Jumaat, 7 Disember 2007

Tabung Umi Azlim dilancar


Tabung Umi Azlim dilancarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, Pasir Puteh semalam untuk membantu ibu bapanya yang memerlukan sumber kewangan bagi tempoh rayuan dua tahun Umi Azlim yang diberikan Mahkamah Guangdhong.
Kutipan awal kini mencecah RM10,000, termasuk sumbangan RM4,000 daripada pemimpin setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Datuk Kamaruddin Mohd Nor berkata, sokongan moral berterusan diperlukan keluarga Mohamad Lazim Jusoh yang sudah bertolak ke Kuala Lumpur malam semalam bagi menguruskan visa pemergian ke negara China pada 10 Disember ini.
Beliau berkata, dalam aspek sosial ini ia bukan lagi suatu landasan politik tetapi berteraskan konsep sokongan kemanusiaan bagi membantu satu keluarga yang menghadapi kesusahan apabila anaknya dikatakan diperalatkan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan dijatuhkan hukuman mati di negara China.
"Gerakan memungut dana tabung ini akan diadakan ke seluruh Pasir Puteh dan akan dipanjangkan ke Kuala Lumpur untuk mendapat simpati ahli perniagaan Kelantan di sana yang sedia menghulurkan bantuan.
"Kita lahirkan simpati untuk sama-sama berkongsi kesusahan dan sentiasa bersedia membantu apa-apa keperluan keluarga berkenaan sepanjang tempoh membuat rayuan terhadap kes yang disabitkan dalam masa dua tahun ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan kutipan tabung berkenaan.
Selain bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri, keluarga berkenaan masih memerlukan bantuan lanjutan kerana sepanjang tempoh dua tahun itu mereka memerlukan sumber kewangan yang banyak.
Menurutnya, konsep membantu mereka yang kesusahan sewajarnya menjadi tradisi rakyat Kelantan tanpa mengira faham politik atau perbezaan kaum.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran