Isnin, 6 November 2017

Seniman kena belajar politik, bukan bodek

By:Manzaidi Mohd Amin
Bila artis, seniman, karya bersemuka dengan Perdana Menteri, kekecohannya lebih hebat dari pembangkang.
KES pelawak dan pelakon tampar penerbit sudah selesai. Ini bukan drama Hantu Bungkus Ikat Tepi. Bukan juga komedi sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Kedua-duanya pun sudah berbaik. Dah bersalam dan siap berpeluk-pelukan lagi. Baguslah.
Itulah yang semua orang mahu. Buat apa nak bergaduh. Dunia seni ni tak luas. Berlakon drama sana, berlakon drama sini, akhirnya balik kepada pelakon ini dan penerbit yang sama juga.
Malah makin popular lagi dengan peristiwa tampar sipi-sipi ini.
Itulah ‘drama real’ yang berlaku antara Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Yasin dengan penerbit filem, David Teo pada Rabu malam minggu lalu.
Walaupun kes ini dah seminggu berlalu, tapi belum terlambat rasanya untuk saya mencoretnya dalam ruangan saya ini.
Bukan saya sengaja nak panjangkan kes. Bukan juga nak memanaskan keadaan tapi saya rasa bertanggungjawab untuk memberi sedikit renungan dan mengajak semua berfikir.
Kejadian itu berlaku pada Majlis Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya. Datuk Seri Najib Razak menjemput para karyawan dan seniman berkumpul di kediamannya untuk berdialog mengenai arah tuju karyawan dan seniman pada masa depan, iaitu 33 tahun akan datang.
Ramai para karyawan dan seniman hadir, termasuk para VIP dan VVIP. Najib dan moderator, Datuk Rosyam Noor berada di atas pentas kecil berbentuk bulat, di tengah-tengah para hadirin.
Rosyam diberi tanggungjawab mengendalikan dialog itu. Soalan dibuka kepada semua hadirin dan PM menjawabnya satu persatu.
Malangnya, David yang ketika itu berada di belakang Perdana Menteri ada soalan untuk dikemukakan tetapi tidak berpeluang bertanya kerana moderator dikatakan tidak cuba memusingkan ke arah giliran jemputan yang berada di kiri, belakang dan kanan PM.
Barangkali David ketika itu mengharapkan Rosyam membuat pusingan jam atau pusingan lawan jam ketika mengacarakan program itu. Tetapi tidak berlaku. Rosyam dikatakan gagal memusingkan badannya untuk memberi kesamarataan kepada hadirin lain. Ibarat jarum jam mati. Statik.
Ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati David. Dia terus ke depan Rosyam dan Perdana Menteri, memohon moderator agar turut memberi tumpuan kepada karyawan dan seniman yang berada di belakangnya dan PM.
Biasanya orang Cina, kalau suara tak kuat, bukan orang Cina namanya. Tapi kekuatan nadanya itu telah disalah ertikan oleh Mat Over, yang ketika itu juga berada di barisan belakang Rosyam dan Perdana Menteri.
Saya tak mahulah ulas apa yang berlaku selepas itu, kerana semua masyarakat menonton video yang menjadi tular dalam sekelip mata dan berulang-ulangan sampai seminggu itu.
Cuma saya nak nyatakan di sini, memang tidak wajarlah Mat Over berbuat demikian. Lebih-lebih lagi di depan Perdana Menteri.
Dia cuba mengingatkan David supaya jangan kurang ajar di depan PM, tetapi tindakannya juga dilihat sebagai kurang ajar dan biadab kerana memulakan kekecohan yang tidak disangka-sangka oleh semua pihak yang hadir termasuk Perdana Menteri sendiri.
Gelagat David dengan Rosyam ketika itu langsung tidak mengganggu keselamatan PM pun. Malah PM sendiri cuba menenangkan keadaan pada masa itu. Cuma ada yang terlebih-lebih nak jadi hero.
Saya sendiri pun terkejut dengan kejadian itu dan saya anggap ia tak sepatutnya berlaku.
PM orang politik. Sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri, dia berdepan dengan situasi yang lebih tegang daripada situasi yang dicetuskan oleh David dan Mat Over. Semuanya dapat ditangani dengan tenang.
Perdana Menteri berdepan dengan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) lagi teruk daripada kes ini di Dewan Rakyat. PM berdepan dengan isu GST yang lagi parah daripada kes ini dalam perang media sosial.
Begitu juga PM hampir setiap hari berdepan dengan kutukan akibat kenaikan harga barangan dan ada yang lebih teruk daripada itu. Tidak pun berlaku kejadian yang memalukan.
Bahkan, di Dewan Rakyat sekalipun, PM berdepan dengan serangan, kata nista, caci maki daripada barisan Ahli Parlimen pembangkang. PM tetap tenang. Dia tetap tersenyum.
Kenapa di majlis dialog TN50 dengan para karyawan dan seniman boleh berlaku pergaduhan?
Mat Over kena banyak belajar ilmu politik. Dia kena persiapkan dirinya untuk mendalami dunia politik supaya di lain masa, dia dapat menahan dirinya dari tergerak untuk mengulangi perkara sama yang berlaku ke atas David di depan PM.
Ketegangan dalam sesebuah majlis antara rakyat dengan Perdana Menteri adalah perkara biasa. Mungkin Mat Over tidak pernah mengikuti perkembangan politik semasa barang kali.
Ia lebih bermaruah sekiranya ketegangan itu dapat diredakan dengan memberi peluang kepada Rosyam untuk mengubah teknik pengacaraannya.
Ini, belum apa-apa lagi, ada yang tersudu dari kuah, mencetuskan kekecohan. Lepas itu menyalahkan orang lain. Ini tidak betul.
Untuk menjadi ‘pembela’ (kononnyalah), kita perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi sebagaimana kesabaran tahap tinggi yang ada dalam diri PM dan pemimpin politik yang lain.
Saya yakin dan percaya, kalau Mat Over ada sifat sabar, dia akan melihat kesudahan program itu berjalan dengan baik, bukan berkesudahan dengan kekecohan yang dicetuskan oleh dia sendiri.
Saya harap perkara ini tidak berlaku lagilah pada masa akan datang dan ketiga-tiga pihak iaitu Mat Over, David dan Rosyam dapat jadikannya sebagai pengajaran.
Mungkin Rosyam boleh belajar dari sedikit kelemahannya ketika mengendalikan program di pentas bulat. Mungkin juga David akan memperlahankan nada suaranya yang sudah menjadi kebiasaan itu sebagai peringatan dalam berdialog dan mungkin juga Mat Over kena belajar bagaimana untuk mengawal atau menahan amarah yang membuak-buak dalam hatinya.
Itu yang saya dan seluruh rakyat di negara ini harapkan daripada kejadian itu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: