Hati rakyat luka, masa untuk rawat
SUASANA politik di Perak sudah mula reda. Masing-masing mula kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Alhamdulillah. Inilah yang kita mahu dari dulu, kini dan selama-lamanya. Hidup aman, damai, sejahtera dan harmoni.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) pun sudah mengangkat sumpah. Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pun telah dilantik. Malah bekas Menteri Besar dari kerajaan Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pun sudah mula mengaku kalah dan berundur secara terhormat dari kubu rasmi yang didudukinya 10 bulan lalu.
BN yang 'berjaya' mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Perak tanpa melalui pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) seharusnya mengamalkan sikap terbuka.
Tidak berdendam, pilih kasih atau menganaktirikan penyokong PR. Selagi mereka bergelar rakyat, selagi itu mereka perlu diberi pembelaan oleh kerajaan yang memerintah.
Bukan senang untuk memenangi hati rakyat yang sudah terguris dengan sikap kita, tetapi bukan suatu yang payah atau susah untuk kita memujuk dan memenanginya semula.
Sekeras-keras kerak nasi pun, kalau direndam air dua tiga malam, akan lembut juga.
Inikan pula hati manusia. Nalurinya sangat unik. Hanya Jauhari yang mengenal Manikam.
Pada saya, ini adalah masa yang sesuai untuk pemimpin BN turun padang. Menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan terdahulu. Mendekati masyarakat luar bandar dan pedalaman.
Kunjungi mereka. Makan bersama mereka, pimpin dan papah mereka yang uzur. Banyakkan masa bersama rakyat. Gambarannya, buat sebagaimana kamu berkempen dalam pilihan raya umum lalu.
Kalau ketika itu boleh buat, kenapa sekarang tidak boleh? Jijik sangatkah atau busuk sangatkah rakyat sehingga selepas pilihan raya, wakil rakyat tidak lagi menghampiri mereka? Atau memandang sebelah mata pun tak mahu?
BN harus ingat. Mereka tidak boleh berdendam atau benci rakyat. Tetapi mereka harus tahu, rakyat Perak kini menyimpan dendam dan benci kepada mereka.
Bagaimanapun, dua sifat yang ada pada rakyat itu tidak boleh dijadikan alasan untuk kita sebagai wakil rakyat membalas dendam. Ingat! kalau sering melemparkan senyuman pada musuh, lama-kelamaan akan membuka pintu hatinya untuk menghormati kita.
Tempoh pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi. Walaupun kedengaran tiga tahun lagi, tetapi bagi BN dan PR, tempoh itu agak pendek dan singkat. Banyak perkara perlu dilakukan untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan rakyat. Nampak memang mudah.
Boleh buat andaian si anu akan memihak kepada kita kalau kita sogok dengan sekeping zink, tetapi rakyat kini bukan seperti dahulu. Beri gula, ambil. Beri kain, pakai. Bila undi, calon lawan dipilihnya.
Kenapa mereka pilih calon lawan ketika mengundi? Ada sesuatu yang tidak kena berlaku antara kita (wakil rakyat) dengan rakyat. Ada kesilapan yang mungkin kita lakukan, tetapi kita lupa untuk meminta maaf.
Kita hanya anggap dengan memberikan sebuah basikal untuk memudahkan anak penduduk berulang alik ke sekolah, segala kesalahan kita dimaafkan. Mereka akan memberi undi kepada kita. Tidak.
Sejarah setiap kali pilihan raya umum telah membuktikan sikap dan sifat rakyat (pengundi). Mustahil kita sebagai pemimpin tidak menyedari atau tak dapat 'membaca' isyarat rakyat. Selalunya, pemimpin BN dan PR cuai. Mereka mudah sangat lupa daratan.
Tidak pernah menjadikan sejarah silam sebagai pengajaran. Mereka suka membuat keputusan berdasarkan kata hati sendiri. Walaupun kata hati itu sebenarnya tercetus daripada perasaan gundah, gementar, takut dan keyakinan yang palsu. (Siaran 14hb Feb 09)
Sabtu, 14 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan