Selasa, 28 Julai 2015

Apa tindakan Muhyiddin seterusnya

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sudah diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan beliau.
 
Namun kini apa yang penting kepada UMNO bagaimana Muhyiddin bertindak balas terhadap apa yang telah dilakukan oleh Najib terhadapnya.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berpendapat, Muhyiddin boleh memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa UMNO atau menunggu persidangan Parlimen selepas ini untuk melaksanakan undi tidak percaya kepada Najib.
 
"Apa yang bakal berlaku kepada UMNO sekarang adalah bergantung kepada reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas pemecatan beliau. Sekiranya Muhyiddin memulakan langkah untuk memanggil Mesyuarat Agung Luar Biasa UMNO bagi melaksanakan undi tidak percaya kepada Najib, kita memang menjangkakan perang besar akan berlaku di dalam parti.
 
"Namun begitu, sekiranya beliau memilih untuk menantikan persidangan Parlimen seterusnya bagi memulakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen, ini juga pastinya akan mencetuskan krisis yang besar di dalam negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Wan Saiful yang menyifatkan pemecatan Muhyiddin sebagai langkah terdesak telah memberi impak buruk kepada kerajaan.
 
Selain ia akan menimbulkan lebih banyak persoalan, tindakan ini juga dibimbangi bakal memberi impak kepada situasi ekonomi dan sosio-politik negara.
 
Tambahnya, rombakan Kabinet bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana tiada perdana menteri yang mampu memiliki ahli jemaah kabinet yang mengkritik beliau secara umum.
 
Bagaimanpun, masa dan cara rombakan dilakukan telah mengundang persoalan baharu di mana Perdana Menteri bukan sahaja tidak memberi jawapan yang baik kepada kritikan yang dilemparkan kepada beliau, sebaliknya memilih untuk memecat para pengkritiknya.
 
"Setiap persoalan dan kritikan masih belum terjawab. Apa yang lebih buruk, rombakan kabinet dilakukan serentak dengan penamatan perkhidmatan seorang indvidu yang mempunyai kuasa untuk mendakwa atau tidak mendakwa sesiapa yang bersalah dalam skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB)
 
"Masa dan cara rombakan ini dibuat memberi gambaran seolah-olah Perdana Menteri hanya mahu mendiamkan para pengkritiknya dan menghentikan sebarang pendakwaan atas kesalahan jenayah sekiranya ada," dakwanya.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: