Ahad, 24 April 2016

BN Terengganu diambang krisis

Krisis antara Ahmad Said dengan Ahmad Razif bukan lagi rahsia
Krisis antara Ahmad Said dengan Ahmad Razif bukan lagi rahsia

Apakah krisis kepimpinan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu ketika ini akan terheret sehingga bakal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Apakah tindakan istana menarik balik semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menguatkan lagi khabar angin akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh terdekat ini?

Dua persoalan itu hampir menjadi kenyataan berdasarkan kemelut yang berlaku di Terengganu sejak Datuk Seri Ahmad Said diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 12 Mei 2014.

Sejak itu, pentadbiran kerajaan BN Terengganu tidak pernah sunyi dari kemelut dan sering kali pula terganggu dengan cubaan pihak tertentu hendak menggagalkan kepimpinan Ahmad Razif.

Ini termasuk tindakan mengejutkan dari Ahmad pada sidang DUN Terengganu 8 Mac lalu yang mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

Walaupun cadangan usul itu ditolak Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zubir Embong, tetapi itu adalah syarat bahaya yang harus disedari oleh kepimpinan UMNO peringkat negeri mahupun pusat.

Keadaan lebih genting apabila Ahmad Razif dikatakan telah mengguris hati Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin melalui satu ucapannya ketika mengiringi baginda menunaikan solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak jelas apa isi kandungan ucapan Ahmad Razif yang diuar-uarkan sebagai punca semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya sebelum ini ditarik balik oleh pihak istana.

Sehingga berita ini ditulis, Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir tidak lagi bergelar Datuk Seri.

Kehilangan gelaran itu juga menguatkan lagi spekulasi dalam kalangan peramal dan pemerhati politik Terengganu bahawa kepimpinan dan pentadbiran kerajaan negeri bawah BN yang menang tipis pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) lalu akan berakhir dalam tempoh terdekat ini.

Sebelum ini BN mempunyai 17 kerusi ADUN, manakala Pas 14 kerusi dan PKR satu kerusi.

Bagaimanapun, Malaysia Gazette difahamkan tiga ADUN BN termasuk Ahmad telah membuat keputusan keluar dari UMNO dan kini menjadi wakil rakyat bebas. Jika benar khabar angin itu, BN tidak lagi layak menjadi kerajaan kerana kedudukannya telah berkurangan kepada 14 kerusi iaitu menyamai kerusi Pas.

Bagaimanapun, pembangkang mempunyai peluang membentuk kerajaan sekiranya PKR yang ada satu kerusi dan tiga ADUN Bebas itu sedia bergabung.

Namun, kesahihan Ahmad bersama dua lagi rakan wakil rakyat BN keluar parti tidak dapat disahkan kerana ketiga-tiga mereka gagal dihubungi.

Seorang ADUN dari BN yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi berkata, krisis kepimpinan memang berlaku, tetapi tidak dapat mengesahkan tindakan Ahmad dan dua lagi ADUN menyertai Bebas.

Sementara itu, ADUN Batu Burok, Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi yang namanya bakal digugurkan dari senarai penyandang calon pada PRU 14 akan datang hanya menjawab, “mungkin” ketika diminta mengulas krisis yang berlaku.

Jika benar Ahmad telah meninggalkan UMNO dan menyertai bebas bersama dua ADUN yang lain, maka Ahmad Razif tidak mempunyai pilihan lain, melain mengadap Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin untuk membubarkan DUN Terengganu.

Ini kerana, mana mungkin beliau dapat meneruskan pentadbiran kerajaannya andainya BN mempunyai 14 ADUN, Pas (14), Bebas (3) dan PKR (1).

Tiada ulasan: