Jumaat, 3 Julai 2015

RM2.64 bilion masuk ke akaun Najib? - kata WSJ

najib-akaun

BANGI, Jumaat – Dalam apa yang dikatakan ‘perkembangan mengejutkan’, penyiasat yang meneliti syarikat pelaburan negara mengesan hampir AS$700 juta (kira-kira RM2.64 bilion) telah didepostikan ke dalam akaun yang mereka percaya adalah milik Datuk Seri Najib Razak, lapor The Wall Street Journal.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh daripada siasatan kerajaan oleh akhbar kewangan berkenaan, ini adalah kali pertama Perdana Menteri secara langsung dikaitkan dengan siasatan terhadap syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan yang diterbitkan hari ini menyebut, Najib yang mengasaskan 1MDB dan mengetuai Lembaga Penasihat syarikat itu, berdepan tekanan politik yang semakin meningkat di mana 1MDB bergelut untuk membayar hutang terkumpul berjumlah AS$11 bilion (kira-kira RM41.5 bilion).

“Dokumen siasatan kerajaan yang penyiasat percaya berupa pergerakan tunai di kalangan agensi kerajaan, bank dan syarikat yang ada hubungan dengan 1MDB sebelum ianya berakhir dalam akaun Najib.

“Dokumen yang dikaji semula oleh The Wall Street Journal termasuk borang pemindahan wang dan carta aliran bersama siasatan kerajaan yang mencerminkan pemahaman mereka mengenai pergerakan tunai itu.

“Sumber asal wang berkenaan tidak jelas dan penyiasat kerajaan tidak menyatakan secara detail apa yang berlaku terhadap wang yang masuk ke akaun peribadi Najib,” lapor The Wall Street Jurnal.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan Malaysia yang berkata, Perdana Menteri tidak mengambil apa-apa dana untuk kegunaan peribadi.

“Lawan politik Perdana Menteri, tidak bersedia menerima rekod atau fakta, berterusan cuba melemahkan beliau dengan tuduhan tidak berasas dan khabar angin demi meraih kepentingan politik,” lapor akhbar berkenaan yang memetik kenyataan daripada pegawai terbabit.

sarawakreport-1

Perdana Menteri sebelum ini, berulang kali menafikan terjadi salah laku mengenai 1MDB dan menggesa pengkritik menunggu keputusan empat siasatan yang dijalankan terhadap aktiviti 1MDB.

The Wall Street Journal yang mendakwa melihat dokumen siasatan itu melaporkan, penyiasat mengenal pasti lima transaksi berasingan ke akaun Najib yang datang daripada dua sumber.

“Menurut dokumen itu, setakat ini transaksi terbesar ialah dua deposti bernilai AS$620 juta (kira-kira RM2.33 bilion) dan AS$61 juta (RM230 juta) pada Mac 2013 ketika kempen pilihan raya umum.

“Wang tunai datang dari syarikat didaftarkan di Kepulauan British Virgin melalui bank Swiss dimiliki dana negeri Abu Dhabi.

“Dana itu, International Petroleum Investment Co (IPIC) telah menjamin berbilion dolar bond 1MDB dan pada Mei lalu telah menyuntik AS$1 bilion (RM3.77 bilion) modal bagi membantu 1MDB membayar hutangnya.

“Jurucakap IPIC dan Tanore Finance Corp di Kepulauan British Virgin tidak dapat dihubungi,” lapor akhbar itu.

Akhbar berkenaan mendakwa mengikut siasatan itu, satu lagi pemindahan, berjumlah RM42 juta (AS$11.1 juta), berasal dari dalam Kerajaan Malaysia.

“Penyiasat percaya wang itu datang dari sebuah entiti dikenali sebagai SRC International Sdn Bhd, syarikat pembekal tenaga yang asalnya dikuasai oleh 1MDB tetapi telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan pada 2012. Najib juga adalah Menteri Kewangan.

“Wang itu dipindahkan kepada sebuah syarikat milik SRC International dan kemudian kepada syarikat yang bekerja semata-mata dengan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi Najib dalam tiga deposit berasingan,” lapor akhbar berkenaan.

sarawakreport-2

The Wall Street Journal mendakwa mereka menghubungi Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, tetapi beliau enggan mengulas.

Pemindahan wang RM42 juta itu kata akhbar berkenaan, berlaku pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.

“Antara syarikat dikaitkan ialah Ihsan Perdana Sdn Bhd yang menyediakan program tanggungjawab sosial korporat kepada yayasan kebajikan 1MDB,” kata akhbar itu.

The Wall Street Jurnal juga mendakwa, dokumen siasatan kerajaan itu menunjukkan secara terperinci bagaimana penyiasat percaya SRC International memindahkan RM40 juta pada 24 Disember tahun lalu kepada sebuah anak syarikat milik penuh.

“Syarikat ini pada hari yang sama memindahkan wang berkenaan kepada Ihsan Perdana. Dua hari selepas memperoleh wang itu, Ihsan Perdana memindahkan RM27 juta dan RM5 juta dalam dua pemindahan berasingan ke dalam dua akaun bank berasingan milik Najib,” kata akhbar berkenaan memetik dokumen yang diperoleh.

Pada Februari lalu, RM10 juta dimasukkan ke akaun Perdana Menteri, juga dari SRC International melalui Ihsan Perdana, kata akhbar berkenaan yang merujuk kepada dokumen itu.

Menurut laporan itu, dokumen pengiriman wang tidak menamakan Najib sebagai penerima tetapi menyatakan nombor akaun AmIslamic Bank Bhd di Kuala Lumpur.

“Dua carta aliran daripada dokumen siasatan itu menamakan pemilik akaun berkenaan sebagai ‘Dato’ Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak’, nama rasmi Perdana Menteri. Jurucakap AmIslamic Bank enggan mengulas,” kata akhbar itu.

sarawakreport-3

Dalam satu lagi pemindahan, lapor The Wall Street Jurnal, Tanore Finance, syarikat berpangkalan di Kepulauan British Virgin, memindahkan AS$681 juta dalam dua pemindahan berasingan ke dua akaun berbeza di satu lagi cawangan AmIslamic Bank di Kuala Lumpur. Pemeriksaan kerajaan mendapati akaun itu milik Najib.

Pemindahan itu datang dari akaun milik Tanore Finance di cawangan Falcon Private Bank di Singapura, bank Swiss milik IPIC. Jurucakap bank berkenaan juga enggan mengulas, lapor akhbar itu.

AS$681 juta itu dipindahkan ke akaun Najib pada 21 Mac dan 25 Mac 2013, kata akhbar berkenaan yang memetik dokumen kerajaan.

Sementara itu, sarawakreport yang juga melaporkan berita yang sama mendakwa maklumat perbankan berkaitan telah diterima oleh beberapa pihak kuasa undang-undang, termasuk Peguam Negara.

Tiada ulasan: