Ahad, 30 November 2008

Zaid yang saya kenal

Sebagaimana dijanjikan, hari ini saya meluangkan sedikit masa untuk memaparkan rentetan sejarah politik mengenai Zaid Ibrahim. Apa yang saya paparkan ini adalah berdasarkan pengalaman saya dengan beliau bermula tahun 1994 sehingga Januari 2008 lalu.

Saya mengenali Zaid Ibrahim pada tahun 1994 melalui seorang rakan yang beriya-iya minta saya menulis berita mengenai Zaid. Berita bersifat promosi yang antara lain bertujuan untuk memperkenalkan Zaid kepada ahli UMNO Kota Bharu dan rakyat Kelantan khususnya.

Ketika itu, tiada siapa pun termasuk saya mengenali Zaid dan tidak ada seorang pun tahu siapa Zaid, melainkan konco-konco yang membawanya balik ke Kelantan.

Ketika pertama kali bertemu dengannya (di kediaman beliau di Pasir Hor, Kubang Kerian - rumah paling besar dan mewah ketika itu), beliau memakai kot, bertali leher dan bercakap sleng mat salleh.

Tanpa segan silu saya beritahu kepadanya, saya dari surat khabar Melayu, bukan Inggeris dan bos (saya bahasakan dirinya sebagai bos) perlu bercakap dalam bahasa Melayu (sebenarnya saya tidak faham bahasa mat salleh) untuk mudahkan saya buat artikel mengenainya. Dia setuju.

Dalam perbualan (temu ramah) itu, dia tidak dapat lari daripada menyelitkan bahasa orang putih (sebenarnya hampir 70% isi pertuturannya mat salleh). Ini membuatkan saya terkial-kial dan membiarkan dia dengan gayanya. Nanti bila selesai temu ramah itu saya akan rujuk pada rakan yang mahir dalam bahasa mat salleh.

Artikelnya keluar dalam akhbar Bacaria. Dua muka surat penuh. Dia beli 1,000 naskhah surat khabar itu untuk dia tabur atau berikan kepada ahli UMNO Bahagian Kota Bharu. Tujuannya dia mahu promosikan dalam surat khabar ialah untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu yang ketika itu disandang oleh Datuk Ahmad Rastom.

Ternyata kekuatan Datuk Rastom sukar digugat. Zaid kalah teruk dalam pertandingan itu. Sejak berita itu keluar, saya tidak lagi mendekati Zaid kerana pada saya, dia bukan taraf saya untuk dirapati (sebab utamanya, dia cakap mat salleh. Saya memang fobia gila).

Tetapi sejak itu juga, dia sering hubungi saya dan ajak berjumpa sambil-sambil minum dan makan satay di Kubang Kerian. Ada tikanya saya terima pelawaan itu dan ada tikanya saya tolak dengan baik. Apapun, hubungan kami semakin akrab. Banyak masalah berkaitan politik, dia minta saya membantunya. Saya hanya membantu sekadar yang mampu.

Hampir-hampir pilihan raya umum tahun 1999, nama Zaid dikatakan naik sebagai calon. Tetapi tidak tahu di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mana. Dia membuat persiapan untuk menonjolkan dirinya, tetapi malang, usahanya itu dihalang dan disekat oleh orang-orang dipercayai orang Datuk Ahmad Rastom. Saya berusaha mendapatkan maklumat kenapa UMNO Bahagian Kota Bharu menolak kehadiran Zaid.

Jawapan samar-samar yang dengar ialah "Zaid orang Anwar Ibrahim". Saya tidak percaya dan buang tuduhan itu kerana saya menganggap itu adalah sawo atau propanganda orang politik untuk menolak kehadiran orang politik lain. Akhirnya Zaid terpaksa akur, dia tidak diterima oleh ahli dan rakyat Kota Bharu.

Dia minta tolong saya ikhtiar. Saya berjumpa Datuk Ibrahim Ali yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan memintanya membantu saya. Beliau cadangkan saya membawa masuk Zaid ke Tumpat. Ketika itu di Tumpat, ketuanya, Datuk Mansor Salleh sedang berperang dengan Datuk Kamaruddin Jaafar. Datuk Kamaruddin balik ke Tumpat untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian itu.

Dengan bantuan Datuk Ibrahim, saya berjumpa dengan beberapa pemimpin peringkat cawangan di Tumpat dan aturkan beberapa program untuk Zaid. Program pertama beliau di Tumpat ialah menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk miskin yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Tumpat di gugusan pulau di Pulau Beluru, Tumpat.

Ternyata, kehadiran di Tumpat mula diterima oleh ahli UMNO Bahagian itu dan penduduk Tumpat khususnya. Ketika itu, saya langsung tidak mengesyaki Zaid mempunyai agenda (sebagaimana dituduhkan oleh orang-orang Datuk Ahmad Rastom - yang Zaid adalah orang Anwar). Saya juga hampir-hampir hendak menggunakan nama satu persatuan untuk membeli iklan ucapan terima kasih kepada Zaid atas keprihantinannya menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada penduduk.

Sehari ketika hari penamaan calon, Zaid dan saya termasuk para penyokongnya komited Zaid akan dicalonkan sebagai Ahli Parlimen Tumpat. Sehingga jam 3 petang pun Zaid memanggil saya ke rumahnya untuk berbincang mengenai kempen pilihan raya. Kiranya, saya ketika itu menjadi orang penting beliaulah.

Keesokkan hari, ketika semua pemimpin termasuk Zaid dan saya berdebar-debar menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan nama calon, saya terpaksa tinggalkan Zaid seketika kerana perlu membuat liputan. Sayakan wartawan, mana boleh berkepit dengan Zaid 24 jam. Saya perlu utamakan kerja saya sebagai wartawan. Habis kerja, bolehlah saya membantunya.

Tetapi saya tidak bersikap prejudis. Saya tidak pernah menggunakan akhbar tempat saya bekerja untuk menaikkan Zaid. Dan Zaid pun faham keadaan itu. Saya tidak mahu dikatakan saya telah dipergunakan (walaupun pemimpin dan orang kuat Pas sudah menganggap begitu kepada saya).

Sehingga jam 4 petang pada hari penamaan calon, saya terkejut mendapati nama Zaid tidak ada dalam senarai orang yang dicalonkan sama ada sebagai Ahli Parlimen atau DUN. Saya cuba menghubungi Zaid untuk memaklumkan perkara itu. Malangnya, dia sudah tahu lebih awal dan ketika dia menerima panggilan saya, dia sudah berada di airport hendak balik ke Kuala Lumpur.

Ternyata nadanya cukup kecewa. Sebelum naik kapalterbang. Dia sempat mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membantunya selama ini. Dia juga minta maaf pada saya menyebabkan saya tidak cukup tidur kerana menghabiskan banyak masa membawanya ke hulu ke hilir. DARI SITULAH BERMULANYA DENDAM ZAID TERHADAP DR MAHATHIR. Dia juga turut bermasam muka dengan Datuk Ibrahim Ali.

Lama dia menyepi diri. Jarang-jarang sekali dia balik ke Kota Bharu dan cuba berkompromi dengan Datuk Rastom, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, setelah dua kali kalah dalam merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, rezeki Zaid mula nampak. Dalam perebutan jawatan sebelum berlaku pilihan raya umum 2004, dia berjaya menewaskan Datuk Rastom.

Antara kejayaannya pada peringkat awal memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu ialah menyiapkan pembinaan pejabat UMNO Kota Bharu yang terbengkalai sejak tahun 1990.

Sebelum itu, Zaid bergerak menerusi badan bukan kerajaan (NGO) seperti menubuhkan Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) di Padang Tembak, Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan iaitu persaingan kepada Persatuan Pengguna Kelantan. Betullah kata orang tua-tua, kalau niat tidak ikhlas, bukalah persatuan apapun, tidak akan kekal lama. Memang benar Persatuan Pelindung mula malap.

Sebelum tiba tarikh pilihan raya umum tahun 2004, Zaid dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Pengerusi ketika itu ialah Datuk Mustapa Mohamed. Ketika memegang kerusi nombor dua UMNO Kelantan itu, beliau hilang arah. Tidak tahu hendak rancang apa-apa aktiviti.

Sehinggalah pada satu hari, beliau memanggil saya ke rumahnya. Kami makan tengah hari dan dia tanya saya, apa dia nak buat? Katanya, dia adalah Timbalan Pengerusi, tetapi tak tahu hendak buat apa-apa. Katanya lagi, dia takut nanti Tok Pa terasa hati kerana timbalan melebihi ketua. Saya ketawa kerana berbaur nada lucu. Nampak sangat kebodohannya apabila diberi tanggungjawab sebagai pemimpin. Sebelum ini beriya-iya hendak merebut jawatan, tetapi apabila sudah diberi tanggungjawab, beliau tidak tahu hendak mulakan di mana.

Saya bagi cadangan kepadanya. Kata saya, "Bos boleh pergi ke kawasan pedalaman di Dabong untuk bela peneroka di sana. Mereka sekarang ini dalam keadaan tertekan setelah kerajaan Pas hendak mengambil semula tanah yang mereka teroka sejak 40 tahun lalu.

Saya katakan kepadanya, sebelum ini peneroka itu dibela oleh Datuk Ibrahim Ali, tetapi kerana dia dipecat, dia tidak lagi boleh berbuat demikian. Jadi bos kena teruskan kesinambungan itu.

Mendengar nama Datuk Ibrahim, Zaid tiba-tiba tersedak. Saya perasan dan cuba jelaskan kepadanya. "Bos... saya tahu bos tak boleh dengar nama Datuk Ibrahim dan Dr Mahathir. Bos benar-benar fobia dengar nama tu sebab peristiwa 1999.

"Dalam soal ini, bos kena fikirkan nasib peneroka. Bos tak boleh fikirkan Ibrahim Ali. Kalau bos setuju, petang nanti saya uruskan program bos ke sana (Kampung Mahligai, Dabong - 157 kilometer dari KB).

Akhirnya Zaid akur dan setuju. Majlis lawatannya ke kawasan ulu diatur. Peneroka menyambut baik usaha Zaid untuk membawa kes itu ke mahkamah. Ringkaskan cerita, kerajaan negeri kalah, peneroka menang. Inilah kejayaan Zaid.

Tiba pilihan raya umum tahun 2004 (ujian pertama bagi Pak Lah setelah Dr Mahathir letak jawatan), Datuk Zaid dipilih sebagai calon ADUN Bunut Payong. Dia tidak puas hati dan buat piket di depan pejabat UMNO Negeri. Dia desak Tok Par agar letakkan dia di kerusi Parlimen, bukan DUN. Kecoh satu Kelantan pada hari itu menyebabkan pengumuman nama calon ditarik balik dan ditangguh.

Semua negeri sudah mempunyai senarai nama Ahli Parlimen dan DUN, hanya Kelantan belum. Ini kerana gara-gara Zaid enggan dicalonkan kerusi DUN. Sikap tamaknya mula nampak. Dia hubungi saya untuk buat kenyataan akhbar, tetapi dari situ saya mula tawar hati dengan sikapnya. Saya mula bersikap dingin dan menganggapnya sebagai manusia yang tidak pernah berterima kasih.

Semua Ketua-ketua Bahagian di Kelantan setuju untuk bertanding di peringkat DUN, tiba-tiba dia seorang enggan menerimanya. Hancur rancangan UMNO Kelantan untuk merampas Kelantan daripada Pas. Ketika itu, masih kedengaran suara-suara melaungkan, "pecat Zaid...dia orang Anwar"... Saya tertanya-tanya kembali. Ungkapan yang pernah saya dengar pada pertengahan 1990-an, kedengaran lagi pada awal 2000.

Pendekkan cerita: Zaid dilantik sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Pak Lah. Portfolio dia ialah menjaga hal ehwal undang-undang dan mahkamah iaitu portfolio yang diberikan Dr Mahathir kepada Datuk Ibrahim ketika memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1998 hingga 1999.

Di pendekkan cerita lagi: Zaid mengungkit kembali kes enam hakim yang dipecat dan mengheret Tun Mahathir. Beliau menggunakan jawatan menteri untuk membalas dendam kepada Tun Mahathir.

Kemudian beliau mula menunjukkan belangnya dengan mempertikaikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hingga sanggup meletakkan jawatan sebagai menteri. Dia buat demikian bukan kerana hendak tunjukkan jaguh, tetapi untuk memperlihatkan siapa dirinya sebenar.

Sehinggalah hari ini, beliau yang pernah mempertikaikan ketuanan Melayu menonjolkan dirinya bersama barisan pemimpin atasan DAP di Pulau Pinang. Kehadirannya adalah untuk mempromosikan 'Bangsa Malaysia', bukan bangsa atau orang Melayu. Wallahu'alam.

Khamis, 27 November 2008

Ibrahim `katak’ yang berguna kepada bangsa

ORANG Melayu mengambil masa yang agak lama untuk membetulkan semula persepsi yang cuba dibangunkan oleh parti-parti politik dan NGO bukan Melayu bahawa mempertahankan hak Melayu yang termaktub dalam perlembagaan sebagai perkauman dan perjuangan bukan Melayu yang bersifat antinasional sebagai sah dan demokratik.

Persepsi ini telah timbul di bawah dasar liberalisasi yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi dengan akhbar-akhbar bukan Melayu menjuarai pelbagai isu yang menampakkan ketidakadilan terhadap bukan Melayu.

Negara telah menyaksikan pelbagai provokasi terhadap Islam dan Melayu. Majlis Terbuka Aidilfitri diceroboh, papan tanda jalan pelbagai bahasa diadakan, penghinaan terhadap lagu Negaraku, usaha membengkrapkan Utusan Malaysia dan perbuatan menggantung kepala babi di hadapan rumah orang Melayu di Melaka.

Ironinya di tengah-tengah kemaraan dasar liberalisasi, keterbukaan dan ketelusan ini, tiba-tiba kerajaan mengumumkan untuk mengkaji semula “Rumah Terbuka Hari Raya” sama ada akan diteruskan atau tidak di masa depan.

Tujuan kelulusan Oxford dan Cambridge menasihatkan Perdana Menteri mengamalkan dasar terbuka itu adalah untuk menunjukkan Abdullah lebih demokratik dan tidak authoritarian seperti Dr. Mahathir.

Tetapi belum pun terbuka semuanya sudah ada yang perlu ditutup semula. Ini tidak pernah berlaku di zaman Dr. Mahathir.

Ini memalukan kerana apabila Abdullah mengumumkan “era baru libralisasi” itu akhbar NST, Berita Harian dan lain-lain akhbar telah menyiarkan secara besar besaran dengan tujuan untuk memperkecilkan dan menghina era Mahathir.

Ini diikuti dengan siaran besar-besaran ucapan Sultan Perak kepada Majlis Peguam dengan tajuk “Defend Democracy” seolah-olah demokrasi negara ini hendak dihancurkan oleh orang Melayu yang telah menunjukkan bantahan mereka terhadap isu-isu sensitif yang telah dibangkitkan oleh bukan Melayu di bawah dasar liberalisasi.

Aspek kritikan Raja Azlan terhadap Majlis Peguam ditenggelamkan dalam berita itu. Kementerian Dalam Negeri dengan pegawai-pegawai yang lemah dan tidak berpengalaman tidak dapat memantau semua ini.

NST dan Berita Harian adalah akhbar yang berada di belakang usaha kempen liberalisasi yang menimbulkan keluh-kesah di kalangan orang Melayu. Ini dapat dilihat dengan jelas sehingga saat ini apabila kegiatan NGO Melayu seperti Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan juga Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) tidak disiarkan atau diperkecilkan sahaja oleh kedua-dua akhbar itu.

Pewaris akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi meminta pihak berkuasa mempertahankan kedaulatan agama Islam serta hak kaum Melayu dan Bumiputra seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkasa telah mulai bertindak balas terhadap isu-isu yang bersifat provokasi dari bukan Melayu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dalam satu kenyataannya baru-baru ini, telah menyesali orang Melayu yang bersikap “bertahan” dan tidak menyerang dalam menghadapi semua provokasi ini. Katanya, strategi mempertahankan diri yang sebaiknya ialah dengan menyerang.

Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen (Bebas) dari Kelantan yang selama ini dianggap sebagai katak, ternyata dapat melompat dengan berani dalam menghadapi cabaran ini dan dalam keadaan yang cemas ini.

Beliau mengambil langkah untuk menyatukan semula orang Melayu di bawah Perkasa.(Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Sekalipun terlambat dan tidak berlaku reaksi secara spontan terhadap semua provokasi yang telah dihadapkan kepada orang Melayu, tetapi masih ada masa untuk memulakan langkah berani, masih tidak terlewat untuk menyambut seruan Dr. Mahathir.

Suatu masa dulu, Ibrahim Ali dianggap sebagai “sampah” dalam politik. Beliau kemudiannya membuktikan berguna kepada Pas dan juga kepada UMNO dan sekarang imejnya lebih hebat kerana dia dapat membuktikan bahawa dia berguna tidak sahaja kepada perjuangan politik Pas dan UMNO, tetapi kepada perjuangan yang melampaui batas parti, perjuangan Melayu dan Islam.

Tidak wajar bagi Pas untuk menghinanya lagi kerana dalam pilihan raya umum lalu, Ibrahim juga telah memberikan sokongan moral kepada Pas dan UMNO juga tidak boleh memperkecilkannya kerana selepas pilihan raya beliau menjadi relevan dengan keperluan semasa UMNO.

Sebaliknya, persoalan besar yang dihadapi dan mesti diputuskan oleh orang Melayu sekarang ialah sama ada dua anak Melayu Pulau Pinang yang mempunyai kedudukan tertinggi di negara ini masih relevan dengan kepentingan agama,bangsa dan negara..

Pertama ialah Perdana Menteri , Abdullah Badawi dan kedua ialah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Selasa, 25 November 2008

Rakaman pekerja zoo rakyat Malaysia maut dibaham harimau

SINGAPURA 13 Nov. - Seorang pekerja zoo mati dibaham tiga ekor harimau putih apabila terjatuh ke kawasan kurungan haiwan berkenaan di sini, hari ini. Mangsa, Nordin Montong, 32, rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pencuci di zoo berkenaan mati di tempat kejadian akibat cedera parah, menurut kenyataan Penolong Pengarah zoo tersebut, Biswajit Guha. "Pekerja lain bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa dan berjaya mengawal dua ekor harimau itu tetapi seekor lagi terus menyerang Nordin," katanya. Jurucakap polis berkata, mereka tiba di tempat kejadian pada pukul 12.30 tengah hari (12.30 tengah hari waktu Malaysia) dan menemui mangsa yang cedera di bahagian kepala dan leher. Mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian. Seorang anggota paramedik yang dikenali sebagai Subhas memberitahu, mangsa mati akibat cedera parah di bahagian kepala dan leher. - Reuters

Isnin, 24 November 2008

Hebatnya kena caci dan cerca

SEJAK Sekilas Pandang saya bertajuk: Hala tuju Shahrizat, Rafidah - Pak Lah, Najib atau Ku Li, Anwar tersiar kelmarin (23 Nov 2008 / Ahad), saya menerima sekurang-kurangnya 27 SMS dan lima panggilan telefon daripada pembaca, yang saya yakin seratus peratus adalah penyokong dan pengikut Shahrizat serta Rafidah.

Majoriti daripada SMS dan panggilan itu berbaur kutukan, cacian, hamun, herdik dan celaan, yang saya boleh katakan, hanya Tuhan sahaja tahu isi dan kandungannya. Namun, saya tetap tenang dan tidak menganggapnya sebagai melemahkan semangat saya untuk terus menulis pojok. Selagi bos saya memberi kepercayaan, selagi itu saya akan melontar buah pandangan saya.

Pada saya, itulah dugaan dan ujian bagi seseorang wartawan dan penulis pojok. Pujian, kutukan, cacian dan herdikan adalah perkara lumrah. Bukan mudah untuk kita memberi kepuasan hati kepada pembaca terutama golongan yang totok atau taksub terhadap pemimpin mereka.

Ini yang berlaku kepada saya. Jika pojok saya memihak kepada UMNO, penyokong dan pengikut pembangkang tidak berpuas hati. Kalau pojok saya memuji pembangkang, pengikut dan penyokong UMNO pula menuduh saya yang bukan-bukan. Jadi, saya sudah masak dengan situasi ini. Ia langsung tidak menjadi kudis pada saya.

Saya menulis, pertamanya, bukan kerana nama (walaupun nama saya terpapar dalam pojok itu), kedua, bukan kerana diupah oleh pemimpin UMNO atau pembangkang (sebab gaji saya tetap sebanyak itu juga, tak pernah bertambah-tambah), ketiga, saya menulis kerana berdasarkan keadaan yang berlaku dalam sesebuah kerajaan atau parti politik dan memberi cadangan atau pandangan agar ia tidak sepatutnya berlaku. Itu saja.

Kalau tulisan saya terasa pedas, itu di luar kuasa saya untuk membuatkan mereka berasa pedas. Kalau tidak mahu terasa pedas, jangan sekali-kali makan lada. Umum tahu, malah, anak saya yang kecil pun tahu, lada itu pedas dan bukan jenis buah yang boleh dibawa bermain.

Mengenai Sekilas Pandang saya Ahad lalu, terus terang saya katakan, saya tidak berpihak kepada Rafidah. Saya memojokkan tulisan saya itu berdasarkan logik akal. Kalau Rafidah dan Shahrizat bersetuju untuk menyerah dan menerima jawatan tertinggi parti itu melalui peralihan kuasa, pada saya, kenapa perlu ada pertandingan? Itu saja.

Tambahan pula, tarikh peralihan kuasa itu telah ditetapkan pada Jun 2009 iaitu enam atau tujuh bulan dari sekarang, bukan pada tahun 2010 atau 2011. Kalau tempohnya melebihi satu atau dua tahun dari sekarang, wajarlah kalau Shahrizat menyingsing lengan melawan ketuanya, kerana nampak sangat Rafidah liat hendak berundur.

Tetapi, ini sebaliknya. Tinggal beberapa bulan saja lagi dan umum tahu, Rafidah akan berundur pada tarikh itu. Sikap tidak sabar ini yang saya tekankan dalam pojok itu. Cuma saya tidak memasukkan dalam pojok berkenaan mengenai sikap sabar anak-anak saya menunggu kepulangan saya ke pangkuan mereka.

Saya tabik pada anak-anak. Mereka boleh bersabar menunggu kepulangan saya, walaupun mereka tidak tahu bila saya akan balik. (Hakikatnya, saya tidak ada peluang untuk balik ke Kelantan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan ini dan Rancangan Malaysia Kesepuluh mungkinnya - tetapi saya tidak pernah beritahu mereka bila saya akan pulang). Ini adalah contoh kesabaran.

Kenapa Shahrizat tidak boleh bersabar menunggu untuk mengambil jawatan ketua daripada Rafidah pada tarikh dan waktu yang telah pun ditetapkan pertengahan tahun depan.

Ini yang saya zahirkan dalam pojok Sekilas Pandang. Berdasarkan logik akal saya yang serba cetek, tetapi banyak diterima pakai oleh pemimpin politik. Jadi, kenapa pengikut dan penyokong kedua-dua pihak harus melenting, marah-marah dan mengutuk saya?

Sejarah 24 tahun dalam dunia kewartawanan, saya tidak pernah berdepan dengan sikap yang begini agresif pengikut dan penyokong UMNO. Selama ini, saya ditanamkan dalam minda saya bahawa pemimpin, ahli, pengikut dan penyokong UMNO adalah bangsa yang baik dan penyabar berbanding pemimpin, ahli, pengikut dan penyokong Pas. Rupa-rupanya sebalik yang berlaku. UMNO mula agresif. Pas semakin cool.

Kalau baca semula Sekilas Pandang itu, tidak ada apa sebenarnya. Ia lebih kepada memberi peringatan kepada Shahrizat agar bersabar. Jangan gelojoh. Kalau menang, oklah. Dia boleh terus bersinar. Tetapi bagaimana kalau dia kalah? Sayanglah permata Pergerakan Wanita yang bakal berkilau tiba-tiba menerima nasib seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim.

Ada antara SMS yang saya terima minta saya memohon maaf kepada Shahrizat atau dalam pojok akan datang menulis hal yang menyokong bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga itu. Saya jawab SMS itu, saya katakan, saya TIDAK akan meminta maaf dan TIDAK akan akur dengan permintaan mereka.

Kenapa saya perlu meminta maaf dan menulis perkara yang memihak kepada Shahrizat? Saya tidak kondem Shahrizat. Saya hanya menyatakan secara umum bahawa KENAPA dia tidak sabar menungguh sehingga Jun tahun depan untuk mengambil jawatan itu secara baik.

Kenapa perlu ada pertandingan. Saya secara peribadi melihat, pertandingan ini akan mengeruhkan lagi keadaan. Menggalakkan lagi amalan politik wang dan pergaduhan antara kedua-dua penyokong tidak dapat dielakkan, sungguhpun ada dalam kalangan pemimpin tertinggi parti memberi jaminan TIDAK akan berlaku perpecahan kalau bertanding pun.

Itu kata mereka, hakikat yang rakyat nampak di depan mata mereka ialah PERPECAHAN. Daripada satu team menjadi dua team. Daripada sebelum ini boleh duduk semeja, akan berubah menjadi dua meja berasingan. Ini tidak dapat dielakkan, ia MESTI berlaku dan AKAN berlaku.

Betul kata Tan Sri Sanusi Junid ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertanian tidak lama dulu. Katanya, BURUK IKAN BERMULA DARI KEPALA.

Ini yang dilihat oleh rakyat. Hatta anak sulung saya yang menuntut di UiTM pun pernah hantar SMS pada saya, dia tanya saya, kenapa UMNO jadi begini sekarang? Maksudnya, UMNO sudah berpecah belah, tidak seperti sebelum ini.

Saya tidak jawab apa-apa, tetapi akhirnya dia mendapat jawapannya melalui pengamatannya dalam siri Sekilas Pandang yang ayahnya tulis itu. Hasilnya, dia mengirim SMS kepada saya, katanya, dia sudah tahu kenapa UMNO berpecah.

Ahad, 23 November 2008

Jadual bengkel akan datang

24 November 2008 (Isnin) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel Penyuntingan Sinar Harian - Ketua Pengarang, Hj. Jalil Ali

25 November 2008 (Selasa) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel Penulisan Berita Sinar Harian - Hj. Jalil Ali

26 November 2008 (Rabu) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel Penulisan Rencana Sinar Harian - Pengarang Kumpulan, Pn Sri Diah

27 November 2008 (Khamis) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel Mengesan Bahaya Dalam Tulisan Sinar Harian - Pn Sri Diah

28 November 2008 (Jumaat) / 10.30 am – 12.45 pm
Bengkel Mengesan Kesilapan Ejaan/Bahasa Sinar Harian - Hj. Jalil Ali

01 Disember 2008 (Isnin) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel Menulis Tajuk Berita - Konsultan Sinar Harian, Datuk Hafifi Hafiz

02 Disember 2008 (Selasa) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel tentang bagaimana untuk membuat follow-up - Datuk Hafifi Hafiz

03 Disember 2008 (Rabu) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian I - Penyunting, Manzaidi Mohd Amin

04 Disember 2008 (Khamis) / 10.30 am – 1.00 pm
Bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian II - Penyunting, Shahruddin Ramli

05 Disember 2008 (Jumaat) / 10.30 am – 12.45 pm
Media dan Undang-undang - Peguam, Pn. Zuwita

10 Disember 2008 (Rabu)
SESI UJIAN KECEKAPAN

10.30 am – 1.00 pm
Ujian Penilaian Penulisan, Penyuntingan dan Gaya Bahasa Sinar Harian

2.00 pm – 3.00 pm
Ujian Caption

Syabas dan terima kasih

Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih di atas kejayaan Puan Sri Diah, En Manzaidi dan En Shahrudin kerana berjaya menghasilkan buku Gaya Bahasa SH yang pertama yang telah siap dicetak.

Ianya akan menjadi rujukan rasmi yang amat berguna semasa bekerja dan di dalam latihan. Saudara Manzaidi dan Shahruddin juga menjadi tenaga pengajar bermula minggu ini untuk menerangkan mengenai kandungan buku ini kepada Editor Edisi, penyunting dan wartawan.

Usaha ini membuktikan bahawa dengan semangat dan perancangan yang baik, kita boleh menghasilkan lebih daripada tanggungjawab seharian/rutin.

Semoga dengan usaha ini SH ke arah menjadi bahan rujukan utama di sekolah-sekolah.

Sekian terima kasih.

PS: Mungkin boleh diadaptasi utk rujukan di bahagian majalah kita juga?

Ahmad Nazri Bin Mohd Noor
General Manager of Human Resource
Kumpulan Karangkraf and Ultimate Group of Companies
Lot 2, Jln Sepana 15/3,
Off Persiaran Selangor,
40200 Shah Alam, Selangor

Sekilas Pandang

Hala tuju Shahrizat, Rafidah - Pak Lah, Najib atau Ku Li, Anwar

DATUK Seri Shahrizat Abdul Jalil akan melawan ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz pada Perhimpunan Agung UMNO Mac depan. Ini bukan lagi desas desus, khabar angin atau kata-kata gurauan. Dia sendiri mengumumkannya dua hari lalu.

Sebelum ini, dia juga menyatakan persetujuannya menunggu sehingga Jun depan untuk mengambil alih jawatan nombor satu sayap kanan parti itu daripada Rafidah secara peralihan kuasa.

Tetapi kenapa tiba-tiba Shahrizat berubah fikiran. Sekejap setuju, sekejap tidak. Seketika angguk, seketika geleng. Sedangkan tempoh peralihan kuasa antara mereka tinggal lebih kurang enam atau tujuh bulan dari sekarang.

Ramai pemimpin tertinggi UMNO tidak menjadikan peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan (bekas) timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kemudian Pak Lah dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengajaran dan iktibar.

Mereka lupa pada sejarah Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa terjadi kepada mereka yang mencabar jawatan Presiden tidak lama dulu? Hasilnya kedua-dua mereka tersisih dari parti.

Anwar mengambil keputusan keluar UMNO dan menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Ku Li pula, yang sebelum ini pengasas kepada bekas Parti Melayu Semangat 46 (S46), kini hidup dengan haluannya sendiri. Inilah pengajaran politik bagi mereka yang tidak sabar.

Sebenarnya, peralihan kuasa adalah medan menguji kesabaran seseorang pemimpin. Penangguhan tarikh peralihan kuasa dari bulan ke bulan, tahun ke tahun bukan kerana pemimpin itu gila kuasa, tetapi tersiratnya adalah sebagai ruang untuk menilai tahap kesabaran pengganti.

Pak Lah menunggu satu tahun untuk menerima jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir. Begitu juga Najib. Dia menunggu hampir satu tahun untuk mendapat jawatan tertinggi parti dan kerajaan daripada Pak Lah.

Sikap sabar Pak Lah dan Najib meletakkan mereka sebagai pemimpin yang berjaya melepasi ranjau dan onak dalam perjalanan politik Malaysia. Mereka naik dan pergi dengan cara terhormat. Mereka akan dikenang sebagai pejuang sebenar parti sehingga akhir hayat.

Pembaca tidak perlu bertanyakan kepada Pak Lah dan Najib apa petua mereka amalkan sehingga berjaya melepasi ujian itu. Cukup saya menyatakan, mereka tidak menanamkan dalam minda mereka pada tarikh peralihan kuasa. Sebaliknya mereka sibukkan diri berjuang untuk parti dan kerajaan.

Jika petua ini diamalkan, penantian satu tahun akan berlalu begitu pantas. Tetapi kalau asyik membilang hari dan memikirkan tarikh peralihan kuasa sehingga lupa tanggungjawab serta amanah rakyat, sikap sabar dalam diri akan hilang.

Begitu dalam bab kepemimpinan Pergerakan Wanita UMNO ketika ini. Kerana tidak sabar (tetapi katanya kerana desakan ahli akar umbi), Shahrizat sanggup menyingsing lengan melawan 'Iron Lady’.

Padahal tempoh enam ke tujuh bulan bukan lama. Sampai masanya, beliau akan mendapat jawatan itu secara terhormat dan diterima oleh seluruh ahli. Bagaimanapun, tiada siapa tahu apa yang terbuku dalam fikirannya menyebabkan dia terpaksa melanggar perjanjian yang dimeterai dengan Rafidah sebelum ini.

Dengan pengumuman itu juga, ahli tidak lagi sabar melihat apa akan berlaku kepada Rafidah dan Shahrizat. Siapa yang nasibnya baik seperti Pak Lah dan Najib serta siapa pula senasib seperti Ku Li dan Anwar. (Siaran 23hb Nov 2008/Ahad)

Khamis, 20 November 2008

Kisah saya dengan Ayah Pin

Lokasi Ayah Pin dikesan.
Itulah tajuk berita yang dipaparkan dalam semua akhbar di negara ini. Apa motif dan tujuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenyataan itu kepada media.

Adakah dia mahu Ayah Pin atau pengikutnya membaca berita itu, kemudian cepat-cepat melarikan diri ke tempat lain yang lebih selamat atau lebih jauh daripada pemerhatian pihak berkuasa jabatan agama.

Atau adakah dia hendak memberitahu Ayah Pin, tempat persembunyiannya berjaya dikesan dan tangkapan akan dilakukan bila-bila masa?

Di sini timbul persoalan dan tanda tanya. Kenapa pihak berkuasa jabatan agama tidak terus saja menangkap Ayah Pin, kemudian barulah menteri itu membuat kenyataan yang Ayah Pin sudah ditangkap?

Membuat kenyataan media lebih awal daripada tangkapan, menunjukkan pihak berkuasa jabatan agama tidak serius menangani ajaran sesat di negara ini. Sehingga berita ini ditulis, sudah tiga setengah tahun Ayah Pin masih bebas. Tiada sebarang tangkapan dibuat.

Dalam tempoh itu, sekurang-kurangnya lima orang yang mukanya hampir sama dengan Ayah Pin telah ditahan untuk soal siasat. Penahanan mereka ini mendapat publisiti murahan.

Saya masih ingat satu malam pada September 2005, saya bersama empat Detektif Polis (SB) sedang menikmati satay Mat Yie di Kota Kubang Labu. Sedang asyik makan sambil berbual-bual, tiba-tiba telefon bimbit keempat-empat detektif itu berbunyi selang beberapa saat antara satu sama lain.

Tidak sampai 30 saat menjawab panggilan itu, keempat-empat sahabat saya itu bergegas dengan motosikal dan terus hilang dalam arah yang sama. Tinggallah saya terkontang kanting seorang diri dalam kebinggungan.

Siapa hendak habiskan empat gelas teh tarik dan sepinggan besar satay yang baru tujuh atau 10 mocok (cucuk) baru dimakan itu? Saya sendiri pesan teh tarik gelas besar. Tangki perut saya bukan jenis 1,500 cc boleh habiskan empat gelas teh tarik yang semuanya masih panas dan baru sikit dihirup.

Nak tak nak, saya panggil Mat Yie supaya datang ke meja saya untuk teman berbual. Malangnya, Mat Yie ketika tu sibuk melayan pelanggan. Termanggu saya seorang diri mengenangkan nasib dan memikirkan sepinggan besar satay.

Memang hajat nak minta Mat Yie bungkus, tetapi nak beri kepada siapa? Keluarga jauh. Ah! apa nak susah (renggus hati saya). Aku tunggulah dalam sejam lagi kat sini. Mana tau malaun-malaun tu datang pula lepas habis tugasannya.

Bukan sejam saya menunggu. Tempoh ditetapkan sudah mencecah ke dua jam. Punggung sudah kematu. Bilangan satay pun tinggal separuh saja lagi. Perut dah mula sekok. Loya dan pening sebab tak sedar empat gelas teh tarik malaun-malaun tu saya telah habiskan.

Akhirnya, tika saya bangun hendak menarik dompet di poket belakang, tiba-tiba sampailah malaun-malaun tu dan duduk di kerusi masing-masing. Ada yang tanya saya, "dah nak balik ke? Nantila dulu... jangan balik lagi, ada cerita besar ni,".

Mendengar kata-kata itu saya sambung duduk semula dan mengeluarkan sebatang rokok. Entah ke berapa belas batang dah tu. Mat Yie datang minta order. Mereka pesan lagi teh tarik.

"Kawe minta maaf... gi tangkap Ayah Pin," katanya. Saya terkejut dan pada masa sama hati saya gembira kerana saya akan dapat berita eksklusif. Tanpa usul periksa saya hubungi ketua saya. Ketika itu jam dah 1.30 pagi. Panggilan tidak dijawab. Saya faham sebab malam itu adalah malam Jumaat. Kata suami2 perantau, "malam permintaan kaum ibu (isteri)."

"Kalau kau nak maklumat, kau hubungi OCPD. Ayah Pin ada di balai dot dot dot sekarang ni.

"Kau confirm ke yang kau tangkap tu Ayah Pin?" tanya saya nak kepastian.

"Betul. Ni gambarnya.." jawab seorang malaun sambil menunjukkan gambar yang dirakamkan melalui telefon bimbitnya.

"Ya... betullah Ayah Pin," kata saya terkejut dan teruja kerana saya adalah wartawan pertama dapat melihat Ayah Pin ditangkap (sebab malaun tu setuju nak bagi gambar yang dia tangkap tu kepada saya.

Keesokkan hari, pagi-pagi lagi saya hubungi Tuan OCPD minta pengesahan penangkapan Ayah Pin malam tadi. Tuan OCPD beri kerjasama. Dia kata memang ada seorang lelaki ditangkap malam tadi, tetapi belum dapat mengesahkan sama ada lelaki itu Ayah Pin.

Di pejabat, saya melaksanakan tugas saya sebagai wartawan yang boleh dikatakan cukup ditakuti atau digeruni oleh rakan-rakan sejawatan dalam media lain di Kelantan. Sebab saya selalu dapat berita eksklusif dan berjaya skop mereka.

Prinsip saya mudah saja, kerja adalah kerja, kawan adalah kawan. Kita perlu profesional dalam bab kawan dan kerja. Walau baik dan pernah tidur sebantal sekali pun, kalau berita itu eksklusif, kawan harus faham.

Esoknya di muka depan Berita Harian dan Metro terpapar gambar Ayah Pin sedang makan nasi ayam, ditangkap. Gambar yang terbaik saya dapat daripada malaun-malaun. Rupanya, mereka meninggalkan saya malam tu kerana dapat maklumat Ayah Pin sedang makan nasi ayam di sebuah kedai yang jaraknya kira-kira 100 meter dari kedai saya makan satay malam tu.

Tapi kerana malaun-malaun tu menggunakan lorong sempit, saya tidak tahu pun mereka bergegas ke kedai nasi ayam itu untuk membuat intipan dan sekali gus menangkap Ayah Pin.

Saya bangga amat sangat. Banyak pujian dilontarkan. Saya buat dono jer...kembang kempislah lubang hidung dengar pujian tu. Tengah hari tu saya makan nasi free. Ketua saya belanja, kerana dapat siarkan berita eksklusif. Padahal tika tu saya menerima banyak panggilan dari kawan-kawan sejawatan. Mereka marah dan bising-bising. Mereka saya tak boleh dijadikan kawan kerana tidak maklumkan kepada mereka saya dapat berita Ayah Pin ditangkap.

Timbul rasa sedih juga, sebab ada sebab mereka marah saya. Sebabnya mereka sudah ditengking dan diherdik oleh ketua masing-masing kerana tidak dapat berita penangkapan Ayah Pin.

Sebagai peringatan kepada rakan-rakan wartawan: Kalau ketua kita sedang marah, jangan sekali-kali menjampuk atau beri alasan. Nanti tidak pasal-pasal perkataan kurang enak didengar dihamburkan. Hah!...baru padan muka kita. Hahahaha...itulah petuanya.

Selang jam 5 petang, seorang daripada malaun-malaun saya hubungi saya. Suaranya macam ada nada frust. Saya dah tak sedap hati. Manalah tahu takut-takut gaduh dengan isteri dan isteri tidak benarkan dia balik rumah malam ni.

Saya tanyalah kenapa sedih ni. Kalau tak boleh balik rumah, saya sedia tumpangkan dia di rumah sewa saya sementara isterinya sejuk. Serta merta dia menyumpah-yumpah saya. Lahabau la mu Zaidi. Aku bukan gaduh dengan bini. Ni!! aku nak bagtau kau, mamat yang kita orang tangkap semalam tu bukan Ayah Pin la.

Singggggggggggg!!! berdesing telinga saya. Gelap rasanya. Bilik yang saya duduk tu ada ekon rasa seperti bara api. Saya tanyalah malaun tu. Kalau bukan Ayah Pin, siapa lelaki tu? Mukanya memang sebiji macam Ayah Pin.

Malaun: "Di, lelaki tu adalah tauke nasi ayam lah. Kedai yang aku serbu tu kedai dialah.

Aku: "Habis tu, kalau kerja berbelas tahun sebagai malaun, takkan kau tak kenal tauke kedai tu. Mustahil kau tak penah tengok mukanya...

Malaun: "Kedai tu memang kepunyaan lelaki tu dan aku memang tak penah tengok mukanya sebab dia banyak habis masa di KL dan Johor urus kedai nasi ayamnya. Kedai dia kat sini tu adalah cawangan kelima.

Aku: "Habis tu macamana? Surat khabar aku dah keluar besar-besar cerita dan gambar Ayah Pin ditangkap?

Malaun: "Baik kau hubungi OCPD aku sekarang. Dia sedang cari kau tu.

Aku: "Kenapa cari aku? Semalam bila aku call, dia mengesahkan lelaki tu Ayah Pin.

Malaun: "Memanglah, siapa-siapa tengok muka mamat tu sekali pun memang sangkakan dia tu Ayah Pin. Adusss... malu la Di.

Aku: Ah.., apa nak dimalukan. OCPD kau yang buat statement tu, biar dialah tanggung. Takkan dia tak ada alasan?

Akhir cerita, laporan penangkapan Ayah Pin yang media laporkan itu adalah yang kelima 'Ayah Pin' ditangkap. Sedangkan Ayah Pin pencipta kerajaan langit masih lepas bebas sehingga kini.

Dan hari ini kerajaan memberitahu rakyat, mereka sudah dapat kesan lokasi persembunyian Ayah Pin dan tangkapan akan dilakukan bila-bila masa.

Sebagai orang yang pernah berdepan dengan pengalaman lalu, saya mengambil sikap berhati-hati. Cuma saya membuat tekaan, siapalah mangsa keenam puak malaun kali ini.

Selasa, 18 November 2008

Antara kepercayaan, amanah dan tanggungjawab

Saya telah diberi kepercayaan besar oleh syarikat untuk mengendalikan bengkel Gaya Penulisan Sinar Harian selama tiga hari dari Rabu, Khamis dan Jumaat (19, 20 dan 21 Nov 08).

Setelah menerima surat jemputan rasmi daripada syarikat hari ini, saya menganggap pemilihan saya untuk mengendalikan bengkel itu sebagai amanah dan tanggungjawab amat besar syarikat letakkan atas bahu saya.

Pada masa sama, saya bangga kerana tidak sia-sia pengalaman yang saya ada hasil menimbanya selama 24 tahun dalam dunia kewartawanan dapat dicurah dan dikongsikan dengan rakan-rakan tidak sejawatan dan sejawatan.

Antara peserta bengkel yang saya kendalikan atau sebagai tenaga pengajar itu ialah Editor, Penolong Editor, Senior Sub-Editor, Sud-Editor Muda, Sub-Editor Kadet, Ketua Wartawan, Penolong Ketua Wartawan dan Wartawan Kanan dari tujuh edisi iaitu Edisi Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Comm (Nasional), Melaka/Negeri Sembilan dan Utara (Pulau Pinang, Perlis dan Kedah).

Harapan saya pada bengkel ini ialah KEJAYAAN. Insya-Allah.

Isnin, 17 November 2008

Muak dengan politik Melayu

"SAYA dah muak baca berita pasal politik wang, boleh tak Sinar Harian jangan siar lagi?"

Itu antara SMS yang saya terima daripada seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai MUAK, kuala Selangor.

Selepas membacanya, saya tersenyum. Saya tak tau nak komen apa lagi pasal politik wang yang semakin teruk dan parah berlaku dalam UMNO iaitu parti terbesar membela orang Melayu.

Saya tertanya-tanya, betulkah UMNO ni parti membela orang Melayu? Kalau betul, kenapa Melayu masih mundur dan ramai yang miskin serta hidup melata tanpa arah tuju?

Apa pemimpin UMNO buat sejak 62 tahun parti itu ditubuhkan. Sepatutnya dalam tempoh itu, orang Melayu sudah maju, berani dan terkehadapan, tetapi apa yang berlaku, Melayu masih mundur dan hendak kembali ke zaman batu.

Yang gege riuh nak berbogel dalam sehari dua ni orang Melayulah. Melayu yang arwah Hang Tuah kata, "Jangan Melayu hilang di dunia" tu. Melayu tu dan Melayu nilah yang nak berbogel, kononnya kerana tidak puas hati dengan tindakan kerajaan Selangor nak menaikkan harga sewa rumah bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) baru-baru ini.

Tindakan yang sama bodoh. Melayu nak berbogel pun bodoh, Melayu yang nak tindas rakyat Melayu miskin pun bodoh. Macam tidak ada kaedah lain nak bantah dan nak kutip duit rakyat.

Sebagai Melayu Islam, mereka harus hormat kepada agama. Tidak mahu hormat pada maruah diri, sekurang-kurangnya hormatlah pada agama suci Islam. Islam menganjurkan umatnya menutup aurat, tetapi ada Melayu Islam nak berbogel depan khalayak. Tidakkah itu bodoh.

Yang kerajaan negeri pula, dah tau rakyat yang tinggal di PPR tu majoritinya miskin, tiba-tiba nak naikkan kadar sewa sehingga sekali ganda, apa tujuan dan motifnya? Kalau hendak tolong Melayu buat cara nak tolong Melayu. Jangan anak beruk di hutan di susukan, anak sendiri kelaparan. Ini lagi bodoh.

Islam tidak menganjurkan umatNya menindas yang miskin. Sepatutnya yang dilantik khalifah mesti mencari jalan untuk meringankan beban rakyat. Bukan memberatkan lagi beban mereka.

Inilah yang dikatakan Melayu bukan sahaja mudah lupa, tetapi leka, alpa dan celupar. Saya sendiri pening.

Berbalik kepada politik wang (ini asal tuju saya nak tuliskan - tapi dah terlanjur ke isu lain).

Politik wang dalam UMNO sebenarnya berlaku. Kalau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz nak bukti, dia boleh dapatkan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithaudeen. Banyak ada bukti. 900 kes dilaporkan. Nak kambus Nazri pun boleh dengan jumlah kes tu.

Nazri tidak perlu menderhaka kepada bes ketuanya, Tun Dr Mahathir. Dia sepatutnya memberi sokongan kepada Tun kerana apa yang Tun kata atau komen mengenai amalan politik wang dalam UMNO adalah betul.

Tun lebih dahulu makan lada daripada Nazri. Jadi tak perlulah Nazri nak biadab dengan Tun. Dia patut hormat Tun kerana Tun yang menaikkan dia dalam barisan Kabinet dan parti amnya. Inilah yang dikatakan, lupa daratan.

Manusia memang mudah lupa gembala. Macam anjing. Tika tersepit, moyok minta dilepaskan, bila dilepaskan terus gigit. Saya benci pemimpin seperti ini. Terus terang saya katakan, saya amat benci pemimpin seperti itu. Majoriti yang ada sekarang seperti itu termasuk di Kelantan dan seluruh negara.

Stop kat sini dulu...

Al-Fatihah

Sedih:
Pagi ini (16hb Nov 08), ketika saya tengah mamai (masih tidur), saya menerima panggilan daripada adik menyatakan sepupu saya meninggal dunia. Allahyarhamah Rohani Abdullah (Ani Pak Su Lah), 50-an yang tinggal di Lorong Rogayah Pasir Mas kembali ke rahmatullah pada jam 8.40 pagi tadi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, Pasir Mas iaitu kubur yang menempatkan seluruh ahli keluarga bagi pihak ayah. Suami Allahyarhamah, Arwah cikgu Zain juga telah meninggal dunia hampir setahun lalu dan dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Bagaimanapun, saya tidak dapat pulang untuk bersama-sama ahli keluarga meratapi pemergian waris tersayang. Apapun, saya doakan semoga roh arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman dan semoga dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Jumaat, 14 November 2008

Sekilas Pandang

Ex-gratia, dengan rakyat pun hendak berahsia

PEMBERIAN jumlah ex-gratia kepada enam hakim kanan termasuk mantan Ketua Hakim Negara sudah terjawab.

Walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju merahsiakan jumlah RM itu daripada pengetahuan rakyat, tetapi sekarang tidak menjadi rahsia lagi sebab pemberian itu tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim yang berjanji kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk merahsiakan jumlah itu terpaksa menerima hakikat hak rakyat perlu dimaklumkan kepada rakyat.

Persoalannya, kenapa dia hendak merahsiakan jumlah itu daripada rakyat. Kalau rakyat tahu sekali pun, apa sangat rakyat boleh buat? Rakyat hendak membantah? Sejauh mana kesannya. Hanya sekadar seperti anjing menyalak bukit sahajalah.

Sebetulnya Zaid harus tahu, selepas kerajaan bersetuju memberikan pampasan (ex-gratia) kepada enam hakim kanan itu, rakyat reda dan akur. Tetapi apabila dia enggan mendedahkan jumlahnya, rakyat memendam rasa.

Rakyat terasa hati dengan tindakan kerajaan kerana setiap hari, minggu, bulan dan tahun mereka membayar cukai. Mereka berhak tahu ke mana wang yang diamanahkan itu diguna dan disalurkan.

Sekian lama rakyat membuat andaian sendiri berapa ringgit setiap hakim kanan itu menerima pampasan, yang menurut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mereka dipecat setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kira-kira 20 tahun lalu.

Kalau dipecat kenapa perlu diberi pencen. Kalau pampasan memang logik sebab itu adalah imbuhan sebagai mengenang jasa mereka.

Tetapi kalau diberi pencen, rakyat akan bertanya, begitukah dasar kerajaan terhadap penjawat awam yang dikenakan tindakan sehingga membawa kepada perlucutan jawatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Aziz ketika memberitahu Dewan Rakyat beberapa hari lalu menjelaskan semua enam hakim kanan itu tidak dipecat, tetapi diminta bersara awal.

Bagaimanapun, Khamis lalu beliau memohon maaf dan membetulkan kenyataannya dengan mendakwa, enam hakim kanan itu bukan diminta bersara awal, sebaliknya dipecat. Dan jumlah ex-gratia yang diberikan kerajaan kepada mereka berjumlah kira-kira RM10.5 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, RM5 juta dibayar kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, manakala Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng masing-masing RM2 juta, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Suleiman Pawanteh dan Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer pula masing-masing mendapat RM500,000.

Selain ex-gratia, mereka juga menerima bayaran pencen antara RM4,000 hingga RM6,000 sebulan.

Saya percaya, kalau Zaid masih dalam kerajaan, beliau tentu menghalang rakan sejawatannya itu daripada berbuat demikian (mendedahkannya), kerana dia sudah berjanji kepada Pak Lah dan hakim berkenaan untuk merahsiakannya.

Kenapa kerajaan perlu merahsiakan daripada rakyat? Kalau duit itu daripada poket Zaid memang wajarlah, tetapi RM10.5 juta itu adalah duit rakyat.

Tidak wajar setiap penggunaan atau pengaliran wang rakyat dirahsiakan. Rakyat ada hak mengetahuinya ke mana dan apa duit mereka digunakan.

Apa rasionalnya Zaid mahu merahsiakan jumlah ex-gratia itu kepada rakyat sehingga menimbulkan tanda tanya kenapa penjawat awam yang dipecat diberi pencen.

Memang wajar Zaid kecewa, sebab sekurang-kurangnya dia dapat merasai sebagaimana rakyat rasai sikapnya sebelum ini. (Siaran 15hb November 2008)

Rabu, 12 November 2008

Supian Wood mengamuk...





Aksi juara golf dari Johor. Sdr Supian Wood.

Berita dari seberang...

Radar Bojonegoro [ Rabu, 12 November 2008 ]
Amrozi Angkat Image Lamongan Karena Eksekusi dan Pemakaman Berjalan Tenang

LAMONGAN - Pelaksanaan eksekusi sekaligus pemakaman jenazah Amrozi dan Ali Ghufron alias Mukhlas, dua di antara tiga terpidana mati kasus bom Bali I asal Lamongan membuat image Lamongan terangkat. Sebab, proses itu berlangsung tenang.

Pernyataan tersebut disampaikan pakar marketing internasional Hermawan Kartajaya saat menjadi pembicara dalam workshop soal branding dan marketing di Ruang Sasana Nayaka Pemkab Lamongan kemarin (11/11).

"Image positif tersebut terjadi karena pelaksanaan eksekusi dan pemakamannya berlangsung dengan tenang dan tidak ada gejolak yang berarti," kata pria yang juga ketua asosiasi marketing dunia itu.

Menurut direktur MarkPlus Institute of Marketing itu, menjaga image untuk Lamongan sebenarnya cukup sulit. Sebab, Kota Soto ini ter-image negatif dengan adanya pelaku kasus bom Bali I yang asal Lamongan tersebut. Juga, karena kultur masyarakatnya yang konservatif.

"Sehingga tugas pak Masfuk sebagai bupati Lamongan sangat berat untuk menjaga image Lamongan. Tapi, beliau bisa menjalankan tugasnya itu dengan baik, sehingga investor tetap mengalir ke Lamongan," katanya.

Faktor lainnya, lanjut dia, menyangkut kekompakan antara eksekutif dan legislatif setempat.

Menurut Hermawan, atas pertimbangan tersebut dirinya bersama dewan juri pemilihan bupati terbaik dalam Regional Trade, Tourism and Investment (RTTI) Award 2008 memilih Masfuk sebagai pemenangnya.

"Karena tantangan di Lamongan cukup berat tapi berhasil dalam bidang trade (perdagangan), tourism (pariwisata) dan termasuk investment (investasi) yang merupakan bidang tersulit," ungkapnya.

Meski demikian, Hermawan menilai Lamongan masih perlu dua hal agar kemajuannya bisa semakin cepat. Yakni, branding untuk meningkatkan pencitraan daerah dan pendidikan birokrasi.

"Antara branding dan pendidikan birokrasi harus sejalan, karena birokrasi yang akan mengelola branding daerah tersebut," terangnya.

Hermawan menegaskan, keberadaan branding sangat vital untuk marketing suatu daerah atau negara. Hampir setiap negara atau daerah saat ini mempunyai branding.

"Thailand, misalnya, mengangkat branding happines on earth (bahagia di atas bumi)," katanya.

Dengan branding itu, kata dia, negara tersebut semakin mantap sebagai tujuan wisatawan dari seluruh dunia untuk bersenang-senang.

"Meski kondisi politiknya sangat labil, tidak membuat surut wisatawan dan kondisi ekonomi tetap stabil," terangnya.

Selasa, 11 November 2008

Giat berlatih






Sedang berlatih untuk lawan dengan Supian Wook, pemain nombor satu dari Johor.

Saje saje je ni...Gaya orang amatur






Saje je ni..nak tunjukkan kat kawan saya Supian Wood kat Johor tu. Dulu masa kat Kelantan namanya Supian Hanuman. Sekarang ni sejak duduk kat Johor dan tak lagi berdikir barat, dia berjinak-jinak dengan golf dan namanya pun dah tertukar kepada Supian Wook. Lima pupu kepada Tiger Wood. Hahahaha.

Sabtu, 8 November 2008

Sekilas Pandang

RM1,300 harga seorang perwakilan

“DI, (panggilan ringkas kepada nama penuh saya, Manzaidi),.. dot dot dot (nama sebuah parti) dah hancur. Betul-betul dah jahanam. Ada perwakilan dibayar antara RM1,000 ke RM1,300 seorang supaya undi dia (calon). Saya kecewa Di. Baik saya belah. Saya tak minat lagi dengan parti ini.”

Demikian bunyi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang saya terima daripada seorang kawan di satu kawasan di Kelantan enam hari lalu. Kawan itu menyatakan gejala politik wang masih berlaku dan berleluasa di situ, malah di mana-mana pun. Walaupun pemimpin tertinggi sudah berbuih mulut memberi amaran, tetapi amalan itu terus berlaku.

Senggang beberapa minit kemudian, saya terima lagi SMS kedua. Bunyinya: “Memang jahanam, perwakilan dari tiga DUN telah dikurung calon di sebuah hotel dot dot dot Inn... Nak pengaruhkan mereka supaya beri undi kepadanya.”

Saya beristighfar. Lama juga termenung buat kesimpulan sama ada nak percaya atau tidak dakwaan dalam SMS itu. Tetapi berdasarkan rekod 24 tahun kerja sebagai wartawan (tiga per empat daripada tempoh itu, bertugas di Kelantan), perkara itu tidak mustahil. Dalam politik macam-macam boleh berlaku.

Angan-angan Mat Jenin boleh menjadi kenyataan Mat Jenin. Sebodoh-bodoh Pak Pandir pun sudah moden sekarang, boleh tipu yang cerdik. Inikan pula politik. Orangnya (calon) bijak pandai dan berharta lagi. Bijak bercakap, memutar belit, menyusun strategi dan segala-galanya hingga berjaya jadi ketua, walaupun hakikatnya tidak layak.

Kalau seorang perwakilan menerima sehingga RM1,300. Bagaimana kalau jumlah perwakilan itu 300 orang? Sudah RM390,000 dibelanjakan. Itu kos di peringkat perwakilan bahagian. Bagaimana pula dengan kos memilih perwakilan di peringkat cawangan. Pendek kata, setiap calon perlu ada RM1 juta dalam poket baru boleh menyingsing lengan hendak bertanding.

Ini sudah serius. Walaupun ada beberapa pemimpin tertinggi mengeluarkan amaran. Tetapi cukupkah dengan hanya sekadar membuat kenyataan, tanpa tindakan. UMNO harus bertindak segera. Masalah itu sudah sampai ke tahap serius. Parti tidak boleh membiarkan politik wang terus berlaku, seolah-olah sudah menjadi adat dan tabiat. Cegahlah dari sekarang sebelum parti tersembam ke bumi.

Pemimpin yang mengamalkan politik wang tidak akan memikirkan soal parti dan negara, apatah lagi hendak memikirkan masa depan Melayu. Tidak ada istilah itu dalam hidup mereka. Mereka tidak ada matlamat hidup.

Yang mereka tahu, mereka seronok dengan kedudukan sekarang. Dapat projek bernilai jutaan ringgit. Memiliki rumah besar, kereta besar dan mengamalkan gaya hidup mewah. Mereka seronok disanjung, dipuja dan dihormati, walaupun mereka tidak pernah membuat jasa kepada parti.

Apabila ditanya apa mereka lakukan untuk parti, mereka tidak boleh menjawab dengan tepat. Mereka hanya boleh memberitahu: “Oh!... UMNO adalah sebuah parti Melayu yang berjuang untuk membela orang Melayu.”

Itu yang mereka tahu. Mereka tidak boleh menjelaskan secara tepat matlamat dan visi UMNO. Mereka tidak boleh memberi angka tepat jumlah sebenar orang Melayu yang hidup melata di bumi Tanah Melayu ini. Mereka hanya mampu menghafal angka peratusan sahaja.

Jadi, tidak hairan dan tidak terkejut kalau dalam pilihan raya umum, pemimpin ini ditolak oleh rakyat. Itu adalah mesej yang hendak disampaikan rakyat kepada pucuk kepemimpinan. Tetapi malangnya, pemimpin itu dikutip semula oleh ahli yang pentingkan duit. Dia diberi tempat paling tinggi di bahagian, negeri dan pusat.

Sokongan ahli yang tidak matang disebabkan kerana duit telah meletakkan UMNO diambang kehancuran. Saya katakan begitu kerana dalam pilihan raya akan datang, mereka akan ditolak lagi oleh rakyat.

‘Trend’ abad ke-21 berbeza dengan ‘trend’ abad ke-20. Rakyat sekarang tidak lagi memerlukan janji pembangunan, sebab tempat mereka sudah maju. Rakyat juga tidak lagi memerlukan kemudahan prasarana kerana bagi mereka akan menyusahkan. (Siaran 9hb Nov 2008)

Rabu, 5 November 2008

Teruknya politik wang

Tadi, ketika asyik bekerja, saya menerima empat sms daripada orang yang menamakan dirinya anti-politik-wang. Saya tidak tahu darimana dia dapat nombor telefon saya dan apabila saya menghubunginya, dia menggunakan suara garau (mungkin bagi mengelak saya mengenalinya). Katanya, dia selalu mengikuti Sekilas Pandang yang giliran saya setiap Sabtu dan tertarik dengan keberanian saya memaparkan isu politik wang. Dia kata, apa yang saya katakan itu adalah benar sebenar sebenarnya. Sebagai bukti, dia kirimkan saya empat sms mengenai politik wang yang katanya berlaku dalam UMNO Bahagian Pasir Mas sepanjang kempen pemilihan perwakilan dan pucuk pimpinan bahagian itu.

1. Rosdi kalah timbalan, menang Johan. Tapi Fauzi kalah, menang Napi ketua. Hebat beli undi dan kurung perwakilan di enam lokasi. elok dedah... 01*-

2. Ada perwakilan bangkrup pun turut mengundi.

3. Memang jahanam, di Sutera Inn dan Juita Unn untuk perwakilan Pengkalan Pasir, Nordin Batek Inn untuk Tendong, rumah Yamud dan Restoran Tanah Merah untuk DUN Chetok dan Bukit Keluang bersama azmi, alwi... Tuan Hashim terserempak di Juita...

4. Setiap perwakilan dibayar RM1,300. Cuba bayangkan RM1,300 kali 400 orang perwakilan. Jika dikira hampir setengah juta ringgit. Ini belum masuk dua tiga ribu tiap ketua cawangan masa mesyuarat cawangan. Masa sebelum raya, sudah ratusan ringgit setiap orang diberi. Dah gila politik UMNO agaknya.

Berita gembira untuk saya

Assalamualaikum kepada semua tetamu blog...

Sebelum saya memaparkan artikel mengenai siapa Zaid Ibrahim pada kacamata saya, terlebih dahulu saya hendak memaklumkan kepada tetamu satu berita baik dan gembira untuk saya. Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, HAJI Ahmad Rosdi Haji Mahmad yang bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas pada persidangan UMNO Bahagian itu 1 November lalu telah kalah teruk kepada lawannya, sdr Che Johan Che Pa.

HAJI Ahmad Rosdi ini adalah orang politik yang kaya raya. Nilai projek diperolehnya sejak memegang lesen Kontraktor Wibawa ialah lebih daripada RM1 bilion (SATU BILION RINGGIT).

DAN, beliau jugalah antara orang politik yang licik dan telah menganiayai saya dalam kes pembelian rumah sehingga saya menanggung hutang dengan bank dan nama saya telah disenaraihitamkan oleh Citos.

Oleh itu, berita kekalahannya dalam pertandingan itu merupakan berita gembira kepada saya. Saya selalu berdoa kepada Allah Yang Maha Adil agar mengadili kes ini. Dan Allah telah memakbulkan dengan menamatkan karier politik orang bernama HAJI Ahmad Rosdi.

Pada saya, jika dia terus menjadi pemimpin, UMNO Bahagian Pasir Mas akan hancur sebagaimana ahli Pemuda UMNO Bahagian itu berpecah belah di bawah kepimpinannya. Allah Maha Penyayang. Dia menyayangi rakyat Pasir Mas, lantas Dia menghentikan langkah HAJI Ahmad Rosdi.

"Ya Allah..Aku bersyukur kepadaMu. Aku berterima kasih kepadaMu"

Sabtu, 1 November 2008

Sekilas Pandang

MANZAIDI
Penyunting
Edisi Utara

Warkah ringkas untuk perwakilan

KEPADA perwakilan yang budiman lagi bijaksana. Saya doakan kalian semua sentiasa berada dalam keadaan sihat dan waras. Sihat fizikal dan waras mental. Semoga dengan pemberian kesihatan yang baik oleh Allah SWT, kalian semua dapat memandu kehidupan dengan lebih sempurna dan membawanya ke landasan betul demi masa depan kalian, keluarga dan generasi kalian pada masa akan datang.

Hari ini, sebelumnya dan seterusnya sehingga pertengahan Mac tahun depan, kalian yang diberi amanah oleh ahli akar umbi sebagai perwakilan ke peringkat bahagian dan pusat akan menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin.

Ketahuilah sesungguhnya hasrat ahli mahukan pemimpin yang boleh menerajui parti, mempertahankan agama, membela maruah bangsa dan menjaga kedaulatan negara.

Ahli tidak mahu pengamal rasuah, apatah lagi berkepentingan diri sebagai pemimpin. Mereka mahukan pemimpin seperti Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Hussein Onn, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemudi parti Melayu itu.

Bolehkah kalian tunaikan hasrat dan impian itu? Memberikan mereka pemimpin intelek seperti Allahyarham Tun Dr Ismail dan Allahyarham Tun Ghafar Baba. Mampukah kalian membuang sikap kepentingan diri dan meletakkan keutamaan parti, agama, bangsa dan negara demi menjadikan impian dan hasrat ahli sebagai kenyataan.

Ketahuilah, sesungguhnya kalian adalah insan paling bertuah berbanding insan lain. Kalian harus bangga kerana dipilih sebagai perwakilan. Untuk berada di tempat itu, kalian terpaksa melalui amalan 'demokrasi', walaupun tidak sedikit dalam kalangan kalian diambil secara rawak oleh pihak tertentu. Apa pun tahniah diucapkan kepada kalian atas kejayaan itu. Diharapkan bukan wang yang meletakkan kalian di tempat itu.

Ah! malu pula saya hendak menasihatkan kalian. Tetapi kalau tidak memberi peringatan, rasa seperti bersalah pula, sebab saya tengok ramai di kalangan kalian terlalu ghairah hendak menjadi perwakilan. Sama ghairah dengan calon yang hendak merebut jawatan tertinggi parti, walaupun pada pemerhatian saya, kalian sememangnya tidak layak sebagai perwakilan.

Namun apakan daya, kerana 'sesuap nasi' dan 'secawan kopi o', kalian sanggup meletakkan kepentingan diri daripada segala-galanya termasuk memikirkan masa depan anak-anak, keluarga, agama, bangsa dan negara kalian. Kalian sanggup membunuh masa depan mereka demi kerana sekeping dua kertas bernama wang.

Perwakilan yang dihormati! Mahukah kalian melihat generasi baru yang di dalamnya ada anak-anak kalian hidup merempat? Mahukah kalian melihat mereka menjadi hamba kepada bangsa asing dan akhirnya menjadi kaum minoriti di negara sendiri. Tentu kalian tidak sukakan. Tetapi bagaimana kalian mahu mengelak daripada berlaku?

Semuanya terletak di tangan kalian. Tepuk dada tanya selera. Jangan tepuk hati tanya duit. Duit tidak akan menyelamatkan bangsa Melayu daripada merempat dan hamba. Duit hanya dapat memberi kesenangan dalam tempoh sementara. Hanya kejujuran yang mampu menobatkan kedaulatan kita sebagai bangsa Melayu.

Oleh itu, kalian jangan tersilap memilih pemimpin. Pilihlah mereka yang berdarah daging perjuangan, bukan kaya dan mewah dengan harta benda. Tolaklah pemimpin hipokrit. Berilah peluang kepada pemimpin yang ikhlas hendak memimpin, jika kalian tidak mahu maruah bangsa, agama dan negara dijual.

Siapalah saya untuk menilai antara kaca dengan permata, tetapi jika diletakkan di depan, saya yakin dapat membezakannya. Saya menilainya bukan kerana kilauan, sebab pada saya tidak ada apa pun pada kilauan kalau ia bukan permata. (Siaran 01hb Nov 08)