DATUK
Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini kata ada peningkatan permintaan
tinggi terhadap perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad
(KTMB).
Pada
masa sama, Datuk Ir. Nawawi Ahmad pula kata, KTMB kehilangan kira-kira
15,000 penumpang sehari. Daripada 140,000 kepada 125,000 penumpang.
Agak-agak yang mana satu betul dan mana satu nak diguna pakai?
Yang kata penumpang makin bertambah itu adalah daripada mulut Menteri
Pengangkutan sendiri dan yang kata penumpang semakin berkurangan pula
adalah Pengerusi KTMB.
Nawawi buat kenyataan itu pada 29 Disember 2016 manakala Tiong Lai keluarkan kenyataan itu pada 15 April lalu.
Jarak kedua-dua kenyataan dalam tempoh hampir empat bulan.
Secara
logiknya, mustahil dalam tempoh itu jumlah penumpang tiba-tiba
meningkat secara mendadak sehingga kerajaan terpaksa menambah koc
baharu. Walhal, mutu perkhidmatan komuter masih ditahap paling teruk
sehingga hari ini.
Mungkin
Tiong Lai tidak sedar apa yang dicakapkan itu atau pegawainya di
kementerian gagal buat kajian mengenai prestasi komuter KTMB, sebelum
membenarkan bos mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian?
Atau
pegawai Tiong Lai menerima bulat-bulat laporan itu daripada pihak
pengurusan KTMB tanpa mahu membebankan otak mereka untuk menyemak fakta
berkenaan?
Soal tambah tren bukan perkara baharu.
Ia berlaku sekitar awal tahun 2000 selepas lebih lima tahun KTMB memulakan perkhidmatan komuter tren tiga gerabak.
Tren
buatan India itu digunakan KTMB sebagai pengangkutan alternatif kepada
orang ramai yang nak lari dari kesibukan trafik di lebuh raya.
Pada
masa itu, tunggu satu trip ke satu trip selama satu jam pun tak
mengapa. Berpadat-padat dalam gerabak pun kira selesa sebpada tekanan
dan menjimatkan kos.
Apa
tidaknya, tiket dari Shah Alam ke KL Sentral hanya RM2.50, bayar tempat
letak kereta RM3 sehari, berhabisan dalam RM5.50, berbanding belanja
RM30 sehari untuk minyak, tol dan bayaran tempat letak kereta di ibu
kota yang cecah sehingga RM10.
Ketika
itulah komuter mendapat sambutan orang ramai sehingga ‘memaksa’ KTMB
merancang untuk menambah koc baharu bagi memberi keselesaan kepada
penumpang mereka, selain berangan mahu menjadi antara pengangkutan awam
paling baik di Malaysia.
Pada
tahun 2012, KTMB menerima beberapa unit koc dari kerajaan Jepun. Koc
yang diterima itu adalah yang sudah digunapakai oleh kerajaan negara
itu.
Tak
apalah, yang terpakai pun yang terpakailah. Janji, KTMB dapat gerabak
‘baharu’ untuk meringankan operasi koc tiga gerabak yang sedia ada.
Secara
sifirnya, kalau berlaku pertambahan koc, sudah tentulah masa dari satu
trip ke satu trip dapat dipendekkan, iaitu daripada satu jam bagi setiap
trip kepada sekurang-kurangnya 45 minit satu trip.
Kalau
tambah tren lagi, maka pendeklah lagi masa penumpang menunggu tren.
Begitulah seterusnya kalau ada pertambahan koc lagi dan lagi dan lagi,
maka gembiralah penumpang kerana mereka dapat sampai ke pejabat atau
destinasi mengikut waktu ditetapkan.
Itulah kiraan matematik saya. Tapi malangnya, bila dapat tren baharu, KTMB hentikan operasi tren lama.
Dapat yang baharu lagi, yang lama dibuang. Kalau begini kaedah
digunapakai pihak pengurusan KTMB, sampai kiamat pun perkhidmatan
komuter terkebelakang.
Pendek
kata, pi mai pi mai duk tang tu juga. Penumpang kekal dengan keluhan
menunggu lama untuk menaiki satu tren ke satu tren ke destinasi.
Bukan setakat kematu punggung kerana terlalu lama duduk bersila atas lantai platform, tren pula bergerak macam siput.
Anehnya,
walaupun aduan demi aduan mengenai masalah perkhidmatan tren ini
diajukan, pihak KTMB boleh pekak telinga, butakan mata daripada
mendengar dan mencari kaedah mengatasi permasalahan berkenaan.
Saya
sendiri pun, banyak kali mengadu kelembapan perkhidmatan ini.
Bayangkan, dari stesen komuter Shah Alam hendak ke Stesen Putra di Kuala
Lumpur ada kalanya mengambil masa dua jam.
Menunggu
ketibaan tren satu hal. Paling cepat tibanya 45 minit menunggu atau
paling lewat tibanya lebih sejam menunggu. Masa perjalanan dari Shah
Alam ke Stesen Subang Jaya yang sepatutnya 12 minit mengambil masa lebih
20 minit.
Bila
ditanya, KTMB jawab, ada kerja menyelenggara landasan antara Batu Tiga
ke Subang Jaya. Hal ini berlarutan sejak dua tahun lalu dan sehingga
hari ini pun masih ‘diselenggara’?
Saya
pun tak tahu apa nak jadi dengan pihak KTMB. Saya pernah mengeluh dan
tertanya-tanya, “bilalah agaknya kerajaan hendak buat rombakan
besar-besaran struktur pengurusan KTMB”.
Kadang-kadang
sakit kepala memikirkan hal perkhidmatan komuter ini. Untuk pastikan
saya sampai ke destinasi, contohnya di Stesen Bank Negara pada jam 11
pagi, saya kena bertolak turun dari rumah jam 8.30 pagi.
Dari
situ, saya sudah membazir dua setengah jam iaitu 15 minit perjalanan
dari rumah ke stesen Shah Alam. Menunggu tren tiba di stesen Shah Alam
antara 45 minit hingga satu jam dan perjalanan ke stesen Bank Negara
mengambil masa satu jam.
Bukan
setakat membazir dua setengah jam, saya kerugian masa setengah jam lagi
untuk berada di stesen Bank Negara tepat pada masanya. Betapa seksanya
menggunakan perkhidmatan komuter. Tapi apa boleh buat, saya tidak ada
pilihan lain.
Sepanjang
menggunakan pengangkutan awam paling lembab ini, saya tidak pernah
dapat tempat duduk. Penumpang sentiasa penuh sesak di mana-mana stesen
kerana trip tren yang lewat.
Bahkan,
keadaan lebih teruk bagi penumpang dari Batu Caves ke Seremban atau
Tampin. Sepanjang perjalanan itu, ada penumpang warga emas, ibu
mengandung terpaksa bergayut pada tali dalam tren kerana tempat duduk
sudah penuh dan ruang berdiri juga sesak.
Inilah
perkhidmatan awam yang ‘terbaik’ bagi penduduk Shah Alam dan Klang dan
Serembang ke Batu Caves. Namun pihak KTMB masih gagal mengatasi perkara
ini. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan