Ahad, 13 April 2008

Tambah stok beras negara - Mustapa


Kerajaan akan menambah stok simpanan beras negara bagi menampung kekurangan bekalan bahan makanan itu berikutan bekalan yang ada sekarang hanya cukup untuk tempoh tiga bulan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, langkah itu diambil kerana negara kini hanya mempunyai 600,000 tan metrik beras yang hanya mampu menampung penggunaan untuk tempoh tiga bulan.
"Cadangan untuk menambah stok simpanan beras telah pun diputuskan dan kini segala perancangan mengenainya sedang dirangka," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Estet Padi di Kampung Jelai.
Menurut beliau, ketika ini negara bergantung pada tiga jenis stok yang menampung keperluan beras dalam negara iaitu stok simpanan beras kebangsaan yang diuruskan oleh Beraspadi Nasional Berhad (Bernas).
"Dua stok lagi ialah yang disimpan oleh pemborong-pemborong di seluruh negara termasuk pengilang dan stok padi yang boleh dikisar menjadi beras pada bila-bila masa," katanya.
Mustapa turut memberitahu, negara tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan beras dari negara luar walaupun berlaku krisis bekalan itu di pasaran dunia.
"Bernas merupakan sebuah syarikat terbesar yang kukuh dan mempunyai prestasi terbaik terutama daripada segi bayaran.
"Malah Bernas telah mengimport bekalan beras sehingga bulan Ogos ini sebanyak 600,000 hingga 700,000 tan metrik untuk keperluan negara," katanya.

Tiada ulasan: