Jumaat, 11 April 2008

Abdullah akui beliau antara punca BN hilang undi


"Saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO." demikian akui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, beliau mengakui beliau merupakan antara faktor yang telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, disebabkan perkara tersebut, beliau merasakan bertanggungjawab untuk berbuat sebaik-baiknya bagi memulihkan BN dan UMNO.
"Saya merasakan saya adalah penyebab kepada 'pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada Barisan Nasional. Saya merasakan bertanggungjawab untuk membuat sebaiknya-baiknya untuk memulihkan BN dan UMNO," katanya kepada pemberita di Johor, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan Badan Perhubungan UMNO Johor yang diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden UMNO, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak hadir kerana Menteri Pelajaran itu kini berada di Paris atas urusan rasmi kerajaan.
Perdana Menteri berkata, beliau memahami banyak perkara dan antaranya ialah perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat sebelum ini, tetapi masih belum ditunaikan oleh kerajaan sehingga kini.
Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat itu, katanya, meliputi pelbagai perkara seperti sistem kehakiman, pembanterasan rasuah, menurunkan kadar jenayah serta hubungan di antara kaum di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, ada di antara perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan itu perlu mengambil masa sebelum ianya menunjukkan hasil yang positif.
"Oleh kerana itu, saya akan terus memberikan perhatian untuk membawa perubahan-perubahan yang telah dijanjikan kepada rakyat.
Malah ia telah pun dimasukkan di dalam janji-janji kerajaan BN di dalam manifesto (BN) pada (pilihan raya umum) 2004," katanya.
Abdullah berkata, sejak 2004 beliau telah berusaha untuk menangani beberapa masalah seperti keadaan defisit kewangan negara yang besar, isu-isu ekonomi dan pembangunan serta yang berkaitan dengan pembaharuan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Di dalam penggubalan dasar-dasar oleh kerajaan, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memastikan ianya dapat diterima oleh rakyat dan sebarang kesilapan akan diperbaiki secepat mungkin.
"Dasar-dasar yang dilaksanakan itu sentiasa diberikan perhatian, di mana ada silap-silapnya, kita akan memperbaikinya secepat mungkin supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya.
Mengenai perjumpaan itu, Abdullah berkata mereka telah berbincang secara terbuka tentang beberapa perkara berkenaan kedudukan parti.
"Saya mengambil kesempatan dari perjumpaan hari ini untuk menghuraikan beberapa isu yang perlu difikirkan bersama (oleh ahli Perhubungan UMNO Negeri)," katanya.
Katanya, ahli Badan Perhubungan UMNO Johor juga mengemukakan beberapa cadangan kepada beliau tentang usaha-usaha memulihkan parti, tetapi enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: