Rabu, 1 Oktober 2014

Elaun, gaji empat jawatan utama dikaji semula

Barisan Exco Kerajaan negeri Selangor yang menghadiri mesyuarat dengan Mohamed Azmin Ali. Foto: ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR. 1 Okt. 2014.
 
Kadar kenaikan elaun dan gaji bagi empat jawatan utama kerajaan negeri akan dikaji semula, kata Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
 
Beliau berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat pertama anggota Exco Kerajaan Negeri yang baharu pagi ini dan bersetuju untuk membincangkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.
 
Katanya, kajian itu melibatkan kenaikan elaun dan gaji Menteri Besar, Speaker DUN, 10 anggota Exco Kerajaan Negeri dan Timbalan Speaker, manakala elaun serta gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikekalkan memandangkan ia berpatutan dan bersesuaian dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.
 
"Pada mesyuarat pertama kami (Exco) pagi ini, kita telah memutuskan untuk mengkaji semula kadar kenaikan elaun dan gaji bagi empat jawatan utama iaitu Menteri Besar, Speaker, Exco dan Timbalan Speaker.
 
"Kita sedia maklum satu kenaikan elaun dan gaji telah diluluskan oleh Menteri Besar sebelum ini (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) pada 22 November tahun lalu, namun kita berpendapat kenaikan kadar ini perlu dikaji semula mengikut kesesuaian.
 
"Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan untuk membentangkan dalam sidang DUN akan datang agar kadar ini dikaji semula bersesuaian dengan perkhidmatan dan tanggungjawab yang dijalankan oleh kesemua Exco Kerajaan Negeri," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di Shah Alam hari ini.
 
Sembilan dari 10 anggota Exco hadir, kecuali Dr. Ahmad Yunus Hairi yang berada di tanah suci Mekah menunaikan fardhu haji. - MalaysiaGazette

Tiada ulasan: