Jumaat, 27 April 2018

Calon, pilihan rakyat atau pilihan peribadi?

BERMULA Ahad hingga Rabu semalam, semua negeri telah selesai mengumumkan senarai calon untuk bertanding pada PRU14 yang dijadualkan 9 Mei ini.
Ada muka baharu, ada anak muda, ada wakil wanita, ada wakil puteri dan ada juga calon kitar semula.
Seperti biasa, selepas pengumuman calon dibuat, ada yang tidak setuju dan ada juga yang berpuas hati. Terpulang pada persepsi masing-masing.
Dalam bab ini memanglah nak puaskan hati semua pihak bukan senang. Kita pilih si A, rakyat nak si B. Kita ambil si C, rakyat pula nak si D. Pendek kata semuanya tak betul, tak kena.
Tapi sebagai pengerusi negeri, nak tak nak, mereka kena terima dan telan saja sebarang teguran dan kritikan itu, sebab mereka bertanggungjawab ke atas semua calon yang diumumkan itu.
Lagipun, pengerusi kata, pemilihan calon ini bukan dibuat olehnya seorang, dan bukan pula diperolehi dalam sehari dua.

Katanya, ia telah dirancang sejak setahun atau dua tahun lepas hasil daripada perbincangan dengan pimpinan negeri, bahagian, wakil kerajaan dan NGO.
Baru saya tahu bukan mudah nak pilih atau cari calon yang sesuai untuk diletakkan bertanding di kerusi Parlimen atau DUN. Ianya terpaksa melalui proses pemilihan, penelitian, penilaian dan tapisan beberapa peringkat oleh pihak yang bukan sembarangan orang.
Memang tabiklah dengan proses yang digambarkan sebagai ketat ini, tetapi persoalan timbul, adakah calon-calon yang diumumkan ini betul-betul melalui proses seperti yang dinyatakan itu?
Saya kata begitu kerana tidak sedikit calon yang diumumkan itu pernah dua tiga kali kalah pada PRU sebelum ini. Takkan yang dah banyak kali kalah pun masih dipilih lagi untuk bertanding? Adakah perkara ini tidak termasuk dalam penilaian?
Paling ketara, di Selangor contohnya, calon paling muda berusia 23 tahun, dan yang tua berumur 66 tahun. Tidakkah terfikir oleh parti, calon berusia 23 tahun ini terlalu mentah sangat dengan dunia politik, manakala yang berusia emas itu pula sewajarnya direhatkan saja.
Apa kata (bukan minta – dan minta dijauhkan), sebaik calon berusia 66 tahun ini diumumkan menang dan jadi wakil rakyat, tiba-tiba beberapa bulan kemudian dia dijemput Allah, tidakkah perlu diadakan pilihan raya kecil untuk mencari pengganti?
Begitu juga di Kelantan misalnya, ada seorang calon pernah dicalonkan bertanding pada PRU13, tetapi pada hari penamaan calon, dia menarik diri dari bertanding, menyebabkan parti tidak ada wakil bertanding pada PRU itu.
Calon itu kemudian dikenakan tindakan tatatertib selama dua tahun atas perbuatannya. (Tapi) hari ini, calon berkenaan masih dicalonkan lagi untuk bertanding di DUN. Apa kejadah ni?
Betulkah parti ketandusan calon yang sesuai dan layak diletakkan bertanding di Parlimen dan DUN? Apakah pimpinan negeri takut kepada pimpinan bahagian, yang bertanggungjawab menyenaraikan nama pemimpin untuk menjadi calon?
Kalau rakyat memberontak tidak puas hati dengan pemilihan calon, kita marah kepada rakyat. Kita minta rakyat bersabar, dan kita minta rakyat akur dengan keputusan parti.
Keputusan parti saja yang kita mahu rakyat patuh dan akur? Kita sendiri tidak pernah mahu mengambil kira pandangan rakyat.
Saya nak bagitahu, dalam pemilihan calon ini, adakah parti buat berdasarkan suara rakyat atau syok sendiri? Sebab, tengok pada nama-nama calon yang diumumkan, kebanyakannya adalah yang dipilih oleh parti berdasarkan dia adalah kawan, sahabat, kroni dan anak beranak kepada pemimpi bahagian.
Kita jangan melenting menuduh parti lawan lain sebagai parti anak beranak kalau kita sendiri mengamalkan parti turun temurun.
Kita jangan cepat menuduh parti lain tidak demokratik kerana menggugurkan calon yang bercakap benar atas satu-satu isu, kalau kita sendiri pernah pecat pemimpin parti atas alasan yang sama.
Kalau begini cara dan kaedah dilakukan pimpinan pada PRU ini dan PRU akan datang, terimalah akibatnya.
Ini bukan marah, tapi nasihat! – theRakyat (Siaran 26hb April 2018)

Tiada ulasan: