Isnin, 24 November 2008

Hebatnya kena caci dan cerca

SEJAK Sekilas Pandang saya bertajuk: Hala tuju Shahrizat, Rafidah - Pak Lah, Najib atau Ku Li, Anwar tersiar kelmarin (23 Nov 2008 / Ahad), saya menerima sekurang-kurangnya 27 SMS dan lima panggilan telefon daripada pembaca, yang saya yakin seratus peratus adalah penyokong dan pengikut Shahrizat serta Rafidah.

Majoriti daripada SMS dan panggilan itu berbaur kutukan, cacian, hamun, herdik dan celaan, yang saya boleh katakan, hanya Tuhan sahaja tahu isi dan kandungannya. Namun, saya tetap tenang dan tidak menganggapnya sebagai melemahkan semangat saya untuk terus menulis pojok. Selagi bos saya memberi kepercayaan, selagi itu saya akan melontar buah pandangan saya.

Pada saya, itulah dugaan dan ujian bagi seseorang wartawan dan penulis pojok. Pujian, kutukan, cacian dan herdikan adalah perkara lumrah. Bukan mudah untuk kita memberi kepuasan hati kepada pembaca terutama golongan yang totok atau taksub terhadap pemimpin mereka.

Ini yang berlaku kepada saya. Jika pojok saya memihak kepada UMNO, penyokong dan pengikut pembangkang tidak berpuas hati. Kalau pojok saya memuji pembangkang, pengikut dan penyokong UMNO pula menuduh saya yang bukan-bukan. Jadi, saya sudah masak dengan situasi ini. Ia langsung tidak menjadi kudis pada saya.

Saya menulis, pertamanya, bukan kerana nama (walaupun nama saya terpapar dalam pojok itu), kedua, bukan kerana diupah oleh pemimpin UMNO atau pembangkang (sebab gaji saya tetap sebanyak itu juga, tak pernah bertambah-tambah), ketiga, saya menulis kerana berdasarkan keadaan yang berlaku dalam sesebuah kerajaan atau parti politik dan memberi cadangan atau pandangan agar ia tidak sepatutnya berlaku. Itu saja.

Kalau tulisan saya terasa pedas, itu di luar kuasa saya untuk membuatkan mereka berasa pedas. Kalau tidak mahu terasa pedas, jangan sekali-kali makan lada. Umum tahu, malah, anak saya yang kecil pun tahu, lada itu pedas dan bukan jenis buah yang boleh dibawa bermain.

Mengenai Sekilas Pandang saya Ahad lalu, terus terang saya katakan, saya tidak berpihak kepada Rafidah. Saya memojokkan tulisan saya itu berdasarkan logik akal. Kalau Rafidah dan Shahrizat bersetuju untuk menyerah dan menerima jawatan tertinggi parti itu melalui peralihan kuasa, pada saya, kenapa perlu ada pertandingan? Itu saja.

Tambahan pula, tarikh peralihan kuasa itu telah ditetapkan pada Jun 2009 iaitu enam atau tujuh bulan dari sekarang, bukan pada tahun 2010 atau 2011. Kalau tempohnya melebihi satu atau dua tahun dari sekarang, wajarlah kalau Shahrizat menyingsing lengan melawan ketuanya, kerana nampak sangat Rafidah liat hendak berundur.

Tetapi, ini sebaliknya. Tinggal beberapa bulan saja lagi dan umum tahu, Rafidah akan berundur pada tarikh itu. Sikap tidak sabar ini yang saya tekankan dalam pojok itu. Cuma saya tidak memasukkan dalam pojok berkenaan mengenai sikap sabar anak-anak saya menunggu kepulangan saya ke pangkuan mereka.

Saya tabik pada anak-anak. Mereka boleh bersabar menunggu kepulangan saya, walaupun mereka tidak tahu bila saya akan balik. (Hakikatnya, saya tidak ada peluang untuk balik ke Kelantan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan ini dan Rancangan Malaysia Kesepuluh mungkinnya - tetapi saya tidak pernah beritahu mereka bila saya akan pulang). Ini adalah contoh kesabaran.

Kenapa Shahrizat tidak boleh bersabar menunggu untuk mengambil jawatan ketua daripada Rafidah pada tarikh dan waktu yang telah pun ditetapkan pertengahan tahun depan.

Ini yang saya zahirkan dalam pojok Sekilas Pandang. Berdasarkan logik akal saya yang serba cetek, tetapi banyak diterima pakai oleh pemimpin politik. Jadi, kenapa pengikut dan penyokong kedua-dua pihak harus melenting, marah-marah dan mengutuk saya?

Sejarah 24 tahun dalam dunia kewartawanan, saya tidak pernah berdepan dengan sikap yang begini agresif pengikut dan penyokong UMNO. Selama ini, saya ditanamkan dalam minda saya bahawa pemimpin, ahli, pengikut dan penyokong UMNO adalah bangsa yang baik dan penyabar berbanding pemimpin, ahli, pengikut dan penyokong Pas. Rupa-rupanya sebalik yang berlaku. UMNO mula agresif. Pas semakin cool.

Kalau baca semula Sekilas Pandang itu, tidak ada apa sebenarnya. Ia lebih kepada memberi peringatan kepada Shahrizat agar bersabar. Jangan gelojoh. Kalau menang, oklah. Dia boleh terus bersinar. Tetapi bagaimana kalau dia kalah? Sayanglah permata Pergerakan Wanita yang bakal berkilau tiba-tiba menerima nasib seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim.

Ada antara SMS yang saya terima minta saya memohon maaf kepada Shahrizat atau dalam pojok akan datang menulis hal yang menyokong bekas Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga itu. Saya jawab SMS itu, saya katakan, saya TIDAK akan meminta maaf dan TIDAK akan akur dengan permintaan mereka.

Kenapa saya perlu meminta maaf dan menulis perkara yang memihak kepada Shahrizat? Saya tidak kondem Shahrizat. Saya hanya menyatakan secara umum bahawa KENAPA dia tidak sabar menungguh sehingga Jun tahun depan untuk mengambil jawatan itu secara baik.

Kenapa perlu ada pertandingan. Saya secara peribadi melihat, pertandingan ini akan mengeruhkan lagi keadaan. Menggalakkan lagi amalan politik wang dan pergaduhan antara kedua-dua penyokong tidak dapat dielakkan, sungguhpun ada dalam kalangan pemimpin tertinggi parti memberi jaminan TIDAK akan berlaku perpecahan kalau bertanding pun.

Itu kata mereka, hakikat yang rakyat nampak di depan mata mereka ialah PERPECAHAN. Daripada satu team menjadi dua team. Daripada sebelum ini boleh duduk semeja, akan berubah menjadi dua meja berasingan. Ini tidak dapat dielakkan, ia MESTI berlaku dan AKAN berlaku.

Betul kata Tan Sri Sanusi Junid ketika beliau memegang jawatan Menteri Pertanian tidak lama dulu. Katanya, BURUK IKAN BERMULA DARI KEPALA.

Ini yang dilihat oleh rakyat. Hatta anak sulung saya yang menuntut di UiTM pun pernah hantar SMS pada saya, dia tanya saya, kenapa UMNO jadi begini sekarang? Maksudnya, UMNO sudah berpecah belah, tidak seperti sebelum ini.

Saya tidak jawab apa-apa, tetapi akhirnya dia mendapat jawapannya melalui pengamatannya dalam siri Sekilas Pandang yang ayahnya tulis itu. Hasilnya, dia mengirim SMS kepada saya, katanya, dia sudah tahu kenapa UMNO berpecah.

Tiada ulasan: