Rabu, 4 Februari 2009

Kronologi PR vs BN Perak

Calon MB Perak belum difikirkan lagi, kata Zahid
PUTRAJAYA — Pucuk pimpinan Barisan Nasional belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar Perak selepas parti itu hari ini diumumkan memperoleh majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

“Itu belum difikirkan oleh Datuk Seri Najib dan Pak Lah tetapi kita ada 28 calon sekarang ini,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu di sini hari ini.

PM: BN sedia tubuh kerajaan baru di Perak
PUTRAJAYA — Barisan Nasional (BN) bersedia untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak berikutan kesediaan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang telah meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Terima kasihlah kalau mereka sudah ambil keputusan untuk menyatakan sokongan kepada BN, BN terima dan kita ucapkan terima kasihlah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesembilan di sini hari ini. - Bernama

Nasaruddin sertai semula UMNO untuk kuatkan kerajaan Perak
PUTRAJAYA — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang kembali semula ke pangkuan UMNO hari ini setelah 10 hari menyertai Parti Keadilan Rakyat berkata, beliau berbuat demikian kerana mahu melihat tertubuhnya sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil.

“Maka saya dengan perasaan penuh kesedaran dan tanggungjawab kembali semula menyertai UMNO dan Barisan Nasional mulai hari ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

MB Perak tinggalkan istana tanpa umum keputusan Sultan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang mengadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

“Saya sudah menerangkan (explained) keadaan politik terkini, terserah kepada Tuanku,” katanya kepada wartawan sejurus sebelum meninggalkan perkarangan istana tersebut.

Speaker Perak terima surat peletakan jawatan Yit Foong
IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar telah menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong.

Surat berkenaan diterima pukul 8.10 pagi ini di pejabatnya di Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

MB Perak umum bubar DUN serta-merta
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengambil tindakan drastik dan luar biasa apabila mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta.

Beliau berkata dalam satu sidang akhbar di Ipoh hari ini bahawa beliau akan menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah petang ini untuk mendapatkan perkenan baginda.

BN bentuk kerajaan baru di Perak
PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan majoriti tiga kerusi.

Ini berikutan keputusan tiga calon Bebas iaitu Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Foong yang telah menghantar surat kepada Sultan Perak semalam mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Perak dan menyatakan sokongan kepada BN.

Datuk Nasharuddin Hashim yang keluar BN Sabtu lalu turut mengumumkan kembali kepada UMNO.

Dengan pengumuman itu, BN kini memiliki 31 kerusi berbanding PKR sebanyak 28 kerusi.

Menurut Najib, Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Foong masih kekal sebagai wakil rakyat Bebas tetapi akan memberi sokongan kepada BN dalam sidang DUN termasuk sesiapa sahaja yang bakal dilantik Menteri Besar Perak.

Najib berkata, beliau akan mengadap Sultan Perak dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkara itu.

Empat ADUN Perak sertai sidang akhbar bersama Najib
PUTRAJAYA – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Fong dan Nasharuddin Hashim akan menyertai sidang akhbar khas bersama Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan diadakan sebentar lagi di pejabat Timbalan Perdana Menteri di sini petang ini.

Najib adakan sidang akhbar khas petang ini
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan sidang akhbar khas pada pukul 4 petang ini dipercayai ada kaitan dengan perkembangan terbaru pergolakan politik di Perak.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran