Isnin, 2 Mac 2009

Mulai hari ini juga saya akan paparkan tulisan pojok saya yang disiarkan dalam kolum YEOP untuk Sinar Harian Edisi Perak. Kolum ini ada dua watak iaitu YEOP dan YONG. Konon-kononnya YEOP ni tak sehaluan dengan YONG. Jadi mereka sering kata mengata (perkara sihat) yang berkaitan dengan dua kerajaan di Perak. Cuma tulisan YONG tak dapatlah YEOP siarkan sebab tertakluk pada hak cipta terpelihara. YEOP hanya akan siarkan apa yang YEOP tulis sahaja:-

(Pertama 28hb Feb)
Dah lama Yeop keseorangan. Hari ni Yeop dapat pasangan. Yong namanya. Yong mulut becok. Cakap tak berlapik. Pakai hentam kromo jer. Mentang-mentang Yeop beri peluang, habis dibedalnya.

Macam-macam Yong lemparkan tuduhan pada Yeop. Inilah perempuan. Tapi Yeop buat tak tau jer. Orang perempuan, mulutnya memang macam tu. Makin dilayan makin menjadi-jadi. Sebenarnya, Yong tak ada topik nak dibincangkan. Sampaikan Yeop dijadikan sasarannya.

Apapun, selamat datang dan salam perkenalan pada Yong. Seronok jugak dapat pasangan jenis mulut becok macam ni. Ada juga manfaatnya. Kalau tidak, sunyi dan sepi aje. Filem pun begitu jugak, kalau tak ada slot lawak, tak cerialahkan.

Pada Yong, Yeop harap Yong gunakan mulut becok Yong tu untuk beri pandangan, ulasan, kritikan, ideal dan cadangan yang baik untuk rakyat kita dan Malaysia amnya.

Memang betul Yeop bercuti dua hari. Bosan duduk kat rumah, Yeop ikut YB-YB turun padang. Sekali turun, baru Yeop tau apa yang berlaku di bawah sana. Rupanya apa yang wakil rakyat janji tika kempen pilihan raya tahun lalu hanya kosong semata-mata.

Bila menang, bila dah ada mandat, mereka lupa nak tunai. Sedihlah Yeop macam ni.
Sekarang, mereka terima balasannya. Tika mula-mula bergelar YB dulu, bukan main manis dan lembut lagi bercakap.

Selalu masuk kampung jumpa penduduk. Mengalahkan Yong yang mulut becok tu. Tapi bila dah lama pegang, mereka dah mula bosan. Mulalah lupakan tanggungjawab. Jadi tak sedar diri. Sekarang bila sudah terantuk, baru nak tengadah.
Yong patut bisik-bisik kat telinga YB-YB yang tak lagi jadi MB dan Exco tu. Bisik macam Yeop laungkan azan kat telinga anak Yeop.

Yeop: Selalu cermin diri.

Tiada ulasan: