Selasa, 4 Disember 2007

UMNO Bantu Ibu Bapa Umi Azlim


Umno-Bantu
UMNO USAHA BANTU HANTAR IBU BAPA UMI AZLIM KE CHINA
PASIR PUTEH - Umno Bahagian Pasir Puteh akan cuba berusaha menanggung kos pemergian keluarga Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah ke negara China.
Pegawai Penyelaras Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Gaal Tuan Mustaffa Tuan Mat berkata sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengumpul antara RM30,00 hingga RM50,000 bagi kos pemergian bapa Umi, Mohamad Lazim Jusoh, 50, dan ibunya Umi Slaia Ibrahim, 45, ke China.
Umi Azlim telah ditahan di China pada Januari lalu atas tuduhan membawa masuk heroin seberat 2,983 gram ke negara itu dan telah dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu.
Bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah itu telah diberi tempoh dua tahun dari tarikh hukuman untuk membuat rayuan.
"Kita akan menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai kes itu," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga terbabit di Kampung Tok Kamis di sini, hari ini.
Tuan Mustafa berkata beliau akan cuba mendapatkan sumber kewangan daripada pelbagai pihak bagi membantu keluarga terbabit termasuk mengutip derma daripada penduduk kampung itu sendiri.
Beliau berkata pihaknya memerlukan perbelanjaan tersebut termasuk kos guaman dan khidmat juru bahasa.
Sementara itu, Mohamad Lazim, seorang pesara tentera, berkata beliau dan keluarganya mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada orang ramai kerana beliau tidak mampu untuk menanggung kos yang begitu tinggi.
Katanya pendapatannya yang bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat Proton di sini serta pendapatan isterinya dari hasil jualan goreng pisang dan air minuman hanya cukup bagi menampung keperluan lima orang anak yang masih dalam tanggungan.
-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran