Jumaat, 22 Ogos 2014

Nurul salahkan Pas ibunya tak boleh jadi MB


Tindakan pemimpin Pas menjadikan alasan kaum wanita tidak boleh mengetuai kerajaan negeri, antara penyebab kenapa Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ditolak oleh istana sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau dan seluruh ahli Wanita parti itu kecewa dengan sikap Pas menggunakan agama untuk menegakkan hak mereka bagi menghalang ibunya daripada mengambil alih tempat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, Pas harus sedar tanpa kerjasama dan sumbangan wanita, kepimpinan mana-mana parti sekali pun tidak akan kuat kerana golongan itu mempunyai peranan serta sokongan tersendiri.

“Pas sepatutnya memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) yang sebulat suara bersetuju mencalonkan Dr. Wan Azizah sebagai Menteri Besar, tetapi mereka beriya-iya mencalonkan orang lain (Mohamed Azmin Ali).

“Kalau sudah setuju dan menyokong apa saja keputusan yang dicapai PR, janganlah beri alasan lain lagi sehingga proses penggantian Menteri Besar gagal.

“Namun, kita tidak berputus asa. Seperti Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata, hanya satu nama sahaja dicadangkan iaitu Dr. Wan Azizah. Ia adalah muktamad,” katanya berucap merasmikan Kongres Wanita PKR di Stadium Melawati Shah Alam, hari ini.

Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula secara berasingan di Dewan Bankuet Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Perasmiannya disempurnakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan Abdul Khalid sebagai pemimpin yang tidak mengenang budi apabila memanjangkan kes pemecatan keahliannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Katanya, Menteri Besar itu tidak wajar berbuat demikian kerana akan mengganggu pentadbiran parti yang mendapat kepimpinan baru selepas proses pemilihan parti itu selesai bulan lalu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai kredibiliti Abdul Khalid, mahu ahli parti menilai sendiri sikap Menteri Besar itu yang mendorong PKR memecat keahliannyabeberapa minggu lalu.

Tiada ulasan: