Rabu, 1 Oktober 2014

Anwar kekal Penasihat Ekonomi Selangor – Mohamed Azmin

Mohamed Azmin Ali

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, tegas Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali.
 
"Dalam mesyuarat Exco pagi ini, kita telah meneliti minit mesyuarat Exco yang lalu. Apa yang diputuskan oleh Khalid (bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) ialah menutup pejabat Penasihat Ekonomi.
 
"Tidak timbul soal Anwar dipecat sebagai Penasihat Ekonomi. Sekarang kita akan bincang semula mengenai fungsi dan peranannya untuk membantu pembangunan ekonomi Selangor dan sudah tentulah kita akan memberikan kemudahan termasuk pejabat sesuai dengan peranan yang akan dimainkan," katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
 
Katanya, pada 22 September lalu iaitu serentak dengan peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, beliau hanya menutup pejabat Penasihat Ekonomi berkuatkuasa serta merta.
 
"Dengan ini saya mengumumkan Anwar masih kekal sebagai Penasihat Ekonomi Selangor," katanya.
 
Mengenai desakan Anwar agar Mohamed Azmin mengkaji semula beberapa projek yang telah dimeterai oleh Abdul Khalid, katanya, kerajaan negeri pimpinannya akan melihat semula perjanjian itu dengan mengambil kira soal kepentingan awam.
 
Bagaimanapun, katanya, antara yang dibincangkan hari ini ialah mengenai penstrukturan semula air di Selangor dan beliau akan mendengar taklimat berhubung perjanjian itu esok.
 
"Semuanya saya perlu lihat perjanjian itu dulu sebelum membuat sebarang keputusan. Saya nak tengok dulu perjanjian itu," katanya. 
 
Ditanya keputusan Pas Pusat menolak pelawaan beliau untuk melantik Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas, beliau sebaliknya meminta Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad menjawab.
 
Iskandar yang berada di sebelah Mohamed Azmin kemudian berkata, setakat ini Pas belum membuat sebarang keputusan soal jawatan Timbalan Speaker DUN.
 
"Tidak timbul soal Pas tolak atau sebaliknya. Kita belum buat keputusan rasmi lagi," kata Iskandar.
 
Sementara itu, Mohamed Azmin membidas kenyataan MCA yang menyalahkan ADUN Kajang yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam kejadian banjir kilat melanda kawasan Kajang semalam.
 
Katanya, kenapa MCA tidak menegur ADUN di kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran