Khamis, 21 Ogos 2014

Beri Khalid memerintah sehingga tamat penggal PRU 13


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung bawah Angkatan Rakyat Sedar (ARAS) hari ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Mereka menyatakan pendirian itu dalam satu perjumpaan di Shah Alam pagi ini, dengan membuat keputusan mendesak kepimpinan pakatan pembangkang agar tidak mengganggu jawatan Menteri Besar yang dipegang Abdul Khalid sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) pada 2018.

Pengerusi ARAS, Abdul Rahim Abdul Wahab berkata, gabungan NGO itu yang mewakili jutaan anak Selangor menaruh keyakinan penuh pentadbiran kerajaan negeri bawah Abdul Khalid dan tidak ada sebab untuk beliau diganti dengan orang lain yang bukan anak jati negeri itu.

Kata beliau, pentadbiran Selangor di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu sejak pakatan pembangkang menang pada PRU 12 tahun 2008 berjalan baik, teratur dan melengkapi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Kami sangat yakin berlakunya kegawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya adalah berpunca dari kumpulan kecil yang terdesak untuk memanjat naik hierarki kepimpinan parti dengan melanggar adat dan budaya politik reformasi.

“Kami menyeru agar apa jua kemelut yang berlaku hari ini ditangani dengan baik dan bijaksana sesuai dengan gerakan serta anjakan ‘Politik Reformasi’ yang dibawa oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 yang kami dukung sehingga sekarang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abdul Rahim berkata, mereka turut meminta agar segala isu sensasi yang diputarkan di media perdana, media sosial atau di pentas ceramah dengan tujuan memperlekeh Institusi Istana Selangor, mengaibkan Abdul Khalid, memanipulasi atau memutar belitkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor oleh sesetengah pemimpin pakatan pembangkang dihentikan serta merta.

Ini kerana, katanya, perbuatan itu tidak menguntungkan sesiapa, malah lebih menyerlahkan lagi betapa mentahnya kemahiran politik mereka di mata rakyat dan seperti menghina kebijaksanaan rakyat Selangor yang memilih pakatan pembangkang selama dua penggal PRU.

“Ini juga telah membangkitkan kebencian dan rasa mual rakyat terhadap pakatan pembangkang dan perlu diingat, yang memilih mereka untuk menerajui pemerintahan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan bukan hanya terdiri dari anggota atau ahli gabungan itu, tetapi juga rakyat yang tidak berparti,” katanya.

Kata beliau, malam esok semua ahli NGO berkenaan termasuk rakyat dan anak jati Selangor akan mengadakan solat sunat hajat dan munajat di Masjid Negeri Shah Alam dari jam 7 hingga 10 malam.

“Kita mohon kepada Allah agar kesinambungan pemerintahan kerajaan Selangor di bawah Abdul Khalid terus membudayakan konsep ketelusan, kejujuran, berintegriti dan menidakkan sekeras-kerasnya amalan nepotisme, kronisme dan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Abdul Rahim turut menempelak Pas kerana membuat pusingan U dalam menentukan kedudukan Abdul Khalid pada mesyuarat parti itu di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Katanya, rakyat Selangor berpegang kepada pendirian Pas Pusat sebelum ini yang mengakui Abdul Khalid tidak melakukan sebarang kesalahan dari segi syarak dan perlu diberi peluang memegang jawatan Menteri Besar sehingga tamat penggal PRU 13.

“Bagaimanapun, dalam sekelip mata juga mereka (Pas Pusat) membuat keputusan menarik balik sokongannya terhadap Abdul Khalid,” katanya yang tidak menolak Pas telah dipengaruhi oleh pihak tertentu dalam pakatan pembangkang.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran