan sebilangan mereka adalah pelajar. Saya bertanya sama ada terdapat peluang untuk membebaskan mereka atau meringankan dakwaan.
Beliau kata (Peguam Negara) ia perlu dibincangkan dengan Perdana Menteri. Saya sendiri telah membincangkannya dengan Perdana Menteri dan beliau telah menyampaikan rayuan kita kepada Peguam Negara supaya meneliti perkara ini.
S: Datuk Seri, anda telah menempuh perjalanan selama 50 tahun selepas kemerdekaan. (Pengacara merujuk kepada lirik lagu nukilan penyajak terkenal Tamil Nadu, Pattukottai Kalyanasundram, yang merujuk “sebagus mana hasil penuaian, yang miskin kekal miskin.”) Keadaan sudah berubah sekarang. Untuk memenuhi kehendak rakyat anda mungkin mahu pemimpin yang bersemangat dan aktif di bawah kepimpinan anda. Adakah anda mempunyai apa-apa rancangan untuk perubahan?
J : Biasanya, saya akan memperkenalkan muka-muka baru semasa pilihan raya dan saya akan menugaskan mereka dengan tugas-tugas khas. Memandangkan saya bekerja dalam tempoh yang panjang, saya tidak boleh memantau mereka pada setiap masa. Ia akan menjejaskan kerja saya. Saya akan memberitahu tentang tugas dan tanggungjawab mereka semasa mesyuarat bulanan Jawatakuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.
Sebilangan mereka memahami dengan jelas tugas mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya (tetapi) beberapa orang sudah mencapai tahap lesu. Melihat kepada keadaan ini, saya akan melakukan banyak perubahan. Ini pasti akan berlaku. Seperkara lagi, anda bertanya tentang lagu Pattukottai Kalyanasundram.
Sekarang, jika dia masih hidup dan melawat negara kita, dia mungkin mengubah lirik lagu asal apabila membandingkan status masyarakat India di sini dengan orang India di India. Pada masa lepas, kita hanyalah pekerja ladang. Moyang dan datuk nenek saya adalah kuli. Semua orang sudah maju tetapi tahap kemajuan ini mungkin tidak mencukupi.
Inilah isunya. Jika seseorang menyatakan bahawa tiada siapa maju dalam tempoh 50 tahun lepas dan kita kekal sama seperti masa dulu, saya fikir orang itu abnormal. Ratusan ribu orang telah maju dalam tempoh 50 tahun. Dulu mereka bekerja di ladang dan tinggal di kuarters dalam ladang. Sekarang mereka sudah keluar dari estet dan bekerja dalam sektor pengeluaran.
Mereka memperoleh pendapatan agak lumayan. Anda boleh melawat Paya Besar di Kulim. Terdapat 22 taman perumahan. Ribuan mereka adalah kaum India dan bekerja di Kulim Hi Tech Park. Sekarang kita mempunyai semua peluang. Kita telah mendidik seramai 42,000 pelajar di Kolej Tafe. Tetapi tidak semua tahu perkara ini. Kenapa mereka tidak tahu? Ini bukan kerana mereka tidak tahu tetapi tidak mahu mengakuinya.
S: Datuk Seri, anda mewujudkan Yayasan Strategik Sosial (YSS) bagi menyelesaikan isu-isu sosial. Ia menerima peruntukan kerajaan. Pada pendapat anda, sejauh manakah YSS berjaya menangani isu-isu kemasyarakatan?
J: Cadangan kita yang dimasukkan ke dalam RMK9 adalah ekoran kajian yang dilakukan oleh YSS. Jika tidak kerana YSS, cadangan itu mungkin diketepikan. Pada masa dulu ia berbeza. Kita perlu melakukan kajian sendiri. Memandangkan kita mempunyai YSS, sekarang kita boleh mengenalpasti isu-isu seperti di dalam bidang apa kita kekurangan pelajar, berapa ramai doktor sudah diambil, berapa ramai ditawarkan pekerjaan, berapa ramai pula tidak mempunyai kerja.
Apabila kita mengumpulkannya menjadi laporan, saya boleh mengemukakan untuk perhatian Kabinet dan membangkitkan soalan mengapa tidak ramai ditawarkan kerja. Saya pernah berdebat tentang peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam.
Dua minggu lepas, Perdana Menteri dalam satu mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri, Ketua Pengarah JPA dan Ketua Setiausaha Negara telah mengarahkan supaya kajian dilakukan mengapa kaum India tidak diberikan peruntukan sewajarnya dalam peluang pekerjaan.
Kemudian Timbalan Perdana Menteri mengemukakan laoran mengesahkan kita tidak diberi peluang pekerjaan menurut hak peratusan yang sah. Siapa yang mencari penyelesaian isu ini? Saya mengemukakan aduan... penyelesaian akan dilakukan.
S: Datuk Seri, akhirnya apakah yang anda ingin perkatakan?
J: Negara kita menawarkan banyak peluang-peluang. Kita hanya boleh berjaya jika kita terus berusaha berjuang pada setiap peringkat. Jika kita takut menempuhi halangan yang muncul semasa melakukannya... tiada apa yang akan berlaku.
Tetapi saya tidak akan menyesatkan masyarakat ini. Saya bersedia untuk mempertaruhkan semua tenaga saya dan usaha dalam apa jua kaedah bagi membawa kemakmuran. Sejak saya mengambil alih tanggungjawab ini, saya telah melihat ribuan orang miskin setiap minggu.
Saya menemui 600 hingga 800 orang pada setiap Selasa, kecuali pada hari Selasa bila saya mempunyai tugas rasmi. Saya mendengar masalah mereka dan menyediakan penyelesaian. Saya tidak pernah takut berjumpa rakyat.
(Datuk Seri Samy Vellu mengakhiri bicara dengan lirik lagu merujuk: “Jika ada tangisan dalam kalangan masyarakatku, akan ada titisan darah di hatiku)
S: Datuk Seri, terima kasih atas komen anda.
J: Terima kasih.

Selasa, 18 Disember 2007

Nombor Bilik Gerakan

Nombor Bilik Gerakan Banjir
Kota Bharu 09-747 4564
Pasir Mas 09-790 4299
Kuala Krai 09-960 6473
Jeli 09-944 0915
Tumpat 09-725 5901
Tanah Merah 09-955 5672
Gua Musang 09-912 4839
Machang 09-975 2962
Pasir Puteh 09-786 1722
Bachok 09-778 3242

Banjir terburuk di Kelantan


Berita ini dilaporkan pada jam 9 malam 18hb Disember 2007 / Selasa

KOTA BHARU - Banjir di Kelantan bertambah buruk apabila jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dua jajahan di negeri ini bertambah kepada 10,388 orang berbanding 10,077 orang petang kelmarin.
Paras air di Sungai Golok di Jenob dan Rantau Panjang pula masih lagi di atas paras bahaya manakala tempat menyukat banjir di Sungai Kelantan semakin surut, kecuali Tambatan Diraja Kota Bharu masih di atas paras bahaya iaitu 5.13 meter. Paras bahaya ialah 5 meter.
Korban banjir pula kekal kepada 14 mangsa setelah mayat seorang pemuda yang hilang sejak tiga hari lalu setelah mandi bersama rakannya di Jambatan Sungai Kwang, Bukit Panau ditemui oleh pasukan penyelamat petang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkata, daripada 10,388 orang yang dipindahkan, jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah tertinggi penempatan mangsa banjir iaitu 7,822 orang.
Katanya, Tumpat juga turut mencatatkan jumlah pemindahan terbanyak iaitu 2,239 orang diikuti Tanah Merah 163 orang dan Kota Bharu masih berbaki 114 orang.
"Jalan yang ditutup masih sama iaitu di Kilometer 65 Jalan Gua Musang - Kuala Krai di Sungai Lakit dan di Kilometer 35 Jalan Gua Musang - Jelawang, Dabong berikutan berlaku tanah runtuh dan semua kenderaan tidak boleh melaluinya.
"Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di Kilometer 13 dan Jalan Tumpat-Pengkalan Kubor yang masing-masing dinaiki air sedalam 0.8 meter juga turut ditutup kepada semua jenis kenderaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Pengguna jalan raya yang hendak ke Kelantan boleh menggunakan laluan Jalan Raya Timur Barat dari Gerik di Perak dan juga melalui Terengganu.
Sementara itu, Unit Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan melaporkan, paras air yang masih melepasi paras bahaya sehingga jam 7 malam tadi ialah Kusial Tanah Merah 16.61 meter (bahaya 16 meter), Tambatan Diraja Kota Bharu 5.13 meter (bahaya 5 meter), Sungai Golok Rantau Panjang 10.27 meter (bahaya 9 meter).
Katanya, Sungai Golok di Jenob mula surut dan berada di paras 22.81 meter iaitu bawah paras bahaya. Paras bahaya 23.50 meter.
"Pekan Rantau Panjang dan sebahagian dari Tumpat digenangi air berikutan limpahan air Sungai Golok yang berpunca daripada pelepasan air sebuah empangan di selatan Thailand sejak beberapa hari lalu.

Selamat Aidiladha

Assalamualaikum
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN DAN TETAMU YANG MENGUNJUNGI BLOG INI.
PERTAMA-TAMA SAYA HENDAK MEMOHON JUTAAN MAAF KERANA TIDAK DAPAT MENGISI BAHAN BERITA, MAKLUMAT DAN ILMU PENGETAHUAN DALAM BLOG INI DISEBABKAN TIDAK MEMPUNYAI MASA YANG MENCUKUPI. SAYA TERAMAT SIBUK DENGAN PROGRAM MEMPROMOSI AKHBAR SINAR HARIAN SEJAK KEBELAKANGAN INI SEHINGGA TIDAK ADA SEDIKIT PUN RUANG UNTUK ON BLOG INI.
INSYA-ALLAH SELEPAS HARI RAYA INI SAYA AKAN CUBA UNTUK MENCERIAKAN SEMULA BLOG INI.
APAPUN, KEPADA RAKAN-RAKAN YANG MENUNAIKAN HAJI, SAYA UCAPKAN DOA SELAMAT UNTUK MEREKA. "SELAMAT PERGI KE TANAH SUCI DAN SELAMAT PULANG KE TANAH AIR. SEMOGA KALIAN MENDAPAT HAJI MABRUR DARIPADA ALLAH S.W.T
DAN KEPADA RAKAN-RAKAN YANG KORBAN TERNAKAN (LEMBU, UNTA DAN KAMBING) DIDOAKAN SEMOGA KORBAN ITU MENDAPAT KEMULIAAN DISISI ALLAH.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. ALLAHHUAKHBAR!! ALLAHHUAKHBAR!! ALLAHHUAKHBAR!! ALLAHHUAKHBAR!!

Rabu, 12 Disember 2007

Aidiladha tetap 20 Dis

Walau Saudi sambut lebih awal
Tarikh sambutan Aidiladha untuk umat Islam di Malaysia kekal pada 20 Dis seperti ditetapkan sebelum ini, meskipun ia disambut sehari lebih awal di Arab Saudi.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu memaklumkan bahawa tiada sebarang perubahan memandangkan tarikh tersebut ditetapkan mengikut hisab dan rukyah di negara ini.
Perkara itu telah disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam.
Ahad lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah mengumumkan sambutan Aidiladha bagi Malaysia ditetapkan pada 20 Dis ini.
Sementara Majlis Kehakiman Tertinggi Arab Saudi pada Isnin lalu pula mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1428 Hijrah ialah pada hari Isnin, 10 Dis iaitu sehari lebih awal daripada yang dijangkakan setelah anak bulan Zulhijjah kelihatan berdasarkan penentuan tarikh secara rukyah.
Berikutan itu, hari wukuf bagi musim haji tahun ini ditetapkan pada Selasa 18 Dis manakala Aidiladha di Arab Saudi disambut pada Rabu 19 Dis.

Selasa, 11 Disember 2007

Pesan Roh Kepada Manusia

Tazkirah!

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia.
Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".
Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".
Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh" . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.
Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka.

Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya."
Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.
Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: "Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku."

"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku."
"Adapun di dunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku."
Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka.

Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman.
Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".
Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka.

Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji dihadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya.
Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur di mukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.
Baginda Rasullullah S.A.W berkata:Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar.
Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail a.s. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga.

Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail a.s.
"Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail a.s. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya.
Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T.

" Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.
Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain.

" Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah,tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.
"Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu.
"Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan al-Quran dan zikir".
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."
Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T.
Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
Abu Bakar r.a. telah ditanya mengenai ke mana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar r.a: "Roh itu menuju ke tujuh tempat:-
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa beserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."
Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.


Sabtu, 8 Disember 2007

Enam sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri


GUA MUSANG - Enam maut dan dua parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 63 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Kampung Sungai Lakit, dekat sini, semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Mohd Razali Mohd Ripin, 32; isterinya, Haridhah Hassan, 32; dan tiga anak mereka, Mohd Zuhairi, 8; Mohd Zul Fadli, 6; dan Mohd Aiman, 3 tahun.

Turut terbunuh ialah adik Mohd Razali, Siti Nor Fahana Mohd Ariffin, 10. Semua mangsa dikatakan mati di tempat kejadian.
Pemandu lori, Sukarnan Saim, 49, dan isterinya, Maimun Nuh, 45, cedera parah dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Empat penumpang kereta itu dikatakan tercampak keluar dan terhumban di bawah cerun sebelah kiri jalan menghala ke Kuala Krai.

Mohd Razali dan Haridhah pula tersepit di bahagian depan kereta dan dikeluarkan orang ramai dalam keadaan sudah tidak lagi bernyawa.

Anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 11.56 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
Ketika itu hanya tiga mangsa yang ditemui, dua lagi tersepit dalam kenderaan berkenaan dengan salah seorang daripadanya telah dikeluarkan oleh orang ramai.

Anggota bomba telah melakukan pemeriksaan di dalam semak berhampiran dan menemui tiga lagi mangsa yang lain setelah menerima maklumat daripada waris mangsa yang kereta itu dinaiki enam orang.

Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan ke Senawang setelah bertolak dari rumah mereka di Perupok, Bachok, manakala lori berkenaan pula dalam perjalanan ke Tanah Merah dari Kuala Lumpur.

Kereta itu dipercayai terbabas dan berpusing beberapa kali berikutan jalan licin sebelum memasuki lorong sebelah kanan jalan dan bertembung lori terbabit.

PM: Pantau hubungan Hindraf-pengganas


Saya tidak bercadang untuk campur tangan dengan memaparkan isu HINDRAF dalam blog ini, tetapi setelah mengikuti perkembangannya dari awal lagi, saya seperti terpanggil untuk berkongsi kes/isu ini dengan pelayar dihormati.
Pada pandangan peribadi saya, rasanya amat tidak wajar pengerak HINDRAF menjalankan gerakan menghasut kaum India supaya membenci kerajaan. Selama ini mereka telah diberi layanan sama rata, baik dari segi ekonomi, pembangunan dan kemudahan asas dengan orang Melayu, Cina dan kaum-kaum lain di negara ini.
Apa lagi yang mereka nak? Tidak sedikit rakyat mereka diambil kerajaan untuk menjadi pemimpin. Tidak sedikit orang mereka berjaya dalam perniagaan dan tidak sedikit masyarakat mereka berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan orang Melayu.
Kalau mereka mendakwa purata daripada mereka hidup dalam kemiskinan dan tidak mendapat tempat di sektor awam dan swasta, begitu juga dengan kaum Melayu, Cina dan lain-lain.
Saya rasa sedihlah dengan gerakan HINDRAF ini yang secara terang-terangan cuba mencetuskan isu perkauman di kalangan kaum mereka.
Tidakkah mereka menjadikan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai pengajaran dan peringatan? Jangan kerana demi kepentingan diri, kita menyusah orang lain. Saya percaya majoriti rakyat di negara ini, baik India, Cina mahupun Melayu tidak suka kepada kekacauan.
Berikut saya lampirkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai HINDRAF.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Bahawi hari ini mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya sentiasa memantau rapi semua kegiatan Hindu Rights Action Force (Hindraf) termasuk mengenai kaitannya dengan gerakan pengganas antarabangsa.
"Saya dah tahu mengenai perkara ini dan saya cadangkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) sendiri yang membuat kenyataan berdasarkan maklumat yang ada pada polis.
"Arahan saya (ialah supaya) ia dipantau dengan rapi," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Kecil dan Sederhana (IKS) peringkat negeri Johor, di sini hari ini.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri diminta mengulas kenyataan Musa semalam bahawa Hindraf dipercayai cuba mendapatkan sokongan kumpulan pengganas.
Menurut Musa, selain menagih sokongan negara-negara asing dan meminta bantuan kumpulan pengganas, kumpulan pelampau itu juga menubuhkan sebuah dana untuk membiayai aktiviti mereka.
Ditanya apa bentuk tindakan hasil pemantauan pihak berkuasa setakat ini terhadap Hindraf memandangkan kumpulan ini dikatakan boleh mengancam keselamatan negara, Perdana Menteri berkata: "Bila sudah sampai tahap berbahaya, kita tahu apa kita akan buat".
Mengenai saranan supaya kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas dalang Hindraf, Abdullah berkata beliau perlu meneliti opsyen itu sebelum membuat sebarang keputusan.
Hari ini tokoh politik wanita negara Tan Sri Aishah Ghani serta Gerakan 4B Malaysia mahu kerajaan menggunakan ISA ke atas dalang kumpulan yang tidak berdaftar ini bagi mengelak berlakunya perkara lebih buruk.

Jumaat, 7 Disember 2007

Tabung Umi Azlim dilancar


Tabung Umi Azlim dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Pasir Puteh semalam untuk membantu ibu bapanya yang memerlukan sumber kewangan bagi tempoh rayuan dua tahun Umi Azlim yang diberikan Mahkamah Guangdhong.
Kutipan awal kini mencecah RM10,000, termasuk sumbangan RM4,000 daripada pemimpin setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata, sokongan moral berterusan diperlukan keluarga Mohamad Lazim Jusoh yang sudah bertolak ke Kuala Lumpur malam semalam bagi menguruskan visa pemergian ke negara China pada 10 Disember ini.
Beliau berkata, dalam aspek sosial ini ia bukan lagi suatu landasan politik tetapi berteraskan konsep sokongan kemanusiaan bagi membantu satu keluarga yang menghadapi kesusahan apabila anaknya dikatakan diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan dijatuhkan hukuman mati di negara China.
"Gerakan memungut dana tabung ini akan diadakan ke seluruh Pasir Puteh dan akan dipanjangkan ke Kuala Lumpur untuk mendapat simpati ahli perniagaan Kelantan di sana yang sedia menghulurkan bantuan.
"Kita lahirkan simpati untuk sama-sama berkongsi kesusahan dan sentiasa bersedia membantu apa-apa keperluan keluarga berkenaan sepanjang tempoh membuat rayuan terhadap kes yang disabitkan dalam masa dua tahun ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan kutipan tabung berkenaan.
Selain bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri, keluarga berkenaan masih memerlukan bantuan lanjutan kerana sepanjang tempoh dua tahun itu mereka memerlukan sumber kewangan yang banyak.
Menurutnya, konsep membantu mereka yang kesusahan sewajarnya menjadi tradisi rakyat Kelantan tanpa mengira faham politik atau perbezaan kaum.

Khamis, 6 Disember 2007

Umi Azli dan Raja Munirah mangsa keadaan


"Sinar Harian patut jadi pembela dengan menubuhkan tabung bagi membela anak watan kita, Umi Azlim yang ditahan di China."
"Di mana Sinar Harian ketika keluarga Umi Azlim memerlukan bantuan kewangan untuk melihat anaknya yang dipenjarakan di China? Harap Sinar mainkan peranan supaya pihak tertentu tampil membantu keluarga malang itu."
Itu adalah dua mesej sistem pesanan ringkas (SMS) yang kita terima daripada pembaca ketika akhbar ini menyiarkan nasib Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang dikenakan hukuman mati oleh pihak berkuasa China kerana kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.
Kita terkedu dengan mesej itu dan membuat kesimpulan betapa berkesannya laporan muka depan Sinar Harian bertarikh 4 Disember 2007, dan keesokan hari wartawan kita dari Pasir Puteh menemui keluarga Umi Azlim dan menzahirkan perasaan mereka untuk siaran 5 Disember 2007.
Berikutan itu, beberapa pihak, sama ada ahli perniagaan, peguam dan pemimpin politik telah menghubungi Sinar Harian menyatakan hasrat dan hajat mereka untuk membantu keluarga malang berkenaan.
Alhamdulillah, hasil kesungguhan Sinar Harian menyiarkan kisah sedih keluarga Mohamad Lazim Jusoh dan isterinya, Umi Slaia Ibrahim, kini keluarga itu akan dapat bertemu dengan anak kesayangan mereka yang ditahan di penjara wilayah Guangdong, China, tidak lama lagi.
Kita berharap, selepas ini akan ada bantuan lain seperti khidmat guaman untuk membela anak gadis yang tidak berdosa ini daripada menerima hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya. Walaupun mahkamah negara itu memberi tempoh dua tahun untuk rayuan, ia suatu jangka masa yang singkat.
Kenapa kita kata singkat? Sebab sebenarnya, Umi Azlim telah dijatuhkan hukuman itu pada 15 Mei lalu, dan daripada tempoh itu, bekas penuntut jurusan Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah itu mempunyai masa sekurang-kurangnya satu setengah tahun sahaja lagi.
Itu yang kita katakan singkat kerana banyak lagi bukti perlu dicari dan dikumpulkan, termasuk mengesan lelaki Nigeria yang dikatakan sebagai pemilik sebenar heroin itu. Apa pun, kita serahkan perkara itu kepada yang lebih arif, yang penting, sebagai rakyat Kelantan dan Malaysianya, marilah kita sama-sama berdoa semoga rakyat kita yang teraniayai dapat diselamatkan.
Bercakap mengenai sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan gadis, suka kita ingin berkongsi pendapat dengan pembaca. Ini kerana kes seumpama ini bukan perkara baru. Kita dimaklumkan, sepanjang tahun ini sahaja seramai 30 orang rakyat negara kita telah ditahan dan kini merempat di penjara beberapa negara asing.
Menurut Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Bakri Zinin, kes seumpama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah tekanan kepada ibu bapa dan keluarga mereka kerana hukuman bagi kesalahan itu kebiasaannya amat berat termasuk hukuman mati.
Walaupun telah banyak ingatan dibuat menerusi media, kes melibatkan wanita Malaysia berumur antara 20-an dan 30-an diperalatkan sindiket dadah terus berulang. Sepanjang Oktober saja, tiga gadis kita yang bertindak sebagai 'drug courier' (pembawa dadah) bagi menyeludup dadah sama ada secara sedar atau tidak telah ditahan di dua negara.
Dua daripada wanita itu ditahan di Caracas, Venezuela manakala seorang di Australia dan risikan mendapati wanita terbabit telah diperdaya oleh lelaki Nigeria dan Iran untuk menyeludup dadah ke negara berkenaan. Daripada jumlah itu, wanita Melayu adalah yang tertinggi ditahan iaitu 15 orang manakala India (tujuh), Cina (enam) dan kaum lain (dua).
Bakri berkata, daripada 30 tangkapan itu, sembilan daripada mereka ditahan di Peru, enam di Argentina, lima di China, empat di Australia, lima di Venezuela manakala seorang di Jepun. Mereka ditahan setelah didapati membawa dadah jenis Kokain, Ephedrine, Methamphetamine, Syabu dan Heroin.
Kita sedih dan dukacita kerana anak-anak gadis kita telah dijadikan mangsa pihak tidak bertanggungjawab. Kenapa begitu? Kepada siapa harus dipersalahkan? Sekarang bukan masanya untuk menuding jari, yang penting ialah memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan remaja.
Siapakah pihak yang harus memberi kesedaran itu? Tidak lain ialah diri kita sendiri. Jika media melaporkan kes-kes berkaitan sindiket dadah yang menggunakan anak gadis, dari situ kita harus membuka minda untuk memberi peringatan kepada anak-anak bawah jagaan kita.
Kita tidak boleh mengharapkan Kerajaan Malaysia supaya menggunakan hubungan diplomatik untuk membebaskan anak kita daripada kesalahan yang telah disabitkan kerana kita harus menghormati undang-undang di negara masing-masing.
Sebagai contoh, apabila Mahkamah Tinggi Jepun menolak rayuan Raja Munirah Raja Iskandar bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo tahun lepas, kita harus akur.
Raja Munirah, keluarganya, rakyat Kelantan dan Malaysia amnya harus akur dengan keputusan itu. Hukuman dikenakan, baik terhadap Raja Munirah mahupun Umi Azlim setelah pihak pendakwa negara itu mempunyai 'prima facie' terhadap mereka.
Usaha selanjutnya terletak kepada peguam bela tertuduh untuk membuat rayuan dengan mengemukakan hujah dan bukti kukuh bagi membebaskan Raja Munirah dan Umi Azlim.

Kesihatan penyair tersohor Abdulhadi semakin baik

Penyair tersohor Kelantan, Abdul Hadi Mohamed, 53, atau nama penanya Abdulhadi kini semakin baik setelah menderita menghidap penyakit asma sejak beberapa bulan lalu.

Setelah hampir tiga bulan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu kini Abdul Hadi telah dipindahkan ke wad Teratai.

Adiknya, yang juga seorang penulis skrip drama radio, puisi dan teater terkenal Kelantan, Rosli K Matari, ketika dihubungi memberitahu keadaan abangnya kini semakin beransur pulih.

Bagaimanapun, katanya, Abdulhadi belum mampu bercakap sebagaimana biasa.

"Kalau dia minta sesuatu dia hanya akan menulis," katanya.

Rosli memberitahu, sebelum ini abangnya separuh sedar dan dirawat di ICU memandangkan keadaannya yang semakin tenat.

Abdul Hadi, merupakan seorang penyair terkenal tanah air melalui puisi-puisi puitisnya yang bertemakan kemanusiaan, kemasyarakatan, keagamaan, alam dan politik.

Kebanyakkan puisi-puisinya mendapat tempat di media-media tempatan sejak akhir 70-an hingga kini.

Namanya tersenarai antara penulis-penulis tersohor tanah air sebaris Nawawi Mohamed, Hazmi Yusoff, Maswan Salleh (antara beberapa nama) dan juga merupakan nama besar penulis Kelantan yang cukup dikenali ramai.

Abdul Hadi juga merupakan pengasas Grupemuisi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akhir tahun 70-an, bergerak aktif dalam persatuan khususnya Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan pernah memegang jawatan sebagai Anggota Jawatankuasa persatuan tersebut.

Dalam pengabdiannya sebagai seorang penulis khususnya puisi, beliau pernah memenangi beberapa anugerah di antaranya menang Hadiah Sastera Malaysia dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1984/85 melalui puisinya Urir char 1986/87 Di Meja Makan 1986 (Chernobyle, Russia).

Selain itu, Hadi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Islam) turut memenangi hadiah Utusan-Publik Bank di samping pernah melahirkan antologi puisi persendirian yang bertajuk ‘Ruang Dalam’ dan ‘Racun Abadi’.

Selain itu juga, beliau pernah memenangi syembara puisi kebangsaan anjuran Esso-Gapena pada tahun 1989.
Paling membanggakan salah sebuah puisinya juga pernah diterjemahkan dalam Bahasa Russia sekitar tahun 80-an.

"Beliau juga merupakan seorang penulis yang berpegang pada ajaran Islam, sebab itu kita dapati hasil karyanya lebih bertemakan keislaman dan kemanusiaan,"ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakan penyair seluruh negara termasuk pendokong dan peminat sastera tanah air mendoakan kesejahteraan abangnya agar segera sembuh sebagaimana biasa.

"Mudahan dengan kesembuhannya itu beliau dapat menggarapkan lagi puisi-puisi indah bertemakan keislaman dan kemanusiaan, insya-Allah.

Selasa, 4 Disember 2007

Mahkamah Jepun tolak rayuan Raja Munirah


KUALA LUMPUR: Sebuah Mahkamah Tinggi di Jepun hari ini menolak rayuan pelajar Malaysia Raja Munirah Raja Iskandar bagi mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara tujuh tahun empat bulan kerana cuba membawa masuk 690 gram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo tahun lepas.
Peguamnya Rosal Azimin Ahmad, ketika dihubungi berkata, mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Raja Munirah selama 100 hari, yang bermakna dia akan dipenjara selama tujuh tahun sebulan.
Rosal Azimin berkata mahkamah tidak menerima keterangan laporan forensik siber, iaitu laporan data SMS, bagi mengetepikan semua mesej SMS antara Raja Munirah dan lelaki Iran bernama Milad, yang didakwa oleh Raja Munirah sebagai orang yang menganiayainya.
Katanya mahkamah mendapati keterangan menerusi laporan forensik siber itu tidak mencukupi selain meragui kesahihan laporan data SMS itu.
Rosal Azimin berkata beliau bersama sekumpulan peguam Jepun akan merayu kepada Mahkamah Agung dalam masa 10 hari ini.
Raja Munirah, 22, pelajar bidang sebaran am di sebuah kolej swasta di Malaysia, telah mengaku bersalah terhadap tuduhan itu pada 20 Dis tahun lepas.
Dia mendakwa diperdaya oleh Milad untuk membawa beg melepasi pusat pemeriksaan kastam tanpa mengetahui kandungannya.
Dia kini berada di pusat tahanan Kosuge di Tokyo.Bapanya, Raja Iskandar Shah Raja Abdul Aziz, 48, berkata beliau pasrah dengan keputusan mahkamah itu namun berharap tempoh untuk membuat rayuan ke Mahkamah Agung dilanjutkan bagi membolehkan pihaknya mengumpul bukti yang lengkap supaya ia tidak dipersoalkan lagi kelak.
"Saya difahamkan banyak bukti yang dikemuka sebelum ini dipertikaikan oleh mahkamah, jadi kali ini kami akan berusaha untuk mengumpul bukti yang lebih kukuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Raja Iskandar Shah juga berharap supaya Polis Diraja Malaysia atau Interpol turut membantunya dalam usaha mengumpul bahan bukti bagi membolehkan anak gadisnya itu dibebaskan.
Beliau turut meminta jasa baik manamana kementerian berkaitan yang prihatin dengan nasib keluarganya untuk sama-sama campur tangan bagi memudahkan proses rayuan itu.
"Sebelum ini saya hanya dapat sokongan dan bantuan daripada saudara mara serta rakanrakan. Belum ada kementerian terbabit ataupun pihak berkuasa tempatan yang tampil untuk menghulurkan bantuan," katanya.

UMNO Bantu Ibu Bapa Umi Azlim


Umno-Bantu
UMNO USAHA BANTU HANTAR IBU BAPA UMI AZLIM KE CHINA
PASIR PUTEH - Umno Bahagian Pasir Puteh akan cuba berusaha menanggung kos pemergian keluarga Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah ke negara China.
Pegawai Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal Tuan Mustaffa Tuan Mat berkata sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengumpul antara RM30,00 hingga RM50,000 bagi kos pemergian bapa Umi, Mohamad Lazim Jusoh, 50, dan ibunya Umi Slaia Ibrahim, 45, ke China.
Umi Azlim telah ditahan di China pada Januari lalu atas tuduhan membawa masuk heroin seberat 2,983 gram ke negara itu dan telah dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu.
Bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah itu telah diberi tempoh dua tahun dari tarikh hukuman untuk membuat rayuan.
"Kita akan menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai kes itu," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga terbabit di Kampung Tok Kamis di sini, hari ini.
Tuan Mustafa berkata beliau akan cuba mendapatkan sumber kewangan daripada pelbagai pihak bagi membantu keluarga terbabit termasuk mengutip derma daripada penduduk kampung itu sendiri.
Beliau berkata pihaknya memerlukan perbelanjaan tersebut termasuk kos guaman dan khidmat juru bahasa.
Sementara itu, Mohamad Lazim, seorang pesara tentera, berkata beliau dan keluarganya mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada orang ramai kerana beliau tidak mampu untuk menanggung kos yang begitu tinggi.
Katanya pendapatannya yang bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat Proton di sini serta pendapatan isterinya dari hasil jualan goreng pisang dan air minuman hanya cukup bagi menampung keperluan lima orang anak yang masih dalam tanggungan.
-- BERNAMA

Polis bantu gadis Kelantan dihukum mati

Polis bantu dapatkan maklumat gadis Kelantan yang dihukum mati

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berusaha untuk bekerjasama dengan kerajaan Republik China bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes gadis rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membawa masuk heroin ke negara itu pada 19 Januari lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar, pihaknya akan berhubung dan meminta kerjasama baik dari kerajaan republik itu untuk menyiasat kes tuduhan terhadap tersebut secara lebih terperinci.
Ketika bercakap kepada pemberita, beliau meminta seluruh rakyat di negara ini dan PDRM sendiri perlu menghormati undang-undang yang ditetapkan oleh Negara China dan akan mencari jalan untuk menghantar wakil bagi berbincang mengenai rayuan terhadap kes gadis berkenaan.
"Kita kena ikut semua prosedur yang ditetapkan, dan dalam kes ini, dia (Umi Azlim) masih boleh merayu, kita akan cuba usaha untuk bantunya," katanya ketika ditemui selepas satu majlis sempena rangka lawatan kerjanya selama dua hari ke kontinjen Kelantan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru, semalam.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujudnya satu sindiket yang menggunakan rakyat Malaysia terutamanya wanita sebagai alat untuk membawa masuk dadah ke mana-mana negara.
Jelasnya lagi, sindiket tersebut dipercayai beroperasi di sebalik aktiviti dan syarikat yang menggunakan pelbagai taktik termasuk menawarkan pekerjaan yang lumayan tanpa disedari dan diketahui oleh mereka yang terlibat menjadi mangsa.
"Kita nasihatkan orang ramai dan rakyat, berwaspada dan sentiasa berhati-hati dalam perkara sebegini," katanya.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai seorang gadis, Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, dari Pasir Puteh, Kelantan, yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-Undang Jenayah Guangzhou republik itu pada 15 Mei lepas atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2.983 gram.
Kelmarin, ibu Umi Azlim, Umi Slaia Ibrahim, 45, memberitahu anak perempuan sulungnya itu yang baru beberapa bulan bekerja selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Sains Biologi dilaporkan bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang yang hanya dikenali sebagai 'Datuk Anas' di ibu negara.
Menurut Umi Slaia, oleh kerana anaknya fasih berbahasa Inggeris telah dipilih oleh syarikat itu untuk menjalankan urusan di luar negara, namun ekoran hubungan yang terputus sejak Januari lalu, wanita terbabit yang khuatir akan keselamatan Umi Azlim bertindak ke Jabatan Imigresen Kelantan dan diminta merujuk ke Wisma Putra untuk maklumat lanjut.
Umi Slaia memberitahu dia bagaimana pun percaya anak gadisnya itu tidak bersalah dan telah dianiaya oleh lelaki Nigeria yang bernama 'UG' berdasarkan kepada keterangan Umi Azlim dan saksi lain dalam surat mahkamah yang dikirimkan ke Wisma Putra itu.

Gadis Kelantan dihukum mati di China


Pada dasarnya, dalam naluri hati kecil saya... Saya amat bersimpati dengan nasib rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara. Tetapi apa boleh buat. Polis negara itu bukan saja-saja hendak menahannya. Ada sebab kenapa mereka ditahan. Tambahan pula, kes penahanan yang melibatkan gadis Malaysia bukan perkara baru. Ia berlaku saban tahun. Macam-macam kes dilaporkan yang berakhir dengan keputusan negatif dan positif.

Secara peribadi, saya tidak tahu apa yang mereka fikirkan ketika ditawarkan oleh seseorang untuk 'bekerja' di luar negara. Adakah mereka hanya memikirkan duit? Tanpa memikirkan yang terselindung di sebalik pemilihan mereka ke luar negara?

Sejarah membuktikan, tidak ada perkara yang baik berlaku dengan pemergian mereka ke luar negara melainkan mereka ditahan kerana membawa dadah.

Walaupun mereka menafikan dadah itu miliknya, tidak semudah itu untuk polis mempercayainya. Begitu juga dengan polis kita jika ada kes seumpama itu berlaku di negara ini. Mereka perlu menjalani proses undang-undang. Jika terbukti mereka bersalah, maka bersalahlah. Jika mahkamah mendapati mereka tidak bersalah, mereka akan dibebaskan. Dan ia akan menjadi pengajaran. Malangnya pengajaran itu hanya untuk mereka sahaja, bukan dikongsi oleh orang ramai.

Gadis Kelantan dihukum mati
Diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman untuk membuat rayuan. Hampir setahun tanpa khabar akhirnya sebuah keluarga di sini menerima berita buruk mengenai anak perempuan sulung keluarga itu telah ditahan di China atas tuduhan membawa masuk heroin ke negara itu pada 19 Januari lalu.
Lebih memilukan, menerusi sepucuk surat ke Wisma Putra bertarikh 12 Julai lalu, dikatakan Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou republik itu pada 15 Mei lalu atas kesalahan menyeludup masuk heroin seberat 2,983 gram.
Ibu Umi Azlim, Umi Slaia Ibrahim, 45, berkata, anaknya itu diberi tempoh dua tahun dari tarikh dijatuhi hukuman itu untuk membuat rayuan.
"Inilah yang membuatkan saya sekeluarga merasa sangat sedih. Sudahlah beberapa bulan tidak mendengar berita akhirnya anak saya ditahan di China atas kesalahan berat ini dan telah dijatuhi hukuman mati.
"Saya dimaklumkan dadah itu untuk diserahkan kepada seorang rakyat Nigeria yang bernama ‘UG’ sebaik tiba di Shantou (China) apabila menerima satu bungkusan di Bangkok (Thailand)," katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu di Kampung Tok Kamis di sini semalam.
Umi Slaia berkata, dadah itu ditemui tersorok dalam baju sejuk di bagasi anaknya sebaik tiba di Shantou.

Umi Azlim yang baru beberapa bulan bekerja selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Sains Biologi dilaporkan telah bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang yang hanya dikenali sebagai ‘Datuk Anas’ di ibu negara.
Menurut Umi Slaia, oleh kerana anaknya fasih berbahasa Inggeris telah dipilih syarikat itu untuk menjalankan urusan di luar negara.
"Sebelum ini Umi selalu menelefon saya sehinggalah terputus hubungan sejak Januari lalu," katanya.
Umi Slaia berkata disebabkan khuatir keselamatan Umi Azlim, dia telah ke Jabatan Imigresen Kelantan di sini tetapi telah diminta merujuk kes itu ke Wisma Putra.
"Pegawai Wisma Putra di Putrajaya memberi jaminan untuk cuba mengesan Umi Azlim jika benar berada di luar negara tetapi akhirnya telah dimaklumkan anak saya kini ditahan di China kerana kes dadah," katanya sebak.
Umi Slaia percaya anak sulungnya itu tidak bersalah dan telah dianiaya oleh lelaki Nigeria itu berdasarkan kepada keterangan Umi Azlim dan saksi lain dalam surat mahkamah yang dikirimkan ke Wisma Putra itu.
Mengikut keterangan Umi Azlim di mahkamah, dadah jenis heroin itu telah diserahkan kepadanya oleh seorang wanita rakyat China bila tiba di Bangkok dan telah diminta menyerahkan barang berkenaan kepada lelaki Nigeria itu sebaik tiba di Shantou.
"Anak saya tidak akan buat perkara ini dan dia tidak tahu apa-apa jika tidak dianiaya," katanya.
Bapanya Mohamad Lazim, 50, seorang bekas tentera yang kini bekerja di bengkel servis Proton di sini berkata, Umi Azlim adalah harapan keluarga dan merupakan anak yang baik dan rajin.
"Dia sanggup buat kerja yang susah asalkan dapat bantu keluarga dan kehilangan tanpa berita ini sangat merunsingkan kami," katanya.
Perkongsian hidup Mohamad Lazim dan Umi Slaia telah dikurniakan enam cahaya mata - tiga lelaki, tiga perempuan.
Adik Umi Azlim, Mohamad Azlizan kini belajar di Universiti Medan dan yang lainnya masih bersekolah kecuali Mohamad Azkairunaim, 20, yang telah bekerja.
Keluarga ini mengharapkan ada pihak yang sudi membantu mereka untuk mendapatkan peguam bagi Umi Azlim untuk membuat rayuan itu.
"Saya dan isteri hendak sangat berjumpa Umi Azlim di Penjara Guangzhou tetapi kami orang susah apatah lagi nak dapatkan peguam.
"Kami nak dengar sangat apa cerita sebenar yang berlaku dan saya berharap rakyat Malaysia tolonglah kami terutama anak kami sedang berdepan dengan maut," kata Mohamad Lazim. - BERNAMA

Isnin, 3 Disember 2007

Lagi remaja kita ditahan di luar negara kerana dadah


Satu lagi kes rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana membawa dadah. Kes ini melibatkan remaja perempuan berasal dari Kelantan.

PASIR PUTEH, 3 Dis -- Mohamad Lazim Jusoh, 50, bersama isterinya Umi Slaia Ibrahim, 45, menatap gambar anaknya Umi Azlim, 24, ketika ditemui di Kampung Kamis dekat sini hari ini.Umi Azlim telah ditahan dan dipenjara di negara China atas tuduhan membawa masuk dadah ke republik itu pada Jan lalu.Umi Azlin pelajar lepasan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Jurusan Sains Biologi dilaporkan telah bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang "Datuk" yang hanya dikenali sebagai "Datuk Anas" di ibu negara.

Sabtu, 1 Disember 2007

Wanita Pembawa Dadah-Bawa Padah

Nak kata tak bagi nasihat, sudah banyak nasihat diberikan. Nak kata media tidak dedahkan kes-kes sebelum ini, sudah banyak kali disiarkan, baik TV mahupun akhbar. Tetapi kenapa masih ada lagi kes wanita kita ditahan di luar negara kerana membawa dadah? Ini yang peliknya. Nak kata mereka bodoh, berdasarkan rekod yang dilaporkan semuanya adalah berpendidikan tinggi. Mungkin kerana nak ubah selera nafsu barang kali. Yalah, 'barang Melayu' mana best kalau tak kena 'barang' pak Arab, Pak Iran, Pak Salleh. Sekarang siapa yang susah? Diri sendiri dan ibu bapa. Tepuk dada tanya selera.


Dadah-Perdaya (Eksklusif)
PEMBAWA DADAH: 30 WANITA MALAYSIA JADI MANGSA TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) - Kes wanita rakyat Malaysia yang menjadi mangsa diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa semakin meningkat dan tahun ini sahaja sebanyak 30 orang ditahan dan kini merempat di penjara beberapa negara asing.

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Datuk Bakri Zinin berkata kes seumpama itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa malahan tekanan kepada ibu bapa dan keluarga mereka kerana hukuman bagi kesalahan itu kebiasaannya amat berat termasuk hukuman mati.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata walaupun telah banyak ingatan dibuat menerusi media, kes melibatkan wanita Malaysia berumur antara 20-an dan 30-an diperalatkan sindiket dadah terus berulang.

"Tahun ini sahaja sebanyak 30 kes seumpama itu yang melibatkan wanita tempatan dikesan. Terbaru pada bulan Oktober sahaja, tiga lagi wanita tempatan yang bertindak sebagai "drug courier" (pembawa dadah) bagi menyeludup dadah sama ada secara sedar atau tanpa sedar ditahan di dua buah negara," katanya.

Dua daripada wanita itu ditahan di Caracas, Venezuela manakala seorang di Australia dan risikan mendapati wanita terbabit telah diperdaya oleh lelaki Nigeria dan Iran untuk menyeludup dadah ke negara berkenaan, katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, wanita Melayu adalah yang tertinggi ditahan pihak berkuasa luar negara iaitu sebanyak 15 orang manakala India (tujuh), Cina (enam) dan kaum lain (2).
Bakri berkata daripada 30 tangkapan itu, sembilan daripada mereka ditahan di Peru, enam (Argentina), lima (China), empat (Australia), lima (Venezuela) manakala seorang di Jepun.
Mereka ditahan setelah didapati membawa dadah jenis Kokain, Ephedrine, Methamphetamine, Syabu dan Heroin.

"Sejumlah 86.5 kilogram dadah telah dirampas dan yang paling berat pernah dibawa ialah dadah jenis kokain seberat 10 kilogram di Argentina," kata Bakri.
Beliau berkata polis Malaysia sebenarnya menghadapi kesukaran untuk membantu dalam siasatan kes seumpama itu walaupun ada desakan daripada keluarga.

"Amat sukar untuk kita mengetahui atau mengikuti segala perkembangan siasatan kes di luar negara terutama untuk mengesan dalang sebenar yang terlibat."

Menurutnya mengikut prosedur, bahagian risikan tidak boleh berhubung dan menemubual mereka yang terlibat melainkan melalui saluran Imigresen.

"Kita perlu menghormati undang-undang negara berkenaan sepertimana mereka perlu menghormati undang-undang di negara ini," katanya.

Ogos lepas, Bernama pernah melaporkan bahawa kerana ingin hidup mewah dan terlalu percaya kepada teman lelaki sebagai punca wanita tersebut terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Anggota sindiket itu dikesan masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelajar dengan modus operandi menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit dan setelah mendapat kepercayaan mereka, wanita itu dihantar ke luar negara dengan diberikan kemudahan dan kemewahan.

Antara kes yang mendapat liputan meluas media Malaysia ialah penahanan Raja Munirah Raja Iskandar, 22, oleh pihak berkuasa Jepun kerana menyeludup dadah jenis syabu seberat 690 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Dis tahun lepas.

Pelajar jurusan komunikasi massa sebuah kolej swasta di sini mendakwa tidak mengetahui membawa bungkusan berisi dadah setelah diperdaya lelaki Iran yang hanya dikenali sebagai Milad yang menawarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) di syarikatnya yang kononnya berpangkalan di Jepun dengan gaji kira-kira RM9,000 (AS$2,500) sebulan.

Raja Munirah kini menjalani hukuman penjara tujuh tahun empat bulan sementara menunggu perbicaraan rayuan kesnya pada 4 Dis ini di Mahkamah Tinggi Jepun.

Bakri yang jelas bimbang dengan keadaan yang semakin serius itu berharap ibu bapa dapat memainkan peranan dengan lebih prihatin terhadap pergerakan anak mereka terutama anak gadis yang mula ingin berdikari.

Katanya bagi menyedarkan masyarakat terutama golongan sasaran, Jabatan Narkotik PDRM mengadakan ceramah ke seluruh negara termasuk di pusat pengajian tinggi .

-- BERNAMA