Ahad, 10 Ogos 2014

MB minta PKR tangguh sesi pendengaran 15 Ogos

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disambut oleh Abdul Khalid Ibrahim pada Majlis Menghadap Oleh Kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor bertempat di Auditorium Jubli Perak, Shah Alam  pada 8 Ogos 2014. Foto: ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR.
 
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan hadir pada sesi pendengaran sebagaimana diarahkan Lembaga Disiplin Keadilan petang ini dan mahu ia ditangguhkan pada 15 Ogos ini.

Beliau berkata, notis yang diberikan kepada beliau supaya menghadiri sesi itu terlalu singkat, tidak sampai 24 jam dan menganggapnya sebagai tidak munasabah serta tidak adil.


Abdul Khalid juga berkata, beliau terkilan apabila notis pendengaran yang dihantar kepadanya turut meminta menjelaskan lima perkara tambahan iaitu pengstrukturan air Selangor, elaun baru Menteri Besar Selangor, kenaikan cukai lesen perniagaan, pinjaman hutang dengan Bank Islam dan cadangan pembinaan Lebuh Raya KIDEX.

“Saya berpendapat Lembaga Disiplin Keadilan telah bertindak tidak adil kepada saya kerana notis tunjuk sebab tidak merujuk kepada perkara itu. Tindakan ini menguatkan lagi desakan saya bahawa sebarang pertuduhan terhadap saya hendaklah dinyatakan dengan jelas dengan butiran terperinci.

“Justeru, bagaimana lima perkara tersebut mempunyai apa-apa kaitan dengan ‘Langkah Kajang’ yang mulanya dinyatakan dalam notis tunjuk sebab. Tambahan pula, Lembaga Disiplin parti dan khalayak umum berpengetahuan ‘Langkah Kajang’ telah dikatakan dirancang sebelum kelima-lima perkara tersebut berbangkit,” katanya kepada media selepas mengiringi Sultan Selangor bersama warga kerja Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam di sini hari ini.

Surat jawapan notis tunjuk sebab itu diserahkan kepada Lembaga Disiplin Keadilan oleh Setiausaha Politiknya, Mustafa Mohd Taib pada jam 10.20 pagi tadi di ibu pejabat Pusat PKR di Petaling Jaya.

Abdul Khalid menegaskan, lima perkara itu telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam kuasa eksekutif mentadbir negeri Selangor dan Lembaga Disiplin hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar salah laku disiplin berkenaan perkara berkaitan dengan parti, bukan hal pentadbiran kerajaan negeri. Adalah tidak munasabah Lembaga Disiplin mengkehendakkan saya dalam tempoh yang sangat singkat menjelaskan lima perkara itu.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Lembaga Disiplin Keadilan sendiri tidak jelas dan tidak konsisten dengan kononnya apa-apa salah laku oleh saya dan perkara-perkara yang perlu saya jawab,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian Lembaga Disiplin keadilan kepada cogan perjuangan parti di bawah Fasal 3 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat iaitu ‘Keadilan Untuk Semua’.

Katanya, sebagai parti yang berjuang demi keadilan untuk semua, beliau seharusnya juga diberi peluang yang nyata, bukan secara maya untuk membela diri jika memang benar terdapat isu salah laku terhadapnya.

“Malangnya, tindakan Lembaga Disiplin terhadap saya sangat mencurigakan dan bertentangan dengan cogan parti serta prinsip keadilan semula jadi serta tidak mengikut proses yang betul.

“Saya berasa amat risau bagaimana tergesa-gesanya perkara tindakan disiplin ini sedang dilaksanakan seperti sebagaimana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa risau mengenai rayuannya dalam Mahkamah Rayuan yang dikatakan dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan hadir pada sesi pendengaran petang ini, Abdul Khalid berkata, beliau tidak dapat hadir kerana terikat dengan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar.

Serentak itu juga, Abdul Khalid mencadangkan kepada Lembaga Disiplin agar memaklumkan kepadanya nama ahli Lembaga Disiplin yang akan bersidang pada sesi pendengaran itu, termasuk prosedur yang akan diterimapakai semasa pendengaran, sama ada beliau boleh diwakili peguam atau boleh membawa pegawai bersamanya.

Tiada ulasan: