Selasa, 18 Disember 2007

Banjir terburuk di Kelantan


Berita ini dilaporkan pada jam 9 malam 18hb Disember 2007 / Selasa

KOTA BHARU - Banjir di Kelantan bertambah buruk apabila jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dua jajahan di negeri ini bertambah kepada 10,388 orang berbanding 10,077 orang petang kelmarin.
Paras air di Sungai Golok di Jenob dan Rantau Panjang pula masih lagi di atas paras bahaya manakala tempat menyukat banjir di Sungai Kelantan semakin surut, kecuali Tambatan Diraja Kota Bharu masih di atas paras bahaya iaitu 5.13 meter. Paras bahaya ialah 5 meter.
Korban banjir pula kekal kepada 14 mangsa setelah mayat seorang pemuda yang hilang sejak tiga hari lalu setelah mandi bersama rakannya di Jambatan Sungai Kwang, Bukit Panau ditemui oleh pasukan penyelamat petang semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berkata, daripada 10,388 orang yang dipindahkan, jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah tertinggi penempatan mangsa banjir iaitu 7,822 orang.
Katanya, Tumpat juga turut mencatatkan jumlah pemindahan terbanyak iaitu 2,239 orang diikuti Tanah Merah 163 orang dan Kota Bharu masih berbaki 114 orang.
"Jalan yang ditutup masih sama iaitu di Kilometer 65 Jalan Gua Musang - Kuala Krai di Sungai Lakit dan di Kilometer 35 Jalan Gua Musang - Jelawang, Dabong berikutan berlaku tanah runtuh dan semua kenderaan tidak boleh melaluinya.
"Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di Kilometer 13 dan Jalan Tumpat-Pengkalan Kubor yang masing-masing dinaiki air sedalam 0.8 meter juga turut ditutup kepada semua jenis kenderaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Pengguna jalan raya yang hendak ke Kelantan boleh menggunakan laluan Jalan Raya Timur Barat dari Gerik di Perak dan juga melalui Terengganu.
Sementara itu, Unit Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan melaporkan, paras air yang masih melepasi paras bahaya sehingga jam 7 malam tadi ialah Kusial Tanah Merah 16.61 meter (bahaya 16 meter), Tambatan Diraja Kota Bharu 5.13 meter (bahaya 5 meter), Sungai Golok Rantau Panjang 10.27 meter (bahaya 9 meter).
Katanya, Sungai Golok di Jenob mula surut dan berada di paras 22.81 meter iaitu bawah paras bahaya. Paras bahaya 23.50 meter.
"Pekan Rantau Panjang dan sebahagian dari Tumpat digenangi air berikutan limpahan air Sungai Golok yang berpunca daripada pelepasan air sebuah empangan di selatan Thailand sejak beberapa hari lalu.

Tiada ulasan: