Selasa, 5 April 2016

Netizen puji sikap Khairul Idham elak disimbah arak




KEMENANGAN pelumba muda Malaysia, Khairul Idham Pawi dalam perlumbaan MotoGP bukan sahaja mengharumkan nama negara malah turut dianggap membawa imej pemuda Islam.

Khairul dari pasukan Honda Team Asia mendapat tempat pertama dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina awal pagi tadi dengan catatan masa 41 minit 35.452 saat di Litar Termas de Rio Hondo.

Dalam pada itu, aksi pemuda kelahiran Kampung Gajah, Perak ini yang bertindak meninggalkan podium apabila pemenang tempat kedua dan ketiga menyembur arak ke arahnya, meraih pujian netizen.

Khairul_Idham_Pawi2_0404

Klip video gelagat ‘mengelaknya’ itu yang diambil daripada satu siaran televisyen kini giat dikongsikan di laman sosial.

Tindakannya itu menerima pujian netizen yang rata-ratanya bangga dengan sikap pelumba berusia 17 tahun tersebut yang dianggap telah menunjukkan sifat praktikal seorang muslim.

"Ini baru tidak lupa diri. Dia ingat lagi yang dia itu seorang Islam. Haram tetap haram," kata Kamaraj Ariakrishnan.

"Tahniah dan syabas. Bagus budak ini, bijak membawa imej diri sebagai umat Islam. Alhamdulillah,” komen Jiea Zieah.

"Alhamdulillah. Bawa adab Islam di mata dunia," ujar Hanafi Napie.

Dalam perlumbaan awal pagi tadi, pelumba dari Sepanyol Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella Galicia Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 selepas terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.

Tiada ulasan: