Jumaat, 13 April 2018

Pas Kelantan gugur calon tidak sealiran ideologi

BERDASARKAN senarai calon Pas Kelantan yang tular sekarang, sekurang-kurangnya sembilan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seorang Ahli Parlimen digugurkan.
Dengan erti kata lain, 10 wakil rakyat Pas ini tidak lagi dipilih untuk bertanding mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) yang dijadualkan 9 Mei ini.
Menurut sumber terdekat dengan kepimpinan Pas negeri, pengguguran 10 penyandang ini kerana ideologi mereka dikatakan sealiran dengan rakan-rakan yang keluar dari Pas menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).
Mengikut senarai calon itu, yang pernah dinafikan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, ada penyandang dari DUN dipindahkan ke Parlimen, manakala ada yang dari Parlimen dan DUN dipindah ke kerusi kawasan lain, juga dalam Kelantan.
Antara yang disebut-sebut digugurkan ialah ADUN Kelaburan, Mohd Zaki Ibrahim, yang mana tempatnya akan digantikan oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi, manakala tempat Che Abdullah, Pas Kelantan mencalonkan Rosli Abdullah.

ADUN Kijang, Wan Ubaidah Omar juga termasuk dalam senarai antara penyandang yang digugurkan. Tempatnya digantikan Senator Khairiah Mohamed.
Turut digugurkan ialah ADUN Tanjung Mas, Rohani Ibrahim; ADUN Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman; ADUN Gual Periok, Muhamad Awang; ADUN Bukit Tuku (sekarang nama baharu, DUN Apam Putra), Abdul Rasul Mohamed; ADUN Demit, Mumtaz Md. Nawi; ADUN Jelawat, Abdul Aziz Kadir; ADUN Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr. Nik Mazian Nik Mohamad.
Tempat penyandang yang digugurkan ini dikatakan diganti oleh dua nama bagi DUN Tanjung Mas iaitu sama ada Pegawai Dakwah Halaqat Kawasan Kota Bharu, Noor Azariza Mohd Alawi atau Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.
DUN Chetok pula digantikan oleh Naib Yang Dipertua Pas Pasir Mas, Zuraidin Abdullah; diikuti DUN Gual Periuk oleh sama ada Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof atau Zamakhsari Muhammad; DUN Apam Putra, Zamri Yusof; DUN Demit, Dr. Ramli Mamat; DUN Jelawat, Mohd Amizul Fazly; DUN Mengkebang, Dr. Abdul Basit Ab. Rahman dan Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhamad Zawawi Nik Salleh.
Pas Kelantan juga dikatakan memindahkan Nik Amar dari DUN Panchor ke kerusi Parlimen Pengkalan Chepa, manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dari Jengka, Pahang diletakkan di kerusi selamat, Parlimen Kubang Kerian.
Beberapa nama lagi yang turut dipindahkan ke Parlimen ialah Hanifa Ahmad dari DUN Pengkalan Pasir ke kerusi Parlimen Pasir Mas menggantikkan penyandangnya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang belum ditentukan kedudukannya samada bertanding di kerusi DUN atau mana-mana Parlimen.
Datuk Nasurudin Daud dari DUN Meranti juga dikatakan dipindah ke kerusi Parlimen Rantau Panjang. Meranti sebelum berada dalam Parlimen Rantau Panjang, tetapi selepas persempadanan semula, DUN itu masuk dalam Parlimen Pasir Mas.
Disebabkan tidak mahu kehilangan penyokong, Nasurudin dikekalkan di kerusi Parlimen Rantau Panjang menggantikan tempat Siti Zailah.
Yang lain seperti Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob kekal bertanding di kerusi DUN Pasir Pekan untuk penggal kelima berturut-turut. Beliau memenangi kawasan itu bermula PRU-9.
Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, Pas Kelantan mahupun pucuk pimpinan Pas Pusat belum mengumumkan calon secara rasmi untuk PRU14.
Pucuk pimpinan Pas dikatakan bertungku lumus memilih calon yang sesuai kerana mereka mahu mengekalkan kemenangan menerusi pertandingan tiga penjuru dengan PAN dan Barisan Nasional (BN).
Untuk rekod, DUN Bukit Tuku dalam Parlimen Rantau Panjang telah ditukar nama kepada DUN Apam Putra dan DUN Perupok dalam Parlimen Bachok ditukar kepada DUN Pantai Irama. – theRakyat (Siaran 12 April 2018)

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran