Khairul Idham Pawi mencipta kemenangan sensasi di Grand Prix Argentina semalam. Yakni satu kemenangan yang menjadi bualan seluruh negara.
Dalam tempoh semalaman, namanya membanjiri rangkaian media sama ada tradisional mahupun media sosial.
Remaja berusia 17 tahun itu yang belum begitu dikenali ramai menjadi pelumba Malaysia pertama yang memenangi perlumbaan di kejuaraan peringkat dunia itu.
Namun tidak ramai yang menyedari, kejayaan yang dicapai memerlukan perjalanan yang panjang dan bagi Khairul, ia bermula sejak lima tahun lepas.
Pelumba kelahiran Perak itu membuat penampilan sulung di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dalam kategori Cabaran Honda Wave Junior – perlumbaan satu pengeluar yang dibiayai oleh Honda sebagai landasan mencari bakat-bakat baharu.
Pada tahun 2012 ketika berusia 13 tahun, Khairul Idham telah menunjukkan bakatnya apabila berjaya mendominasi saingan dan bergelar juara keseluruhan.
Tahun berikutnya, Khairul Idham beralih ke kelas terbuka iaitu kategori Wira – perlumbaan khusus buat remaja berusia 13 hingga 17 tahun.
Pada tahun serupa juga Honda meletakkan remaja itu beraksi di dalam saingan Asia Dream Cup, perlumbaan satu pengeluar Honda yang dijalankan serentak bersama Kejuaraan Motosikal Asia FIM.
Dalam tempoh dua tahun, pada tahun 2014 Khairul memahatkan namanya sebagai juara yang ketiga dalam kategori perlumbaan yang melibatkan remaja seluruh Asia itu, dan turut mendominasi saingan Wira apabila muncul sebagai juara keseluruhan pada tahun yang sama.
Tahun 2015, Khairul melangkah lebih jauh apabila dipilih untuk membawa cabaran Honda Team Asia di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol selain turut menghabiskan tahun tersebut di dalam Kejuaraan Cub Prix dalam kategori CP115.
Pada tahun 2016, pelumba muda itu membuat penampilan pertamanya dalam saingan Moto3 Kejuaraan Grand Prix Dunia.
Kemenangan itu meletakkan Khairul sebagai pelumba pertama yang memenangi perlumbaan dunia dan juga pelumba pertama menghadiahkan podium buat pasukan Honda Team Asia. Malah dalam sekelip mata, nama Khairul menjadi satu fenomena.
"Mewakili semua yang terlibat di dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia, kami mengucapkan tahniah di atas kejayaan Khairul Idham. Kami berkongsi kegembiraan di atas kejayaannya dan pada masa sama berharap dia terus mempunyai masa depan yang cerah dan lebih banyak kejayaan dicapai," jelas Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter bagi Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Kejuaraan Cub Prix Malaysia telah berlangsung selama 23 tahun dan sedikit demi sedikit mengubah perjalanan industri sukan permotoran negara – khususnya untuk melihat bakat-bakat muda seperti Khairul Idham sentiasa datang, berkembang dan bersinar.
Ia merupakan satu proses yang panjang – bermula dari mewujudkan kelas Wira yang tidak begitu meyakinkan bagi sesetengah pihak untuk meyakinkan pihak pengeluar sama-sama mewujudkan landasan perlumbaan satu pengeluar bagi mengesan lebih ramai bakat perlumbaan, untuk bekerjasama dengan PETRONAS dan rakan penaja lain seperti Honda dalam usaha mewujudkan landasan yang memberi manfaat kepada banyak pihak, bukan hanya pihak tertentu.
Sekarang kita sudah melihat usaha selama dua dekad ini semakin membuahkan hasil. Selepas Khairul, di belakangnya terdapat ramai pelumba lain yang berpotensi, bukan sekadar bagus, malah bakat ini berada dalam pelbagai peringkat.
"Khairul adalah contoh di mana tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Proses membangunkan seseorang atlet memerlukan masa dan keputusan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Kejuaraan Cub Prix adalah percuma kepada setiap penonton.
"Ketika kami menganjurkan acara untuk membangunkan pelumba, menjual tiket kepada penonton bukan merupakan sebahagian dari perancangan. Ini dilakukan kerana minat dan percaya terhadap bakat yang ada di Malaysia dan Asia.
"Oleh itu, sudah tentu kita perlu meletakkan kebajikan pelumba dan pasukan sebagai keutamaan terlebih dahulu sebelum perkara lain. Meskipun langkah ini dilihat tidak popular, namun ia hanya untuk seketika. -MYNEWSHUB.CC
Tiada ulasan:
Catat Ulasan