Ia kini bukan lagi satu harapan baharu, tetapi gelombang yang akan melanda negara, kata para pemerhati terhadap 2 majlis perhimpunan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang pertama di Kota Baru, Kelantan dan Kangar, Perlis malam tadi.
Dewan Himpunan Cina Kota Baru dilimpahi hingga ke luar, begitu juga Dataran Paduka Sena, Kangar. Orang ramai memenuhi kedua-dua himpunan pertama itu selepas GHB dibentuk dengan rasminya Isnin 13 Julai lalu.
Mengulas perkara itu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata:”Suatu ombak kini bermula. Ombak ini kian membesar.”
"Kepimpinan Mohamad Sabu dan seluruh pendukungnya dalam GHB dilihat bergerak sebagai satu pasukan dan tahu membaca gerak hati rakyat Malaysia yang kini amat dahaga kepada kepimpinan yang baik serta beramanah sesuai dengan ajaran Islam," kata pemimpin PAS yang pernah menjadi menteri besar Selangor itu.
Bagaimanapun, pemimpin PAS lain dalam komen spontan mereka berkata, program pusingan pertama ini memang dijangka akan mendapat sambutan baik kerana orang ramai ingin tahu mengenainya.
Namun, mereka percaya, ia akan mula kehilangan tarikan selepas itu.
Perhimpunan di Kota Baru diketuai Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa mengutus ucapan bertulis kerana beliau masih tidak sihat untuk menyertai himpunan itu.
Turut serta bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang turut memberikan ucapan sebagai bekas ahli Parlimen Kota Baru.
Di Kangar pula, himpunan dipimpin sendiri Mohamad Sabu, pengerusi GHB, platform yang dibentuk kumpulan progresif dalam PAS yang dipinggirkan parti Islam itu dalam pemilihan awal Jun lalu.
Turut serta ialah Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof yang menjadi antara tokoh penting gerakan ini di samping Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifudin Nasution Ismail.
Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu ketika memberikan ucapan di Kangar berkata GHB tidak mempunyai pemimpin utama kerana mereka semua pemimpin.
"Kita mahu kuasa rakyat yang menjadi kuasa menurunkan kerajaan Barisan Nasional. Kalau esok lusa pakatan yang akan ditubuhkan menjadi zalim pula, kita mahu kuasa rakyat ini pula yang turunkan kami," kata Mat Sabu.
Mujahid dalam ucapannya di Kangar berkata, pakatan baharu yang mereka tubuhkan nanti tidak berhasrat mahu menukar Datuk Seri Najib Razak saja sebagai perdana menteri, tetapi mahu menukar kerajaan Umno yang zalim.
"Kita bukan mahu tukar Najib dengan perdana menteri Umno yang lain," katanya disambut sorakan orang ramai.
Husam, yang sepatutnya menjadi penceramah utama di Kota Baru, dalam surat yang diutusnya, memohon maaf kepada semua yang hadir kerana masih belum sihat sepenuhnya.
"Derita rakyat adalah derita kita bersama, harapan rakyat adalah harapan kita bersama," katanya dalam kenyataannya.
Selepas Kota Baru dan Kangar, mereka akan ke Perak pula pada 26 Julai ini dalam program jelajah seluruh negara gerakan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan