Isnin, 2 Mac 2009

7 minit

Kuatkuasa 15hb Februari lalu, ruangan Sekilas Pandang dalam akhbar Sinar Harian telah ditukar kepada 7 Minit. Berikut adalah pandangan saya dalam 7 Minit siaran 27hb Feb 2009.

Apa cerita Man?
SAYA dihubungi ramai sahabat. Majoriti daripadanya mahu tahu perkembangan semasa. Mereka kata, mereka keliru. Mereka kata, mereka tak tahu yang mana satu betul. Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN).

Saya beritahu mereka, sebenarnya saya dah bosan dan muak dengan politik sekarang. Saya juga beritahu mereka, saya dah tak ambil tahu lagi pasal isu-isu politik. Bagi saya, lagi kita ikuti, lagi bertambah-tambah sakit hati. Saya kata begitu kerana semuanya sama, baik UMNO, PKR, Pas, DAP, MCA mahupun MIC. Mereka ni dilahirkan dalam acuan sama, cuma adunannya lain.

Soal pentingkan diri? Semuanya ada. Itu yang bersarang dalam diri mereka. Tidak seperti dulu lagi. Bertelagah, bertelingkah sama sendiri, masing-masing nak tunjuk jaguh, cari kesalahan orang lain, menerima dan memberi perasuah, membeli dan menjual diri dan macam-macam lagi yang ada kaitan dengan keruntuhan moral.

Inilah senario politik abad ke-21. Wakil rakyat tidak lagi menghiraukan masalah rakyat. Mereka jarang turun padang. Rakyat terkapai-kapai tanpa pemimpin. Jalan rosak tidak dibaiki. Longkang tersumbat tidak diselenggara. Jambatan runtuh tidak diganti baru. Malah, keluarga yang tak ada lampu pun masih banyak.

Macam mana nak tumpu kepada rakyat, diri sendiri pun tidak terjaga. Tidur sekarang pun dah tak lena, makan lagilah tak kenyang, mandi pula tak pernah basah. Sibuk memikirkan... "apakah aku pernah ada skandal dengan teman lelaki atau teman wanita seperti kes Elizabeth Wong atau Chua Soi Lek."

Mahu tak takut. Sekali terbongkar kisah-kisah lama, besar malunya. Kalau muka tembok macam bekas presiden Amerika Syarikat, George Bush yang kena baling kasut tu, tak mengapalah. Ni muka Malaysian. Pergi ke mana-mana, orang kenal. Orang menyebut-nyebut dan berbicara pasal kita.

Itu yang saya kata, saya sudah bosan sebenarnya dengan dunia politik hari ini. Malah, kadang-kadang terfikir juga setiap kali beli surat khabar. Adakah aku beli ni kerana nak baca berita politik yang membosankan itu atau kerana nak baca ruangan lain yang lebih menarik seperti hiburan, sukan dan rencana agama.

Tetapi, kalau tak baca, terasa pula ruginya. Sebab berita politik ni ada kelebihan tersendiri. Setiap daripada kita, termasuk saya, perlu juga tahu sedikit sebanyak hal ehwal politik ni. Tak baca dua hari, nanti jauh ketinggalan.

Saya tak mahulah berlaku dengan segelintir warga kota, apabila pengacara rancangan Wakenabeb bertanyakan siapa nama Ketua Polis Negara, ramai yang jawab tak tahu.

Ada yang jawab, Datuk Rahim Noor kot. Dan tidak sedikit mengatakan Datuk Bakri. Kesian Datuk Hassan Musa. Penat-penat pegang jawatan itu, seorang rakyat pun tak tahu beliau adalah Ketua Polis Negara. Dalam bab ini kita nak salah siapa?

Salah wakil rakyat dan pemimpinlah kerana asyik bertelagah sampai lupa nak terapkan semangat cintakan tanah air dalam diri masyarakat atau pengundi di kawasan masing-masing. Tak mustahil satu hari nanti, rakyat sendiri lupa nama wakil rakyat mereka.

Itulah cerita saya hari ini.

Tiada ulasan: