Ahad, 28 Disember 2014

Kelantan Tangguh Sidang Khas DUN Ekoran Banjir

Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkenaan pindaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2014) atau hudud yang dijadualkan Isnin ini (29 Dis) ditunda ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata keputusan itu diambil ekoran banjir di negeri ini yang semakin buruk.

“Sidang DUN pada 29 Dis ini kita tunda…keadaan banjir menyebabkan kita tunda oleh sebab keadaan tidak mengizinkan…kita akan beri semula (tarikh) selepas ini bila masa yang sesuai untuk sidang dewan khas.
“Terutama apabila semua wakil rakyat berada di kawasan masing-masing memberi khidmat kepada masyarakat di samping menguruskan yang perlu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Persidangan khas itu bertujuan untuk membuat pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) 1993 sebelum rang undang-undang persendirian dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ahmad ditemui ketika sedang menunggu ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bersama-sama mendengar taklimat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi semasa banjir serta operasi menyelamat mangsa yang sedang dijalankan di negara ini.

Menteri Besar turut mengumumkan esok (28 Dis) sebagai cuti peristiwa di  Kelantan ekoran keadaan yang tidak menentu berikutan bencana banjir yang melanda.

Pada masa sama, Ahmad turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengurusan bencana banjir di negeri ini.

“Saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu Kelantan. Baik dari pihak kerajaan persekutuan, agensi-agensi, kerajaan negeri serta pasukan keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak agar menolak ke tepi ideologi politik sebaliknya bekerjasama bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan terjaga, terutamanya ketika menghadapi musibah besar sebegini.

“Dalam menyelamatkan rakyat, kita tiada parti. Kita selamatkan rakyat daripada musibah apabila mereka hadapi masalah. Sama ada bantuan dari persekutuan, negeri, atau agensi-agensi, kita akan beri kerjasama dengan semua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: