BANYAK alasan yang dapat dikemukakan untuk menunjukkan mengapa kita memerlukan pemikiran lateral. Namun, sebelum dikemukakan sebarang alasan eloklah kita bertanya beberapa soalan. Antaranya, mengapa masyarakat kita menghadapi kelemahan sikap? Mengapa kita kurang motivasi? Mengapa sesetengah masyarakat kita masih bermentaliti subsidi, menanti disuap? Mengapa masyarakat Islam kekeringan idea?
Soalan-soalan ini mula ditanyakan oleh pelbagai pihak termasuk sarjana tempatan terutama apabila masyarakat Melayu/Islam sedang menghadapi krisis kelesuan pemikiran. Misalnya, Dr Siddiq Fadhil dalam eseinya "Umat Sekarang Muflis Idea" menyebut bahawa "Memang sudah lama umat kita kehilangan 'thinking capacity' atau kemampuan berfikir."
Akibat kemampuan berfikir secara kreatif dan inovatif, umat Islam sering mengambil jalan mudah, mengambil model penyelesaian dari luar terutama dari Barat...(Berita Minggu, 18 Oktober 1992). Pengakuan Dr. Siddiq ini jelas memperlihatkan bahawa memang terjadi kelesuan pemikiran dalam masyarakat kita.
Walaupun Dr. Siddiq hanya mengkritik cendekiawan yang menghadapi masalah berfikir, tetapi dipercayai kelesuan ini ikut dialami oleh masyarakat Melayu secara menyeluruh. Oleh kerana masalah ini semakin serius, maka diperlukan langkah segera mengatasinya.
Bagaimanapun, sebelum dibincangkan lebih lanjut mengenai langkah-langkah ini, ada baiknya dijelaskan terlebih dahulu bahawa ada individu dalam masyarakat yang berfikir. Tetapi yang mereka fikirkan ialah hal-hal yang mudah, untuk memenuhi kehendak harian.
Malah ada kalanya ada individu berfikir untuk kepentingan diri sendiri, bukan demi pejabat atau negara. Hal ini terjadi disebabkan banyak faktor persekitaran. Hal inilah yang menyebabkan individu tambah mempersempitkan pemikirannya. Ini adalah fenomena masyarakat kita yang perlu diatasi segera. Kita memilih pemikiran lateral iaitu satu cabang pemikiran kreatif sebagai landasan untuk masyarakat berfikir secara kreatif.
Ini kerana pemikiran ini ternyata mampu menghasilkan orang yang dapat menyelesaikan masalah secara kreatif dan idea baru dalam bidang pekerjaan. Hal ini bukan bererti jenis pemikiran kreatif seperti yang diajukan oleh Alex Osborn dalam bukunya: "Applied Imagination" dan "Arthur Koestler" dalam bukunya: "The Act of Creation" yang memperkenalkan pemikiran bisosiatif (bisosiative thinking) itu tidak berkesan dalam melatih kita berfikir secara kreatif; cuma pemikiran lateral memanfaatkan lelucon (humour), kreativiti dan provokasi.
Pemikiran lateral lebih menarik sebab ia adalah pengajaran berfikir yang cukup sistematik, tersusun dan mendalam. Sebab kedua, pemikiran lateral bertolak daripada pemahaman asas terhadap fungsi kedua-dua belah otak - kanan dan kiri. Mengikut ahli sains saraf dan ahli falsafah saraf, kedua-dua belah otak ini mempunyai tugas masing-masing - otak kiri untuk pemikiran logik, sementara otak kanan untuk pemikiran kreatif (lateral, bisosiatif dan sebagainya).
Kekuatan berfikir seseorang dapat diukur daripada usaha memaksimumkan tenaga mental. Seseorang yang berusaha berfikir secara serius dan tajam yakni dapat menganalisis sesuatu perkara dengan baik, mendalam, sistematik dan radikal dapat dianggap memaksimumkan tenaga mental otak kirinya.
Sementara seseorang yang dapat berfikir secara kreatif (dapat berimaginasi, berfantasi dan merenung) dapat dianggap memaksimumkan tenaga otak kanan. Selanjutnya orang yang dapat berfikir secara logikal, mendalam, sistematik dan radikal dan dapat berfikir secara kreatif dianggap memaksimumkan kedua-dua otak kiri dan otak kanannya.
Ini adalah tahap yang paling ideal, tetapi usaha ke arah itu bukanlah mustahil. Bagaimanapun sebelum dimaksimumkan tenaga mental kedua-dua belah otak itu, harus dikenal pasti terlebih dahulu halangan yang ada dalam fikiran (terutama dalam persepsi dan kesedaran manusia sehingga menyebabkan orang tidak mahu berubah, tidak mahu menerima idea baru dan masih bahagia berada di takuk lama.
Mengapakah orang tidak mahu berubah? Jawapan malah kesimpulannya dapat kita peroleh di dalam buku Edward de Bono, pencipta pemikiran lateral iaitu I' Am RightYou Are Wrong. De Bono menganggap orang yang tidak mahu berubah, dalam erti kata tidak mahu akan pembaharuan idea dan idea baru, sebagai "rocklogic" (logik batu).
Di antara ciri orang yang bersifat logik batu ialah orang ini suka berhujah, berdebat dengan tujuan semata-mata untuk menghalang dan membunuh idea atau cadangan. Orang yang seperti ini hanya menganggap dirinya benar, orang lain sentiasa salah.
Orang yang bersifat logik batu senantiasa berada di sekeliling kita. Di tangan merekalah terbunuhnya idea-idea kreatif. Mereka termasuklah ketua jabatan yang menggunakan kuasa untuk membunuh idea yang baik daripada orang bawahan, sarjana, intelektual yang ego dan sombong yang mempertahankan idea masing-masing sehingga sanggup membunuh idea orang lain.
Mereka ini orang yang berpandangan sempit, melihat sesuatu dari pandangan sebelah mata. Mereka lupa separuh benar bukanlah kebenaran mutlak. Mereka ini anti intelektual, anti idea. Mereka di antara kalangan yang ikut melembabkan masyarakat. Akibatnya, masyarakat pasif, beku dan tidak mampu bersaing.
Tembok halangan idea inilah yang kita perlu robohkan. Inilah syarat yang harus dipenuhi terlebih dahulu untuk membolehkan orang berfikir secara lateral. Jika syarat ini tidak dapat dipenuhi dengan ikhlas, agak sukar untuk kita berfikir secara lateral. Oleh itu kita perlu waspada terhadap persoalan ini.
Untuk memahami pemikiran lateral, ada perkara yang perlu diperhatikan.
* Kita harus ada masalah yang perlu diselesaikan secara kreatif.
* Kita ingin mencipta idea baru atau memperbaharui idea lama.
* Kita harus membezakan pemikiran logik daripada pemikiran lateral, dan
* Kita harus mengamalkan kaedah berfikir secara lateral.
Istilah pemikiran lateral dicipta oleh Dr. Edward de Bono, Rhodes Scholar, Christ Church, Oxford. Istilah ini dimasukkan dalam Oxford English Dictionary yang memberi takrif (edisi kedua, 1989), pemikiran lateral ialah "cara pemikiran yang mencari penjelasan terhadap masalah rumit melalui cara yang tidak akan dipedulikan oleh pemikiran logik".
Makna pemikiran lateral ini memadai untuk menerangkan serba sedikit pemikiran ini, terutama pada peringkat awal pemikiran lateral ini diciptakan. Tetapi perkembangan selanjutnya terutama apabila konsep pemikiran lateral dilihat daripada pelbagai dimensi, maka makna awal pemikiran lateral ini agak kurang sesuai lagi, terutama apabila terjadi perkembangan dalam pemikiran de Bono sendiri. Beliau bukan sahaja memberi perhatian kepada masalah, malah kepada penciptaan idea-idea baru.
Perkembangan idea pemikiran lateral ini bermula daripada bukunya; The Mechanism of Mind, (1969) hinggalah kepada bukunya yang terbaru; Superstition (1991) dan Six Action Shoes (1991). Nampaknya kecenderungan Edward de Bono kini ialah kepada penciptaan idea baru.
Di peringkat awal pemikiran lateral memperlihatkan kecenderungan de Bono membincangkan soal-soal pola berfikir dalam otak kanan dan otak kiri. Kecenderungan ini bagi beliau cukup penting kerana otak adalah sumber sistem pemprosesan maklumat. Dua halyang sering dibicarakan oleh de Bono ialah persepsi dan pola (pattern) seperti dalam The Mechanism of Mind.
Menurut de Bono, kita berfikir mengikut persepsi dan pola berfikir yang ditentukan oleh pandangan dunia(world view) kita. Biasanya persepsi dan pola berfikir ini mendarah daging dalam diri kita. Ia menjadi pandangan dan amalan yang tidak dapat diubah sehingga menebal dan menjadi batu. Hanya air yang dapat memecahkan batu, tetapi prosesnya agak lambat.
Jadi tidak ada jalan lain melainkan menunjukkan teladan mengenai keberkesanan kepentingan dan manfaat pemikiran lateral. Memang dapat dibayangkan usaha untuk menerapkan pemikiran lateral akan berdepan dengan masalah pada peringkat awalnya. Tetapi jika usaha mendedahkan masyarakat dilakukan dengan tekun, Insya-Allah akan berhasil juga akhirnya.
Berbeza daripada kaedah berfikir logik yang sering menekankan pemikiran berbentuk analisis dan mendalam, ibarat menggali sebuah lubang dengan lebih mendalam. Kaedah berfikir lateral menekankan usaha mendapatkan seberapa banyak idea baru yang mungkin (termasuk idea logik), melalui apa cara sekalipun sehingga melalui cara yang tidak logik, ibarat menggalikan lubang pada tempat-tempat yang berbeza.
Ibarat seperti ini mudah kerana walau kita berfikir logik, kita hanya berfikir satu lorong, tetapi berfikir lateral menemukan kita dengan banyak lorong, malah lorong yang berbeza. Oleh yang demikian dikatakan, berfikir logik itu sempit kerana ia membabitkan satu lorong, sebaliknya berfikir secara lateral itu luas kerana ia membabitkan banyak lorong, malah lorong yang berbeza.
Oleh demikian, dalam keadaan tertentu, terpaksa kita menerima pemikiran lateral. Hal ini tidak bererti kita menolak pemikiran logik secara menyeluruh. Sebaliknya, bagi de Bono, pemikiran logik dan lateral saling memerlukan. Tegasnya yang satu tidak akan tegak tanpa sokongan yang lain. Kebiasaan kita menyelesaikan masalah melalui berfikir secara logik.
Bagi sesetengah orang, hanya pemikiran logik satu-satunya wahana penyelesai masalah. Mereka lupa akan hakikat bahawa ada dimensi lain yang dapat diterokai (termasuk dimensi yang tidak logik) untuk menyelesaikan masalah,untuk mencadangkan idea dan mencipta idea baru. Dimensi ini ialah pemikiran lateral.
Pemikiran lateral juga disebut pemikiran menyamping. Ia disebut 'pemikiran menyamping' kerana segala yang dikeluarkan melalui kaedah ini kadang kala menyamping dari pemikiran logik, malah ada kalanya tidak logik. Memang ada banyak kaedah dalam pemikiran lateral ini. Kaedah-kaedah ini ada dalam buku khususnya membincangkan pemikiran lateral iaitu; Lateral Thinking, New Think (The Use of Lateral Thinking) PO: Beyond Yes and No, Six Thinking Hat, Six Action Shoes dan sebagainya.
Antara kaedah yang dipetik daripada 'Thingking Course' karya Edward de Bono ialah, kaedah PO; Kaedah batu loncatan dan Kaedah Pelarian (escapemethod). PO ialah wahana untuk mengeluarkan idea dalam fikiran kita. Edward de Bono mencipta istilah PO berdasarkan kata 'hypothesis', 'possible','suppose' dan 'poetry'.
Dengan 'hypothesis' kita mengemukakan idea yang boleh dibuktikan untuk memberikan kita asas melakukan percubaan. Dengan'possible' kita mencadangkan sesuatu yang belum diwujudkan di masa depan. Dengan 'suppose' kita membentuk situasi khayalan untuk melihat kesannya.
Dengan 'poetry', kita menggabungkan kata dan cipta untuk menghasilkan kesan yang hanya muncul selepas ia digabungkan dengan citra. Oleh itu PO dapat dikatakan sebagai wahana provokatif yang dapat mencetuskan idea baru dan kadangkala menyimpang daripada logik.
Menurut Edward de Bono, PO diperlukan sebagai sistem pergerakan iaitu menggerakkan idea dari otak, bukan sebagai sistem untuk memahami idea yang dihasilkan. Sebagai kesimpulannya, PO adalah suatu alat memprovokasi idea.
Sementara itu, menurut de Bono, Kaedah Batu Loncatan ialah mementingkan penggunaan kata PO sebagai nilai pergerakan batu loncatan untuk menyenangkan kita berpindah dari pola berfikir kepada pola berfikir yang lain. Edward de Bono memberi contoh bagaimana menggunakan PO bagi kaedah batu loncatan itu.
Misalnya, apabila kita memikirkan masalah pencemaran air sungai kerana ada kilang di sepanjang sungai. Lebih jauh kita menghiliri sungai, kita mendapati lebih banyak air sungai tercemar. Provokasi untuk masalah air ialah "PO kilang harus didirikan di hulu sungai". Idea ini sekali pandang tidak logik. Tetapi "nilai pergerakannya" begitu cepat membawakan kita kepada idea yang dilaksanakan di beberapa buah negara.
Nilai pergerakan ini dapat diperolehi dalam pelbagai cara: Dengan menghasilkan prinsip idea, dengan memberi fokus kepada idea yang berbeza daripada idea biasa dan dengan memberi penekanan kepada aspek yang positif. Kaedah Pelarian pula menggerakkan kita supaya mengenal pasti fokus utama idea kita dan kemudian lari daripada keutamaan idea ini.
Untuk memperolehinya ialah dengan mencari cara alternatif untuk mencari hasil yang sama. Contohnya ialah bagaimana kita dapat "melarikan" idea mengenai mesyuarat yang terlalu kerap diadakan dan membabitkan kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang.
Fikiran kita selalu "tidak kisah" dengan keadaan mesyuarat yang memerlukan kos yang tinggi. Tetapi kalau kita hendak menjimatkan kos mesyuarat, kita hendaklah "PO" mesyuarat terus menjimatkan belanja. PO ini akan menjadi suatu pelarian yang membawa idea "menutup lampu ketika mesyuarat" atau "menutup hawa dingin semasa mesyuarat".
Idea ini mungkin tidak logik tetapi dapat membawa kita bersedia untuk menamatkan mesyuarat sependek mungkin dengan kesan yang hampir sama. Kuasa pemikiran lateral dapat dikaitkan dengan perubahan.
Apakah pemikiran lateral berkuasa mengubah sikap dan pemikiran manusia? Oleh kerana kuasa pemikiran lateral dikaitkan pula dengan penerimaan seseorang terhadap idea perubahan, jika seseorang masih mengamalkan logik batu, dan kita tidak nampak tanda-tanda dia ingin berubah kepada logik air, maka ternyata pemikiran lateral tidak berkuasa.
Jika terjadi hal sebaliknya maka pemikiran lateral tentu berkuasa. Pendeknya penerimaan idea perubahan haruslah secara ikhlas dan berterus terang tanpa paksaan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan