Sabtu, 8 Disember 2007

Enam sekeluarga maut dalam kemalangan ngeri


GUA MUSANG - Enam maut dan dua parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 63 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Kampung Sungai Lakit, dekat sini, semalam.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Mohd Razali Mohd Ripin, 32; isterinya, Haridhah Hassan, 32; dan tiga anak mereka, Mohd Zuhairi, 8; Mohd Zul Fadli, 6; dan Mohd Aiman, 3 tahun.

Turut terbunuh ialah adik Mohd Razali, Siti Nor Fahana Mohd Ariffin, 10. Semua mangsa dikatakan mati di tempat kejadian.
Pemandu lori, Sukarnan Saim, 49, dan isterinya, Maimun Nuh, 45, cedera parah dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Empat penumpang kereta itu dikatakan tercampak keluar dan terhumban di bawah cerun sebelah kiri jalan menghala ke Kuala Krai.

Mohd Razali dan Haridhah pula tersepit di bahagian depan kereta dan dikeluarkan orang ramai dalam keadaan sudah tidak lagi bernyawa.

Anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang menerima panggilan daripada orang ramai pada jam 11.56 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
Ketika itu hanya tiga mangsa yang ditemui, dua lagi tersepit dalam kenderaan berkenaan dengan salah seorang daripadanya telah dikeluarkan oleh orang ramai.

Anggota bomba telah melakukan pemeriksaan di dalam semak berhampiran dan menemui tiga lagi mangsa yang lain setelah menerima maklumat daripada waris mangsa yang kereta itu dinaiki enam orang.

Keluarga malang itu dikatakan dalam perjalanan ke Senawang setelah bertolak dari rumah mereka di Perupok, Bachok, manakala lori berkenaan pula dalam perjalanan ke Tanah Merah dari Kuala Lumpur.

Kereta itu dipercayai terbabas dan berpusing beberapa kali berikutan jalan licin sebelum memasuki lorong sebelah kanan jalan dan bertembung lori terbabit.

Tiada ulasan: