Nik Abduh gagal meneruskan kesinambungan pemerintahan arwah ayahandanya.
NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa?
Mulanya saya tidak percaya dan anggapnya sebagai mainan keyboard warrior upahan pihak tertentu dengan tujuan hendak memalukannya.
Selepas buat semakan termasuk hubungi beberapa rakan terdekat dalam
Pas, jawapan yang saya terima, berita yang ditular itu adalah benar.
Bukan palsu dan bukan juga sengaja dibuat-buat.
Berdegup jantung saya dengan pengesahan itu. Dalam hati mula timbul
persoalan dan seribu satu tanda tanya. Antaranya, apa bala dan apa
gerangan pula yang bakal berlaku dalam Pas kali ini?
Tidak cukupkah lagi golongan profesional dan liberal disingkir
habis-habisan pada pemilihan jawatankuasa 2015 sehingga tidak ada
seorang pun baka Mat Sabu tertinggal? Dan kini zuriat arwah tok guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat pula menerima nasib malang?
Adalah mustahil dan tidak masuk akal sama sekali, Nik Mohamad Abduh
yang menang besar dalam perebutan jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas
Malaysia pada pemilihan tahun 2015, tetiba kalah teruk bagi perebutan
jawatan di peringkat kawasan untuk penggal 2017-2019.
Kalau kalah tipis tak apa juga masih boleh diterima akal lagi. Tapi
kalau dia hanya dapat 37 undi dan penyandang yang dicabarnya perolehi
207 undi, ini dah dikira kalah teruk.
Kalau dalam perlawanan tinju, dia tumbang kerana terkena tumbukan padu, TKO dari lawannya.
Apakah ini satu amaran dari akar umbi kepada pemimpin atasan Pas yang
lain? Atau keputusan ini hanya untuk Nik Mohamad Abduh sahaja?
Saya tidak mahu buat spekulasi yang bukan-bukan pasal kekalahan ini,
walau jauh dalam sudut hati saya kuat mengatakan semua ini ada kena
mengena dengan beberapa kenyataan Nik Mohamad Abduh sebelum ini
mengguris perasaan kepimpinan akar umbi.
Sebelum ini, terutama di era arwah ayahandanya masih ada, Nik Mohamad
Abduh antara anak muda yang cukup dihormati akar umbi parti. Tengok
susuk tubuhnya, teringat akan gemulah tok guru sepanjang memimpin
Kelantan sebagai Menteri Besar dan parti sebagai Mursyidul Am.
Bahkan, ramai meramalkan dia adalah pengganti yang bakal meneruskan
legasi ayahandanya yang paling sesuai dan tepat. Dialah juga dianggap
sebagai benih paling baik dari keturunan arwah tok guru dan juga baka
arwah datuknya, Allahyarham Nik Mat.
Sebab itu, diawal penglibatannya dalam Pas, apa sahaja jawatan yang dia pertandingkan, dia menang.
Atas dasar itu juga, dia diberi kepercayaan oleh akar umbi untuk
menerajui sayap parti pada tahun 2015. Dalam pertandingan itu dia
mengalahkan penyandangnya, saudara Suhaizan Kayat dengan majoriti yang
sangat besar.
Suhaizan disingkirkan oleh para perwakilan Pas pada muktamar tahun
itu kerana proses pembersihan besar-besaran parti dari golongan
profesional dan liberal. Kebetulan Suhaizan termasuk dalam golongan itu.
Sebelum itu, atas tubuh badannya yang mirip tok guru, dia dipilih
sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Kepimpinan pusat
meletakkan dia bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas.
Dalam pertandingan itu dia menang dengan majoriti besar. Lawannya,
Datuk Ibrahim Ali dari calon bebas, kalah. Kemenangan itu juga
mengakhiri kemarau dendam Pas kepada Ibrahim yang pernah guna lambang
Pas pada PRU-12, tetapi selepas itu lantang mengkritik tok guru.
Sejak menang dua jawatan itu, Nik Mohamad Abduh mula dilihat leka di
ibu kota. Banyak masa harian, mingguan, bulanan dan tahunan dihabiskan
di pusat. Alasannya, jawatan yang dia pegang itu menuntutnya berada
sepenuh masa di Kuala Lumpur.
Sedangkan dia lupa, undi dia, sokongan dia berada di Pengkalan Chepa
dan Pasir Mas. Perlu dijengok setiap masa, perlu ditatang seperti minyak
yang penuh. Kain rentang dipasang di Pasir Mas gesa Nik Abduh letak jawatan
Saya tidaklah tahu sangat sejauh mana dia habiskan masa bersama akar
umbinya di Pengkalan Chepa dan dengan pengundinya di Pasir Mas. Tapi
saya tidak menang tangan terima makluman, ramai daripada mereka merungut
dan marah-marah.
Mereka merungut kerana sukarnya nak bersua muka dengan pemimpin parti
dan mereka marah-marah kerana payahnya nak kemukakan aduan kepada wakil
rakyat. Kalau ada masalah atau aduan, semua itu perlu melalui
kakitangannya di pusat khidmat.
Sebagai ahli parti dan rakyat, bukan kakitangan pejabat pusat khidmat
yang mereka nak tengok. Mereka nak bersua muka, bermesra dan mengadu
masalah secara berdepan dengan wakil rakyat mereka.
Kalau itu pun tidak boleh dan tidak pernah ada peluang, lebih baik
mereka pilih calon wakil rakyat lain. Buat apa kalau pergi ke pusat
khidmat hanya nampak gambar wakil rakyat saja di dinding, sedang pejabat
pula sepi tidak ada nur.
Inilah antara faktor dia kalah dalam perebutan jawatan parti di
Pengkalan Chepa dan tidak mustahil akan terima nasib sama di Pasir Mas
pada PRU-14 ini jika dia tidak mahu berubah dari sekarang.
Bahkan, di beberapa lokasi di kawasan Parlimen Pasir Mas pun sudah
ada kain rentang dipasang pihak tertentu dengan tertera tulisan “letak
jawatan”.
Pada saya, ini isyarat yang perlu diambil serius oleh Nik Mohamad
Abduh. Jangan pula dia anggap dan beri alasan, “Oh, kain rentang itu
mesti dari musuh saya, PAN (Parti Amanah Negara)”.
Penyokong PAN pun pengundi berdaftar juga. Mereka pun akan keluar
mengundi juga mengikut saluran masing-masing di pusat membuang undi pada
PRU-14 ini.
Pengalaman Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar
Ogos tahun lalu pun menunjukkan Pas tempat ketiga, PAN kedua tertinggi
dan UMNO/Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan